Friday, March 25, 2016

Kisah Besarnya Pahala Membantu Jiran dan Anak Yatim


Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak berhaji, tertidur di Masjidil Haram, dia telah bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit.

Anak Yatim

Lalu malaikat yang satu berkata, "Berapa ramai orang yang berhaji pada tahun ini?"

Jawab malaikat yang satu, "Enam ratus ribu."

Lalu ia bertanya lagi, "Berapa banyak yang diterima?"

Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang kasut dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat berhaji tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun ini diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."

Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar perbualan malaikat itu di dalam mimpinya, maka terbangunlah dia dari tidur dan segera berangkat ke Damsyik mencari orang yang bernama Muwaffaq.

Ketika sampai ke rumah Muwaffaq, Abdullah bin Mubarak lalu bertanya kepadanya, "Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjat sedemikian?"

Jawab Muwaffaq, "Aku sebenarnya ingin menunaikan haji dengan wang tiga ratus dirham yang diperolehi dari pekerjaanku sebagai tukang kasut, lalu aku pun berniat haji pada tahun ini.

"Suatu hari, isteriku yang sedang hamil tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pun pergi ke rumah jiranku dan menyampaikan tujuanku kepada jiranku itu.

"Jawab jiranku, "Aku terpaksa membuka rahsiaku. Sebenarnya anak-anak yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, lalu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba aku menemui bangkai himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk dimasak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk kamu."

"Ketika mendengar jawapan itu, aku segera pulang ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan kuserahkan kepada jiran itu tadi untuk keperluan mereka sekeluarga."

Kata Muwaffaq lagi, "Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku."

Demikianlah kisah yang sangat mendalam bahawa membantu jiran tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya, apatah lagi di dalamnya terdapat anak-anak yatim.

Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, tunjukkan padaku amal perbuatan yang bila aku amalkan akan masuk syurga."

Jawab Rasulullah SAW, "Jadilah orang yang baik."

Orang itu bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimana untuk mengetahui aku telah berbuat baik?"

Jawab Rasulullah SAW, "Tanyakan kepada jiranmu, maka bila mereka berkata engkau baik, maka engkau benar-benar baik dan bila mereka berkata engkau jahat, maka engkau sememangnya jahat."

BACA INI JUGA: Senarai Nama Anak Yang Dilarang Dalam Islam

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. Subhanallah walhamdulillah... t kasih atas perkongsian nasihat ini. Semoga Allah memberkati SP... aamiin.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon