Wednesday, June 29, 2016

Kisah Wafatnya Adam a.s. Dan Pembunuhan Pertama Di Muka Bumi


Setelah menjalani kehidupan di muka bumi yang menuntut perjuangan, akhirnya Adam dan Hawa pun melahirkan zuriat.

Habil dan Qabil.jpg
Gambar hiasan.

Anak pertama mereka ialah pasangan kembar Qabil dan Iqlima dan setelah itu Hawa melahirkan anak lagi yang juga kembar, Habil dan Labuda.

Waktu pun berlalu dengan pantas. Setelah keempat-empatnya meningkat dewasa, Adam a.s. pun mendapat petunjuk dari Allah SWT agar menikahkan keempat-empat anaknya secara bersilangan.

Tapi, Qabil menolak pernikahan itu sebab di matanya, Iqlima jauh lebih cantik dari Labuda.

Dihadapkan dengan suasana itu, Adam menyerahkan persoalan itu kepada Allah SWT.

Pembunuhan Pertama Di Muka Bumi

Akhirnya, Allah SWT memerintahkan Habil dan Qabil untuk berkorban dan siapa yang korbannya diterima, maka dia yang berhak memilih jodohnya.

Dalam pelaksanaan korban itu, Habil memilih mengorbankan seekor kambing yang paling dia sayangi diantara haiwan-haiwan peliharaannya.

Sementara itu, Qabil mengambil sekarung gandum yang paling buruk dari gandum yang dimilikinya.

Kedua-duanya pun pergi ke atas bukit untuk melaksanakan perintah korban. Dan Allah menerima korban Habil, sedangkan korban Qabil ditolak Allah.

Maka, Habil lebih berhak menentukan pilihan dengan siapa dia akan berkahwin, tetapi Qabil tidak menerima keputusan itu.

Maka, dengan diliputi dendam dan kedengkian, Qabil akhirnya membunuh Habil dan inilah peristiwa pembunuhan pertama di muka bumi!

Kejahatan yang telah dilakukan Qabil itulah yang semakin menambah kedukaan Adam. Akibatnya, Adam menangis hampir setiap hari.

Sehinggalah pada akhirnya, Allah memberikan khabar gembira, mengurniakan Adam keturunan lagi.

Anak itu kemudianmya diberi nama Syith. Dan selain Syith, Adam diceritakan dalam sebuah riwayat, telah dikurniakan Allah empat puluh anak lelaki dan empat puluh anak perempuan.

Selain menjadi anak yang cukup dibanggakan oleh Adam dan Hawa, Syith juga diangkat Allah sebagai seorang Nabi.

Dan Allah SWT mewahyukan dan menurunkan kepada Syith sebanyak lima puluh ajaran (risalah).

Setelah Nabi Syith dewasa sementara Adam dan Hawa semakin tua, dan tatkala menjelang ajal yang hampir tiba, Nabi Adam mewaris dan mengajarkan kepada Nabi Syith tentang waktu-waktu pada malam dan siang, beserta amalan ibadah yang harus dilakukan pada waktu-waktu tersebut.

Nabi Adam a.s. Wafat

Hingga akhirnya, pada suatu hari, Nabi Adam a.s. jatuh sakit dan meminta sesuatu kepada anaknya, Syith.

"Wahai anakku, aku ingin beberapa biji anggur."

Syith memenuhi permintaan ayahnya itu. Syith meninggalkan Nabi Adam a.s. dan keluar untuk mengambil beberapa tangkai anggur.

Dengan perasaan gembira kerana dapat memenuhi permintaan ayahnya, Syith segera kembali dengan harapan agar ayahnya dapat segera menikmati buah anggur tersebut.

Tapi takdir ternyata berkata lain, sebab anggur yang dipetik Syith tidak sempat dimakan oleh Nabi Adam a.s.

Sewaktu Syith kembali semula, Nabi Adam a.s. sudah tidak bernyawa. Nabi Adam a.s. sudah meninggalkan dunia yang fana ini.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Kisah Bermulanya Nabi Adam Diturunkan Ke Bumi

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon