Saturday, June 25, 2016

Desa Shani Shingnapur Di India Tiada Pintu, Tiada Kunci Dan Tiada Pencuri!


Pernahkah anda membayangkan semua rumah, kedai atau segala bangunan lain dalam kawasan kejiranan dibiarkan terbuka tanpa dikunci sepanjang hari namun tetap selamat daripada pencuri?

Shani Shingnapur.jpg

Begitulah yang berlaku di Shani Shingnapur, sebuah perkampungan di Maharashtra, kira-kira 1,311 kilometer jauhnya dari selatan ibu negara India, New Delhi, hingga menjadi begitu terkenal ke seluruh dunia.

Penduduk kampung ini, menurut stesen antarabangsa BBC dilaporkan tidak pernah mengunci rumah atau kedai mereka kerana yakin Dewa Shani, atau Dewa Saturnus kononnya selalu melindungi kampung tersebut.

Berdasarkan kisah penduduk, ia bermula daripada legenda 300 tahun lalu, setelah hujan lebat dan banjir, sebuah batu hitam besar ditemui di tepi sungai Panasnala, yang dahulu pernah ‘membelah’ kampung itu.

Ketika penduduk kampung cuba menyentuh batu tersebut dengan tongkat, darah memancut keluar dari batu itu.

Pada tengah malam, Dewa Shani datang dalam mimpi penduduk dan menyatakan bahawa batu itu adalah sembahannya.

Dewa itu kemudian memerintahkan masyarakat kampung supaya batu itu disimpan kerana kononnya dia akan tinggal di tempat tersebut tetapi meminta satu syarat, batu dan kesaktiannya tidak boleh ditutup langsung.

Ini kerana dia perlu mengamati suasana kampung itu tanpa apa-apa halangan. Dewa Shani kemudian memberkati penduduk desa tersebut dan berjanji untuk melindungi mereka daripada sebarang bahaya.

Shani Shingnapur [2].jpg

Setelah penduduk kampung menempatkan batu berkenaan di sebuah lantai tidak beratap di tengah-tengah kampung tersebut, mereka memutuskan untuk membuang semua pintu dan kunci yang ada di rumah mereka.

Generasi terdahulu malah tidak memerlukan pintu atau kunci, kerana mendakwa kononnya Dewa Shani akan melindungi mereka. Tradisi pelik ini diteruskan hingga sekarang.

Sebagai ganti, penduduk lazimnya hanya meletakkan potongan papan kayu di depan pintu supaya anjing jalanan tidak masuk ke dalam rumah mereka terutamanya pada waktu malam.

Meskipun tanpa pintu, penduduk dengan tenang meninggalkan barang perhiasan mahupun wang mereka begitu sahaja di dalam rumah, kerana yakin pelindung suci akan menjaganya.

Bahkan bilik mandi awam di perkampungan itu hanya ditutup dengan selembar tirai. Bangunan baharu juga harus menghormati tradisi ini. Sebuah balai polis, yang baharu dibuka pada 2015, juga tidak dilengkapi pintu.

Shani Shingnapur Bank.jpg

Uniknya, pejabat polis tersebut sehingga kisah ini ditulis oleh BBC belum pernah menerima waima satu laporan jenayah terutama kes pecah rumah daripada penduduk setempat.

Sementara itu, United Commercial Bank yang membuka cawangan di Shani Shingnapur pada 2011 lalu, menjadi bank pertama di India yang tidak memiliki kunci pintu konvensional.

Masyarakat Shani Shingnapur juga tidak pernah meminta bantuan daripada jiran untuk menjaga rumah mereka jika perlu pergi keluar dari kampung tersebut untuk sebarang urusan.

Mereka, malah berasa amat yakin bahawa pencuri di kampung tersebut akan dihukum menjadi buta dan orang yang tidak jujur akan dikutuk selama tujuh setengah tahun.

Peliknya, penduduk Shani Shingnapur juga percaya ketika seseorang cuba memasang pintu kayu di rumahnya, orang tersebut akan mengalami kemalangan jalan raya.

Shani Shingnapur [3].jpg
Batu hitam dipercayai tempat Dewa Shani di kampung Shani Shingnapur, India.

Ekoran sejarah unik ini, kampung ini kini menjadi tumpuan dari seluruh India. Setiap hari, sekitar 40,000 orang datang ke tempat batu keramat yang berkembang menjadi kuil besar dan menerima banyak sumbangan.

Walaupun Shani Shingnapur bebas daripada kes curi selama berabad-abad, pada 2010 lalu seorang pengunjung mengaku mencuri barang dan wang bernilai 35,000 rupee (kira-kira RM2,102).

Setahun kemudian, satu lagi laporan curi melibatkan perhiasan emas bernilai 70,000 rupee (RM4,204). Namun kes tidak diteruskan kepada pihak polis kerana penduduk yakin ia terjadi di luar kampung itu.

Ada juga pihak skeptik menyatakan, rendahnya kadar jenayah kerana lokasi kampung itu terpencil dan bukan kerana kesaktian dewa pujaan penduduk kampung tersebut selama ini. –Agensi/Mynewshub/HAA

BACA INI JUGA: Bengkala, Kampung Orang Bisu Di Bali!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon