Friday, June 24, 2016

Beginilah Gambaran Ngerinya Seksaan Di Neraka!


"Mereka tidak memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar." Surah Al-Ghaasyiyah: 6-7

Ahli Neraka.jpg
Gambar hiasan.

Kalam Allah dalam ayat di atas bermaksud ahli-ahli neraka itu amat dahsyat keadaannya.

Mereka tidak akan memperoleh makanan yang enak, sebaliknya dihidangkan dengan nanah, darah dan buah-buahan berduri yang dipanggil buah Zaqum.

Sudahlah diseksa sedemikian rupa, ahli-ahli neraka yang kehausan ini dihidangkan dengan air minuman yang mendidih dan panas tidak terkata.

Bahawasanya Allah SWT telah berfirman, wajah mereka yang menjadi ahli neraka itu hitam legam, akal fikiran mereka lenyap, mereka tidak mati dan tidak pula hidup.

Setiap daripada mereka memiliki 70 kulit dan dari kulit yang satu kepada kulit yang lainnya berupa 70 lapisan dari neraka.

Dalam perut mereka bergelumang berpuluh-puluh ekor ular yang berasal dari dalam neraka dan ular-ular ini mengeluarkan suara yang amat menakutkan.

Mereka diikat, dirantai serta dipukul dengan besi, kemudian wajah mereka diseret-seret. Alangkah sedihnya keadaan ahli-ahli neraka,

Diriwayatkan juga, mereka ini dalam keadaan yang tersangat hina dan menakutkan.

Mereka meronta-ronta menjerit-jerit sambil meminta pertolongan dengan berkata, "Wahai Tuhan kami, semoga engkau melindungi kami daripada seksaan ini."

Biarpun dalam keadaan meminta belas ihsan, namun mereka tetap dihumban ke dalam neraka untuk dimamah oleh api neraka yang panas sehingga luluh segala isi dan tulang-temulang.

Ditambat dalam neraka selama-lamanya dengan perasaan menyesal dan mengalami seksaan yang maha dahsyat, ahli-ahli neraka ditempatkan diruangan yang begitu sempit tanpa seurat benang.

Badan mereka berlumuran darah serta bernanah, kulit hangus kerana dibakar api neraka yang sangat panas.

Dalam kesakitan yang mengazabkan ini, ahli-ahli neraka merayu-rayu kepada Allah supaya dilepaskan seksaan tersebut sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Qur'an; "Mereka berdoa, "Wahai Tuhan kami, lenyapkanlah daripada kami azab ini (jika engkau telah melenyapkannya) sesungguhnya kami akan beriman. (Ad-Dukhaan: 12)

Tapi sudah terlambat!

Bahawasanya Allah SWT telah berfirman, dijadikan gunung-gunung untuk ahli neraka. Lalu dikatakan kepadanya; "Dakilah!" Lalu mereka mendaki gunung itu dengan wajah mereka selama 1,000 tahun. Akan tetapi setelah sampai ke puncak, maka gunung itu melemparkan mereka ke dalam keraknya yang jahanam.

Ahli-ahli neraka ini tersangatlah menderita dan apabila mereka meminta daripada Allah untuk diturunkan hujan, maka dibukalah awan yang hitam.

Mereka gembira, tapi yang mencurah turun bukannya air sebaliknya batu-batu dari neraka. Batu-batu panas itu terjatuh di atas kepala mereka dan tembus melalui dubur!

Mereka memohon lagi kepada Allah selama 1,000 tahun agar diberi hujan, maka nampaklah mendungnya awan dan turunlah hujan.

Namun hujan yang turun bukannya air, tapi ular! Jika ular itu menggigit, satu gigitannya saja sakitnya tidak akan hilang selama 1,000 tahun!

Semiskin-miskin ahli neraka adalah yang sering merintih kepada malaikat Malik selama 70,000 tahun, namun rintihan mereka tidak dihiraukan.

Lalu mereka mengadu kepada Allah, "Wahai Tuhan kami, bahawasanya Malik langsung tidak menghiraukan kami."

Lalu Allah SWT berkata, "Wahai Malik, jawablah rintihan ahli neraka itu." Maka Malik pun berkata, "Wahai orang yang dimurkai Allah, tetaplah kalian sebagai ahli neraka."

Ahli-ahli neraka merayu lagi, "Wahai Malik, berilah kami air, kami akan istirehat sambil minum. Api telah memakan daging-daging dan tulang-tulang kami. Kulit kami menjadi masak, tulang-tulang kami koyak dan hati kami terputus."

Maka Malik memberikan minuman kepada mereka berupa seteguk minuman yang jika mereka memegang dan meminumnya, maka hancurlah jari-jemarinya, jika sampai ke perutnya maka putuslah usus-usus dan hatinya.

Ahli-ahli neraka ini begitu menginginkan makanan yang enak-enak, namun nanah, darah dan pohon berduri sahaja yang menjadi hidangan mereka.

Kerana tiada pilihan, mereka terpaksa memakan makanan yang dihidangkan, namun bila sampai ke dalam perut, maka berkecailah segala isi dan kulit dari tubuh mereka.

Ahli-ahli neraka ini diberikan pakaian daripada tembaga yang apabila dikenakan pada tubuh, maka kulitnya akan terbakar.

Setiap orang yang lapar pastinya menghendaki makanan kecuali ahli neraka.

Setiap orang yang telanjang pasti memerlukan pakaian kecuali ahli neraka.

Dan setiap mayat tentu menginginkan kehidupan, kecuali ahli neraka yang hanya menghendaki mati.

Demikianlah dahsyatnya seksaan yang akan dihadapi oleh ahli-ahli neraka seperti yang digambarkan dalam Al-Qur'an, hadis dan pendapat alim ulama.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: 6 Perkara Mengapa Redha Suami Adalah Syurga Bagi Isteri

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. ngeri sungguh saya membaca artikel ini..dahsyat dan minta dijauhkan dari azab neraka

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon