Tuesday, June 21, 2016

Contohi Puasa Rasulullah SAW


Al-Qur'an sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan dan penutup sekalia nabi.

Puasa Rasulullah SAW

Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah (contoh teladan) yang baik kepada umatnya.

Dalam ibadat puasa Ramadhan, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik untuk diikuti oleh umatnya.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang maksudnya, "Apabila seorang dari kalian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah, sesungguhnya aku ini sedang berpuasa." (Riwayat Bukhari)

Sebagaimana penjelasan Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya lebih harum dari bau kasturi.

Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadhan, beberapa amalan yang dilakukan Rasulullah antaranya;

1. Memantapkan niat

Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

2. Melaksanakan makan sahur

Anas bin Malik r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud, " Sahurlah kamu sekalian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya." (Riwayat Muslim)

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah SWT. Sahur akan menguatkan lagi semangat ketika berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang puasa dijalankan.

3. Imsak Rasulullah SAW

Rasulullah bersabda, "Apabila seorang dari kamu mendengar azan Subuh padahal bekas minuman masih ditangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga ia menyelesaikannya (meminumnya)." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

4. Mempercepat berbuka

Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, "Telah berfirman Allah SWT, "Hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya." (Riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah)

5. Memperbanyak membaca Al-Qur'an

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Orang-orang yang berkumpul dimasjid dan membaca Al-Qur'an, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat." (Riwayat Muslim)

Sesiapa yang membaca satu huruf Al-Qur'an, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis diatas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah serta menikmati Al-Qur'an.

6. Memperbanyakkan sedekah

Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa dirumah kita terutama golongan fakir miskin.

7. Meninggalkan akhlak buruk

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkah laku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah SWT tidak menerima amalan puasanya itu.

Terdapat beberapa kes yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW berkaitan ibadat puasa sebagai iktibar kita bersama.

1. Berpuasa tapi berjunub pada awal pagi

Aisyah dan Ummu Salamah berkata, "Sesungguhnya Nabi SAW pernah bertemu dengan waktu fajar dalam keadaan baginda berjunub. Rasulullah kemudian mandi dan berpuasa."

Dari Aishah r.a. berkata, "Aku menyaksikan Rasulullah SAW bangun pagi-pagi untuk mandi kerana berjunub, bukan kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada hari itu."

2. Mencium isteri

Orang yang berpuasa boleh mencium isteri. Aisyah r.a. berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mencium sebahagian isterinya, padahal baginda berpuasa."

Orang yang berpuasa boleh menyentuh dan mencium isterinya selagi dia dapat mengawal nafsunya.

Jika dirasakan ia boleh membawa kepada berlakunya persetubuhan atau terkeluarnya air mani, maka eloklah ia ditinggalkan.

3. Makan dan minum kerana lupa

Abu Hurairah r.a. berkata, "Nabi telah bersabda yang bermaksud: "Apabila ia (orang berpuasa) lupa lalu makan dan minum tanpa disengajakan, hendaklah ia terus menyempurnakan puasanya kerana Allahlah yang telah memberi makan dan minum kepadanya." (Riwayat Bukhari)

4. Orang yang meninggal dan berhutang puasa

Aishah r.a. berkata, "Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ""Sesiapa yang meninggal dan mempunyai hutang puasa, hendaklah walinya berpuasa untuknya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Orang musafir

Orang yang bermusafir dibenarkan untuk berbuka jika ia tidak mampu untuk meneruskannya. Aishah r.a. meriwayatkan bahawa Abu Hamzah al-Aslami berkata kepada Nabi, "Bolehkah aku berpuasa didalam musafir? Lalu baginda menjawab, "Jika kamu ingin berpuasa, berpuasalah. Jika engkau ingin berbuka, berbukalah."

Semoga bermanfaat.

BACA INI JUGA: 19 Perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa Dalam Bidang Perubatan

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon