Friday, April 29, 2016

Kemuncak APO2016 Dengan 20 Lagu Artis Popular!


Kehangatan Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) kian terasa apabila beberapa artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, One Nation Emcee, Azlan, Adi Putra dan Amar Baharin mengadakan sesi latihan untuk persembahan malam kemuncak, Sabtu ini.

Mimi APO2016
Mimi (tengah) bersama anggota One Nation Emcee.

Pengarah muzik, Faizal Uzir atau Lokyu ketika ditemui berkata, hampir 20 buah lagu bakal dipersembahkan artis dengan gabungan lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu sehinggalah pada era kini bersesuaian dengan transformasi digital yang diketengahkan.

Kata Lokyu lagi, hampir 20 buah lagu bakal dipersembahkan pada malam itu termasuk gabungan Adibah Noor, One Nation Emcee dan Hazama menerusi segmen pembukaan.

"Penonton kena tunggu malam Sabtu nanti lagu apakah yang bakal dipersembahkan namun ia cukup istimewa," katanya kepada mStar Online.

Lokyu memberitahu malam kemuncak APO2016 itu nanti bakal menampilkan tujuh pemuzik yang mengiringi persembahan artis.

APO2016 bakal berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada pukul 9 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 bertemakan Glam Digital.

Ia dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Dalam pada itu, Dayang ketika ditemui berkata, dia akan mengadakan persembahan tribute untuk Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang juga mentornya.

"Persembahan itu cukup bermakna dan istimewa buat saya kerana ia bakal menjadi pengalaman cukup manis dalam karier saya.

"Ia satu penghormatan buat saya kerana ia persembahan tribute untuk seorang insan yang cukup penting dalam karier saya.

"Pada masa yang sama saya gemuruh kerana ia tanggungjawab besar," ujarnya.

Mimi yang mewakili One Nation Emcee pula berkata, mereka berjanji akan memberikan persembahan bertenaga dan istimewa kepada penonton.

"Kena tunggu keistimewaan persembahan pembukaan dari kami dan beberapa artis lagi.

"Apa yang pasti kami akan menjanjikan kelainan dengan seleksi lagu-lagu terbaik," jelasnya.

Manakala pelakon Adi Putra pula bakal mempersembahkan lagu berjudul Kekal Bahagia nyanyian asal Ippo Hafiz dan Amar Baharin akan mendendangkan lagu Cinta oleh Flop Poppy.

Sementara itu, ratu rock negara, Ella pula memberitahu dia akan menyampaikan dua buah lagu secara medley iaitu Layar Impian dan Gemilang secara eksklusif buat penonton APO2016.

Ella APO2016

Kata Ella, dia memilih lagu berkenaan kerana ia mempunyai peminat yang tersendiri dan teruja untuk mengadakan persembahan.

"Saya teruja untuk buat penganjuran kerana APO2016 kali pertama diadakan dan saya kira lagu dipilih sesuai untuk meraikan malam itu tambahan ia mempunyai peminat tersendiri," ujarnya.

Azlan pula berkata dalam keghairahan untuk mengadakan persembahan tetapi berasa gemuruh kerana bakal membawakan lagu penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza iaitu Pastikan.

"Ia satu lakaran sejarah buat saya dan ia sangat mendebarkan. Diharap persembahan pada malam itu nanti berjalan lancar," katanya.

Dalam perkembangan sama, penyanyi yang dicungkil bakatnya dari YouTube iaitu Wani dan Tasha Mansahar menganggap ia platform terbaik untuk mengembangkan karier mereka.

Malah mereka teruja kerana dapat mengadakan persembahan dengan diiringi pemuzik secara langsung.

Tambah istimewa, Dayang Nurfaizah dan Hazama sekali lagi akan muncul pada penutup bagi menyampaikan lagu terbaharu mereka terbitan Suria FM buat kali pertama iaitu Bangkit.

Selain persembahan hebat daripada artis-artis baharu dan lama, APO2016 dijangka meriah dengan kehadiran penyampai-penyampai anugerah antaranya Erra Fazira, Hafiz Suip, Fattah Amin, Mia Ahmad, Chef Nik Michael dan ratu gimnas negara, Farah Anne Abdul Hadi.

BACA INI JUGA: Lagak Menjengkelkan Bintang-bintang Tersohor Bollywood

Sumber: mStar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon