Wednesday, May 04, 2016

Dulu Hero Bantu CIA Bunuh Osama, Kini 'Mereput' Dalam Penjara!


Lima tahun selepas program penvaksinan palsunya membantu Amerika Syarikat menjejak dan membunuh Osama bin Laden, doktor Shakil Afridi terbiar di penjara.

Doktor Shakil Afridi - Osama Bin Laden
Doktor Shakil Afridi.

Doktor Pakistan itu, dipercayai dalam lingkungan 50-an, tidak mendapat khidmat peguam dan rayuannya untuk meringankan hukuman penjara 23 tahun tergendala.

“Saya sudah hilang harapan untuk berjumpa dengannya, tiada lagi harapan menggapai keadilan,” kata abangnya Jamil kepada agensi berita AFP.

Bekas pakar bedah berpengalaman itu terpenjara seorang diri di dalam bilik kecil, menurut peguamnya, dibenarkan berjumpa keluarga tidak lebih enam kali setahun.

Peranan Afridi dalam pembunuhan paling tersohor dalam dekad-dekad mutakhir ini, sebagai alat kepentingan Agensi Perisikan Pusat (CIA) memburu Osama, memang kabur dan kelam.

Laporan dari Pakistan membayangkan pegawai NGO sejagat Selamatkan Kanak-Kanak bertindak sebagai orang tengah walaupun badan kebajikan itu menafikan mereka terlibat.

Osama Bin Laden - Team 6
Lakaran komputer ketika pembunuhan Osama.

Cuma diketahui, Afridi ditugas menjalankan program penvaksinan palsu bagi penyakit Hepatitis C dengan niat mendapat sampel genetik dari Abbottabad, bandar pertahanan yang menempatkan Akademi Tentera Pakistan.

Di situ tokoh utama al-Qaeda, Osama, dan keluarganya menetap sejak pertengahan tahun 2000-an, dalam pengawasan — atau perlindungan — pegawai kanan tentera Pakistan.

Pada awal pagi 2 Mei 2011, dua helikopter dengan askar elit Navy Seals Team 6, menyerbu kediaman Osama, kira-kira satu kilometer dari akademi tentera tersebut.

Serbuan mengejut pasukan elit Amerika Syarikat itu menggemparkan Osama dan keluarganya dalam operasi yang disiarkan secara langsung didepan Presiden Barack Obama.

Mereka berjaya menembak kepala Osama dan melarikan mayatnya, kemudian dibuang di tengah laut tanpa diketahui sesiapa. Sebuah helikopter Black Hawk yang terhempas dibiarkan saja.

Pembunuhan Osama kejayaan besar buat Washington sejak serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001. Tetapi ia mengundang krisis dengan Islamabad.

Osama Bin Laden - Team 6 [2]
Mayat Osama Bin Laden.

Amerika Syarikat mencurigai Pakistan, disyaki sengaja melindungi ketua pengganas yang paling dikehendaki di dunia. Pakistan pula geram terhadap Afridi yang membantu CIA mengesan Osama.

Beberapa minggu selepas serbuan di Abbottabad, doktor itu ditahan dan dicampak ke dalam penjara atas tuduhan ada kaitan dengan pengganas. Afridi menafikan tuduhan kerajaan negaranya.

Pemerhati melihat Pakistan terpaksa mengambil tindakan itu sebagai membalas tindakan Amerika Syarikat.

Pakistan tidak boleh mendakwa Afridi sebagai pengkhianat, membantu negara asing, kerana pertuduhan seumpama itu menunjukkan negara itu melindungi Osama.

Afridi pada mulanya dihukum penjara selama 33 tahun tetapi Amerika Syarikat campur tangan, termasuk mengugut ingin memotong bantuan ketenteraan US$33 juta (RM130 juta) bagi setiap tahun hukuman.

Pakistan berlembut dan mengurangkan hukumannya selama 10 tahun, menjadikan hanya 23 tahun. Tetapi pengurangan ini tidak membawa kelegaan kepada doktor tersebut.

Osama Bin Laden - Black Hawk.jpg
Helikopter Black Hawk yang terhempas.

Sebaliknya apabila ketegangan antara Amerika Syarikat dan negaranya mula mengendur, antaranya kerana rundingan dengan pengganas di Afghanistan, nasibnya diabaikan.

Amerika Syarikat mahukan bantuan Pakistan dalam rundingan dengan Taliban. Oleh itu, mereka tidak mahu menimbulkan isu-isu yang boleh mencetuskan ketegangan.

Afridi akhirnya meringkuk sendirian di penjara kecil. Isteri dan anak-anaknya diizinkan melawat setiap dua bulan sekali.

Peguamnya sudah dua tahun dilarang bertemu doktor itu, lelaki yang dulunya pemegang kunci kejayaan operasi sulit CIA menjejak Osama bin Laden, tetapi kini mereput di penjara.

BACA INI JUGA: Islam Diperangi Kerana Dolar Dan Minyak!

Sumber: TheMalayMail

2 comments

  1. Itulah balasan Allah sebaik2 perancang sekelian alam... semoga menjadi iktibat buat yg lain termasuk kita semua, in shaa Allah...

    ReplyDelete
  2. tu rupanya balasan dia.

    semoga insaf beliau dan kawan-kawannya itu.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon