Tuesday, April 05, 2016

Gila Meroyan, Bahaya Gangguan Mental Selepas Bersalin


Apa sebenarnya istilah gila meroyan yang sangat menakutkan ibu-ibu yang baru melahirkan anak dan sebenarnya masih boleh berlaku walaupun selepas beberapa tahun melahirkan anak?

Gila Meroyan

Gila meroyan ataupun angin beranak sememangnya penyakit yang jika tidak dirawat segera, boleh membawa mudarat kepada ibu bersalin dan anaknya sendiri.

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak.

Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin.

Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional.

Gila meroyan

Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang.

Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.

Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita selepas bersalin.

Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan.

Mungkin elok untuk saya kongsi pengalaman daripada kajian kami 10 tahun lepas di Kelantan terhadap wanita yang hamil dan dalam masa berpantang.

Daripada kajian kami ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu muda yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan.

Kajian tersebut turut mendapati ibu muda berpeluang berbual-bual sambil meluahkan perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama selepas bersalin.

Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stres yang dialami oleh ibu muda tersebut.

Gangguan perasaan

Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang.

Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan.

Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.

Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum blues, postpartum depression dan postpartum psychosis (gila meroyan).

Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin.

Perubahan emosi ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin. Ia akan berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sediakala.

Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.

Kemurungan

Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression pula adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar.

Ia lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu yang melahirkan anak atau 10 peratus hingga 20 peratus daripada ibu yang mengandung.

Ia lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan.

Ibu-ibu yang menghidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.

Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga di panggil gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin.

Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih baik.

Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin.

Ia biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran.

Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang.

Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah.

Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.

Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya.

Satu perempat daripada mereka (25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.

Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi infanticide mereka sendiri.

Kadar bunuh diri dalam kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi.

Panduan

Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung.

Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang.

Beri masa untuk diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga penting dititikberatkan untuk kembali cergas.

BACA INI JUGA: Bahaya Tekanan Hidup Bagi Para Wanita

Sumber: Utusan

2 comments

  1. Bahaya meroyan ni... moga dijauhkanlah dari mereka2 yg kita sayang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu KK. Kena bawa berubat cepat2 kalau terkena angin beranak.

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon