Wednesday, May 25, 2016

Bintang Bola Sepak Dunia Yang 'Gagal' Sebagai Jurulatih


Tidak ramai pemain yang berjaya dan cemerlang pada zaman kegemilangan bola sepak mereka dan berjaya sebagai pengurus selepas bersara.

Berikut adalah antara bekas bintang dunia yang gagal.

Diego Maradona

Diego Maradona.jpg

Siapa yang tidak kenal dengan pemain bertubuh rendah dari Argentina ini?

Bintang yang terkenal dengan aksi 'tangan tuhan' ini dipilih menjadi pengendali skuad kebangsaan Argentina pada 2008 yang sebelumnya mengemudi kelab kurang terkenal seperti Mandiyu dan Racing Club pada 90an.

Walaupun berjaya membawa Argentina layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, pasukan itu diaibkan Jerman 0 - 4 dalam perlawanan suku akhir.

Selepas meninggalkan kerusi panas di Argentina, Maradona berkhidmat pula dengan Al-Wasl di Emiriah Arab Bersatu dengan matlamat membawa kelab berkenaan menjadi lebih megah.

Kira-kira 14 bulan kemudian Maradona meninggalkan Al-Wasl dan kelab itu berada di tempat kelapan, ketinggalan 29 mata daripada pendahulu, Al-Ain.

Paul Gascoigne

Paul Gascoigne.jpg

Pemain serba boleh di zaman gemilangnya, namun bertukar menjadi individu bermasalah selepas bersara.

Pernah beraksi untuk England sebanyak 57 kali dan bermain dengan Newcastle, Tottenham dan Lazio, Gascoigne menguruskan sebuah kelab tidak ternama, Kettering, namun meninggalkan tugas itu 39 hari kemudian.

Di bawah Gascoigne, Kettering memenangi dua perlawanan, dua seri dan dua kalah.

Kini menetap di Poole, Gascoigne masih bergelut dengan masalah ketagihan arak serta gangguan mental.

Bobby Charlton

Bobby Charlton.jpeg

Sebagai pemain Charlton, dia memenangi tiga kejuaraan liga Inggeris, satu Piala Eropah dan satu-satunya Piala Dunia pernah dirangkul England.

Sebagai pengurus, Charlton diberi kepercayaan mengendalikan kelab Preston tetapi hanya sempat bertugas selama semusim dengan peratusan rekod kemenangan hanya 33 peratus daripada 99 perlawanan.

Dia juga sempat menjadi pengurus sementara bagi kelab Wigan Athletic pada 1983.

Di bawah Charlton, Wigan hanya menang dua daripada sembilan perlawanan. Namun dia bernasib baik kerana kemudiannya dilantik sebagai pengarah kelab berkenaan.

Lothar Matthaus

Lothar Matthaus.jpg

Seorang lagi pemenang Piala Dunia.

Pemain tengah Jerman ini dikenali sebagai atlet berwibawa dan pernah diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan kebangsaan.

Dari satu sisi, kehidupannya agak menarik. Matthaus pernah berkahwin sebanyak lima kali dan pernah membimbing lapan kelab termasuk pasukan kebangsaan, bermula dengan pasukan Austria, Rapid Wien.

Kemudian, dia melatih Atletico Paranaense (Brazil), Partizan (Serbia) serta pasukan kebangsaan Hungary dan Bulgaria adalah antara koleksi skuad yang penah mendapat bimbingannya.

Hristo Stoichkov

Hristo Stoichkov.jpg

Penjaring terbanyak Piala Dunia 1994 dan pemain terbaik dunia - pada tahun sama - Stoichkov turut dikenang sebagai pengurus panas baran.

Sebagai pengurus, Stoichkov selalu berkelahi dengan pemainnya sendiri. Stoichkov pernah mengaku secara terbuka bahawa dia "tidak percaya kepada taktik" untuk mencapai kemenangan.

Membawa imej sebagai pemain terbilang, bekas pemain kebangsaan Bulgaria itu gagal membawa pasukan negaranya layak ke Piala Dunia 2006 dan Piala Eropah 2008 selapa tiga tahun berkhidmat sebagai pengurus.

Ketika berada seketika di Celta Vigo, Stoichkov membawa kelab tersebut jatuh ke bahagian bawah liga.

Dia kemudian menabur khidmat - yang gagal dikenang sesiapa - untuk kelab Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan), Litex Lovech dan CSKA Sofia (kedua-duanya Bulgaria).

Bobby Moore

Bobby Moore.jpg

Diketepikan daripada tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada 1977 dan kelab Watford pada tahun sama, Moore adalah ketua pasukan England yang mencipta sejarah memenangi Piala Dunia.

Dia kemudian bertugas sebagai pengurus kelab Oxford dengan Harry Redknapp sebagai pembantu.

Moore juga pernah bertugas dengan kelab Hong Kong, Team Eastern AA sebelum kembali ke negara asalnya untuk mencuba nasib di kelab Southend United pada 1984.

Pada musim pertama sebagai pengurus, Southend United nyaris hilang kelayakan bertanding kerana dibelenggu masalah kewangan.

Di hujung musim, kelab itu akhirnya berada di kedudukan kesembilan liga.

Pemerhati berpendapat lagenda West Ham United itu sebenarnya lebih layak menjadi pengarah kelab berbanding pengurus.

Alan Shearer

Alan Shearer.jpg

Digelar "mesin penjaring gol" untuk kelab Blackburn Rovers, Newcastle dan pasukan kebangsaan England, tiada kenangan manis untuk Shearer sebagai pengurus pada musim 2008/09.

Dan Newcastle adalah satu-satunya kelab diuruskan Shearer.

Dia dibawa ke kelab itu kononnya untuk menyelamatkan Newcastle yang berdepan nasib terumbang-ambing dalam liga.

Namun, daripada lapan perlawanan dilaluinya, kelab itu hanya mencatat satu kemenangan. Newcastle kemudian tersingkir ke liga bawah.

Paul Ince

Paul Ince.jpg

Bintang Manchester United dan Inter Milan yang disegani sebagai pemain. Dia dikenang kerana berjaya menyelamatkan kelab Macclesfield Town daripada tersingkir ke liga rendah dan membawa MK Dons naik ke liga lebih atas, tempoh perkhidmatannya di Blackburn langsung tidak memberangsangkan.

Bersama kelab itu Ince hanya mencipta enam kemenangan daripada 21 perlawanan. Seperti dijangka, dia kemudian dipecat daripada jawatannya.

Dia kembali untuk kali kedua di MK Dons dan gagal lagi. Seterusnya Ince mencuba nasib bersama kelab Notts County.

Ince ditawarkan kontrak setahun bersama Blackpool dan berjaya mengelak kelab itu terperosok ke kelab bawah pada musim pertama perkhidmatannya.

Namun dia diketepikan kemudiannya apabila Blackpool hanya mengutip dua mata daripada 12 perlawanan pada musim berikutnya.

Tony Adams

Tony Adams.jpg

Pemain pertahanan kental ini menghabiskan masa selama 22 tahun bersama Arsenal.

Di kelab itu Adam bermain 669 kali dan memenangi 10 kejuaraan utama, termasuk tiga juara liga pada tiga dekad berbeza.

Malangnya kerjaya Adams sebagai pengurus nampaknya malap.

Khidmatnya bersama Wycombe dan Portsmouth (pada musim 2008/09) gagal meninggalkan kesan ketara.

Dia mengejutkan ramai pihak apabila menerima tawaran menguruskan pasukan kebangsaan Azerbaijan. Selepas 17 bulan, dia kembali ke England.

Bryan Robson

Bryan Robson.jpeg

Kapten paling lama berkhidmat dalam sejarah kelab Manchester United, rekodnya sebagai pengurus tidak sehebat sebagai pemain.

Ketika sesetengah pihak menganggap Robson berjasa selama tujuh tahun bersama Middlesbrough - termasuk menjuarai liga bahagian satu, menjadi finalis dua Piala Liga dan satu Piala FA - pemerhati berpendapat setakat itu sajalah kemampuannya.

Dalam EPL, Robson hanya mampu membawa Middlesbrough ke tempat kesembilan.

Di Bradford, Robson gagal menyelamatkan kelab itu daripada jatuh ke liga bawah. Dia hanya berjaya menyelamatkan West Brom daripada tercicir daripada EPL dan meninggalkan kelab itu pada 2006.

Khidmatnya di Sheffield United pula berakhir hanya selepas sembilan bulan kerana gagal menyinar.

Robson kemudian mencuba nasib menjadi pengendali skuad kebangsaan Thailand.

BACA INI JUGA: Kisah Lagenda Tersohor Alex Ferguson Menjulang Manchester United

Sumber: Malaysiakini

2 comments

  1. Yg kat ats takde satu pon kita minat huhuhu.baik sebagai prmain ataupon jurulatih hehehe...

    ReplyDelete
  2. Perkara yang semacam ini berlaku juga dalam dunia seni. Ada pengarah filem atau drama, begitu bijak mengarah orang berlakon tetapi apabila dia sendiri yang jadi pelakon, dia menjadi seorang pelakon yang gagal.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon