Friday, June 17, 2016

Kisah Bermulanya Nabi Adam Diturunkan Ke Bumi


"Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. [Surah Al-Baqarah Surah 2 Ayat 37]

Kisah Nabi Adam.JPG

Hanya ada segulung sepi dan setumpuk penyesalan yang bermukim di lubuk hati Nabi Adam a.s., tatkala dia harus menerima 'hukuman' diturunkan dari Syurga.

Itulah yang dirasakan Adam a.s. saat menjejakkan kaki diatas muka bumi ini. Sejauh mata memandang, dia hanya melihat hamparan tanah, bahkan tanaman yang sangat asing.

Tanah dan pepohonan yang tak seindah suasana syurga dan sepi itu pun mengoyak jiwanya.

Adam a.s. berdiri, diliputi perasaan bersalah seraya mencari-cari kehadiran Hawa a.s., isterinya yang tercinta. Tetapi pencarian itu hanya sia-sia.

Sebab, syahdan, Adam dan Hawa memang diturunkan ke bumi secara terpisah, berasingan.

Bahkan, jaraknya cukup jauh. Adam a.s. di sebuah tempat yang dalam sebuah riwayat menyebutkan di Shifa, dipuncak Bukit (Sri Pada) Sri Lanka.

Tetapi, dalam riwayat lain, dikisahkan Adam a.s. diturunkan di Gunung Sarandib, di Pulau Ceylon, juga berada di Sri Lanka dan riwayat lain ada yang berpendapat, Adam a.s. diturunkan di India, sedangkan Hawa a.s. diturunkan di Marwa, Mekah.

Perasaan sepi itu kian membuatkan Adam a.s. diterpa duka yang mendalam. Dia tidak dapat menepis rasa bersalah dan berdosa atas apa yang telah dia lakukan di Syurga.

Adam’s Peak Sri Lanka
Adam’s Peak, Sri Lanka, dipercayai tempat Nabi Adam diturunkan.

Dulu, dia mendapat tempat istimewa di Syurga dan menikmati kehidupan yang aman damai, menyenangkan dan tanpa sebarang gangguan.

Dalam satu riwayat, diceritakan Adam a.s. menghuni Syurga lebih kurang seratus tahun, tetapi riwayat lain mengatakan enam puluh tahun dan ada pula yang berpendapat empat puluh tahun.

Pada mulanya Allah SWT menciptakan Adam a.s. seorang diri, lalu ditempatkan di Syurga.

Adam a.s. juga diberi wahyu berupa 'ilmu pengetahuan'. Allah SWT mengajar Adam a.s. nama-nama benda yang ada di alam semesta, ilmu pengetahuan yang sebelumnya tidak pernah diajarkan kepada para Malaikat.

Sejak awal lagi, Adam a.s. diciptakan sebagai makhluk yang mulia, makhluk yang beradab, kerana memiliki ilmu pengetahuan tinggi.

Dengan kelebihan itulah Allah lalu memerintahkan Malaikat dan Iblis untuk bersujud kepadanya kerana kelak Adam a.s. akan dijadikan 'Khalifah' di muka bumi.

Tetapi di Syurga, Adam merasa kesepian lalu Allah SWT kemudian menciptakan Hawa a.s. untuk mendampingi Adam a.s., juga untuk meneruskan keturunannya.

Namun, kerana Adam a.s. dan Hawa a.s. kemudiannya terbujuk rayuan Iblis laknatullah, akhirnya mereka melanggar larangan Allah SWT dengan memetik dan memakan buah Khuldi, Adam a.s. dan Hawa a.s. kemudiannya diusir dari Syurga, lalu diturunkan dari Syurga.

Menangis

Doa taubat Nabi Adam.png
Doa taubat Adam dan Hawa.

Hukuman itulah yang membuatkan Adam a.s. diliputi perasaan berdosa. Dan ketika sepi itu kian menyesakkan dadanya kerana harus terpisah dari Hawa a.s., Adam a.s. pun semakin merana.

Bahkan, sejak diturunkan dari Syurga, Adam a.s. menangis tanpa henti kerana sungguh menyesal.

Dalam sebuah riwayat diceritakan, Adam a.s. menangis selama tujuh puluh tahun kerana telah melakukan kesalahan sehingga diusir dari Syurga.

Kerana sangat menyesalnya, Adam a.s. bersujud sepanjang hari kepada Allah dengan tekad dan niat untuk bertaubat. Dan Allah SWT akhirnya mengampunkan Adam a.s.

Secuil harapan pun bersemayam di hati Adam a.s. Dia teringatkan Hawa lalu berjalan dan terus berjalan, dengan tujuan untuk mencari dimanakah Hawa berada.

Adam a.s. berjalan melewati tanah tandus, gunung-ganang dan hamparan bumi yang luas, sambil dicengkam rasa sepi dan hanya mampu melayan perasaan sendiri.

Harapan yang dihembuskan dari gelombang cinta seperti menuntun langkahnya menyusuri jalan ke Mekah. Gerak hatinya merasakan bahawa dia akan menemui Hawa di tempat tersebut.

Sementara itu, ditempat lain, dimana Hawa a.s. diturunkan, Hawa juga sedang menanti kedatangan Adam. Dia tahu Adam pasti akan mencarinya.

Dia akan ke puncak bukit, melihat ke hamparan luas di bawah bukit dengan harapan akan menemui Adam. Hawa a.s. akan mendaki dari satu bukit ke bukit yang lain demi menunggu Adam.

Hinggalah pada akhirnya apa yang dinantikan pun tiba. Disebuah puncak bukit, setelah dia mengedarkan pandangan mata ke segenap arah, dari kejauhan Hawa melihat ada seseorang datang ke arahnya.

Dia tahu dan yakin bahawa itu tidak lain adalah Adam! Lantas, Hawa menuruni bukit dengan perasaan bahagia dan berlari ke arah orang itu.

Dari kejauhan, Adam pun melihat Hawa. Dia juga berlari dengan pantas kepada Hawa.

Setelah berpisah cukup lama, akhirnya kedua-dua insan ini pun bertemu semula. Tempat pertemuan itu terjadi di sebuah tempat yang sekarang ini dikenali sebagai Jabal Rahmah, di padang Arafah.

Jabal Rahmah - Padang Arafah
Jabal Rahmah, Padang Arafah.

Setelah bertemu, kedua-duanya pun menangis lantaran begitu bahagia, lalu keduanya menadah tangan ke langit dan bersyukur kepada Allah kerana telah menyatukan mereka semula setelah dipisahkan begitu lama.

Setelah ditemukan semula, dalam riwayat dikisahkan, Adam dan Hawa kemudiannya menetap di Sri Lanka.

Tetapi, Adam dan Hawa merasakan hidup di bumi tidak seindah kehidupan di Syurga. Adam teringat kehidupan yang penuh nikmat di Syurga lalu dia pun menangis.

Hidup di dunia menuntut Adam perlu bekerja. Harus menghadapi musim sejuk dan panas. Perlu mencari makanan untuk terus hidup.

Hari yang mententeramkan jiwa di Syurga kini tinggal kenangan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Misteri Penemuan Jambatan Purba Nabi Adam!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon