Monday, March 07, 2016

Scott Kelly, Angkasawan Paling Lama Tinggal Di Angkasa


Selepas hampir setahun tinggal di ruang angkasa, angkawasan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Scott Kelly akhirnya kembali ke Bumi pada 2 Mac lepas.

Scott Kelly

Lelaki berusia 52 tahun itu mendarat bersama rakan sejawatnya, seorang angkasawan dari Rusia, Mikhail Kornienko di Dzhezkazgan, Kazakhstan selepas tiga jam penerbangan menaiki kapal angkasa Soyuz TMA-18M dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Pendaratan Kelly dan Kornienko turut disertai seorang lagi angkasawan Rusia, Sergey Volkov yang menyertai mereka di ISS pada 4 September 2015. Kelly dan Kornienko tiba di ISS pada 27 Mac tahun lalu.

Sepanjang setahun di angkasa, Kelly mengembara sejauh 143,846,525 batu (231,498,541 kilometer) dengan mengelilingi orbit sebanyak 5,440 kali dan menyaksikan 10,260 kejadian matahari terbit dan terbenam.

Namun, apa yang paling membanggakan, Kelly mencatatkan rekod baharu sebagai angkasawan warga Amerika Syarikat (AS) yang pertama meluangkan masa selama setahun di angkasa.

Beliau juga merupakan angkasawan AS paling lama berada di angkasa lepas dengan jumlah catatan keseluruhan selama 520 hari menerusi empat trip penerbangan.

Rekod paling lama berada di angkasa dipegang oleh angkasawan Rusia, Gennady Padalka dengan jumlah catatan keseluruhan selama 879 hari menerusi lima trip penerbangan.

Lebih tinggi

Scott Kelly [2]
Gambar bertarikh 28 Oct 2015 menunjukkan Kelly berjalan di luar Stesen Angkasa Antarabangsa.

Berada selama 340 hari di angkasa, Kelly mengakui masa yang terlalu lama di angkasa juga menyebabkan dia berasa sangat sunyi.

“Perkara paling sukar adalah apabila anda terpaksa berjauhan daripada orang-orang yang penting dalam hidup,” ujarnya seperti dipetik portal berita CNN.

Kelly turut berpeluang menyaksikan beberapa pemandangan Bumi yang menakjubkan sepanjang menjalankan misi itu.

“Saya dapat melihat Cahaya Utara atau Aurora Borealis melintasi Bahamas selain menyaksikan Taufan Patricia yang melanda Mexico dan Snowzilla yang melanda AS dari angkasa,” ceritanya.

Kelly dan Kornienko merupakan sebahagian daripada individu yang terpilih menyertai misi ke angkasa lepas yang antara lain bagi mempelajari kesan tinggal di angkasa dalam jangka waktu panjang terhadap tubuh.

Pentadbir NASA, Charles Bolden berkata, antara kajian itu termasuklah bagaimana tubuh manusia bertindak balas menyesuaikan diri kepada keadaan tanpa berat, pengasingan, radiasi dan tekanan sepanjang tempoh penerbangan kapal angkasa yang berdurasi panjang.

Para saintis akan turut membandingkan perkembangan Kelly dengan saudara kembar seirasnya, Mark Kelly yang juga merupakan bekas angkasawan NASA.

Scott Kelly - Ultra
Scott berpeluang menyaksikan fenomena Cahaya Utara dari angkasa lepas.

Kajian Twins Study NASA itu bagi mempelajari bagaimana dua individu yang seiras secara genetik memberi respons terhadap dua keadaan berbeza selama setahun.

“Kelly menunjukkan peningkatan sebanyak 5.08 sentimeter (cm) dalam ketinggiannya. Pasangan kembar itu sebelum ini memiliki ketinggian yang sama.

"Ia bagaimanapun tidak lama. Ketinggian Kelly akan kembali normal selepas tubuhnya menyesuaikan diri dengan graviti di Bumi.

“Di angkasa, ketiadaan graviti menyebabkan tulang belakang boleh meregang sehingga tiga peratus dan membolehkan ketinggian seseorang bertambah sehingga 7.6cm,” lapor NASA.

BACA INI JUGA: Kisah Sedih Angkasawan Pertama Yang Terkorban Dalam Misi Ke Bulan

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon