Tuesday, February 16, 2016

Kisah Ajal Dua Kali M. Daud Kilau


Ahad, 14 Februari. 2016, figura tersohor, M. Daud Kilau, dilaporkan ‘sekali lagi meninggal dunia’ dan viral dilaman sosial.

M. Daud Kilau

Penyanyi yang membuahkan senyum setiap kali lagu Cek Mek Molek dendangannya diputar di radio, dengan rambutnya terlihat jelas berwarna putih dan keperangan kelihatan sihat. Biar sesekali nampak lelah, tetapi tetap bersemangat bicaranya.

Datuk M. Daud Kilau sebaliknya semakin membaik daripada penyakit komplikasi membuang air kecil dan ketumbuhan pada bahagian buah pinggangnya tatkala ramai cuba menunjuk pandai soal ajalnya yang sudah ‘sampai dua kali’.

“Saya berdoa supaya Allah bukakan hati mereka untuk tidak menyebarkan berita yang tidak benar apatah lagi apabila ia melibatkan kematian seseorang.”

“Ajal saya di tangan Allah, bukan manusia yang boleh bercakap apa sahaja,” katanya penuh makna.

M. Daud Kilau masih gagah mengatur langkah walaupun tidak selincah dulu. Beliau mampu berdiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan orang sekelilingnya.

Selera makannya juga bertambah, tetapi masih perlu mengambil ubat secara berkala seperti saranan doktor.

Tidak terkilan

Mengakui tidak terkilan mengenai fitnah kematiannya, pelantun lagu Gila Judi itu bagaimanapun menyahut pertanyaan dengan jawapan bersahaja tetapi penuh makna tersirat.

“Terpulang kepada mereka. Cuma, kalau boleh saya harapkan mereka lebih terbuka untuk menyampaikan berita yang benar pula selepas ini, bukan fitnah semata-mata. Fitnah ini bukan mendatangkan faedah kepada kita.

“Saya yakin, dengan berkat doa orang ramai, saya masih lagi boleh bernafas seperti biasa dan keadaan saya semakin bertambah baik. Alhamdulillah,” ujarnya sambil melemparkan senyuman.

Ulasnya lagi, beliau berterima kasih kepada orang yang membuat cerita tidak benar tentangnya dan tidak mengambil hati tentang perkara tersebut.

“Ribuan terima kasih kepada yang menulis bukan-bukan tentang saya. Tapi, kalau boleh selepas ini tolong tulis perkara yang benar kerana saya tidak mahu masyarakat terkeliru kerana saya masih diberi kekuatan oleh Allah untuk terus hidup,” katanya.

Dalam leka menyusun kata untuk menemu bual penghibur yang memulakan kerjaya dalam bidang seni usai bergelar Johan Bintang Radio 1968, terselak satu tirai realiti bahawa berita sedemikian barangkali mungkin tidak merobek perasaannya sendiri, tetapi lebih memberi kesan mendalam terhadap orang-orang tersayang yang dekat dengannya iatu ahli keluarga.

Masakan tidak, hubungan mereka sekeluarga begitu akrab dan kasih sayang antara ahli keluarganya iaitu isteri, Datin Rohani Awang Ngah, Noraini Muhammad Daud (anak), 47, Hassan Ahmad (menantu), 67, dan Norhasliana Hassan, 25, (cucu).

Mereka mengaku betapa fitnah kematian penyanyi itu membekaskan luka yang dalam, sehingga anak sulungnya, Noraini memberitahu tidak dapat memaafkan penyebar fitnah kematian bapa kesayangannya.

Membawa penyanyi itu kembali kepada jalan kariernya beberapa bulan lalu sebelum dikejarkan dan terlantar di hospital selama sebulan Januari lalu, kata M.Daud Kilau, kali terakhir beliau melakukan persembahan pentas adalah pada Pesta Air di Manjung, Perak sekitar Disember 2015.

Sejak itu, semua aktiviti nyanyian termasuk persembahan yang sudah dipersetujuinya ditolak. Duit pendahuluan juga sudah dipulangkan. Beliau tidak mahu berjanji untuk menghiburkan peminat dengan tahap kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Perkara itu (menyanyi), saya tolak tepi dulu. Apa yang paling penting sekarang adalah untuk kembali sihat. Kalau saya sihat, baru boleh menyanyi kembali.

“Walaupun tidak lagi lincah seperti sebelum ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk menghiburkan hati peminat kerana itulah bakat yang Allah beri kepada saya. Insya-Allah,” katanya dalam nada agak perlahan tetapi bersemangat.

Inspirasi

M. Daud Kilau [2]

Sebelum ini M. Daud Kilau terlantar di hospital selama sebulan sejak dimasukkan ke Hospital Teluk Intan, Perak pada 3 Januari lalu. Beliau dibenarkan keluar oleh pihak hospital pada 3 Februari lalu namun masih mendapat rawatan susulan di Hospital Selayang, Kuala Lumpur.

Menyorot perjalanan seninya sebagai seorang penghibur handalan, beliau memulakan langkah sebagai anak seni seawal tahun 1968 apabila dinobatkan sebagai Johan Bintang Radio 1968. Selain itu, beliau juga pernah menyandang gelaran Penyanyi Lelaki Popular Papita 1979 dan Johan Pesta Dendang Rakyat 1985 (Nyanyian Asli).

Kemenangan tersebut membuka pintu buat beliau menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak album yang memuatkan lagu bergenre langgam, asli dan dangdut.

Ada wajah ceria dan semyum simpul yang terukir sewaktu M. Daud Kilau diajak menjejak kembali kembara kariernya beberapa puluh tahun lalu.

Ditanya bagaimana beliau terjebak dalam dunia seni, jawabnya ringkas: “Ia adalah kerja dan rahsia Tuhan. Saya tidak sangka akan pergi sejauh ini dan jika suatu hari saya tiada lagi, saya gembira kerana lagu-lagu saya menjadi siulan ramai.”

Menyentuh tentang lagu-lagunya, Cek Mek Molek yang menjadi ‘bayangannya’ membuat M. Daud Kilau ketawa. Beliau mengaku lagu hasil ciptaan arwah Ahmad Shariff itu meninggalkan impak yang besar dalam kehidupannya.

“Saya fikir semua orang tahu tentang lagu itu dan menjadi trademark diri saya. Ia sekali gus memberi impak yang besar terhadap kelangsungan hidup saya sebagai seorang penghibur,” katanya.

Bercerita lanjut, M. Daud Kilau memberitahu turut menyelitkan nasihat berbentuk kiasan dalam karya-karyanya yang lain.

“Sebagai contoh, lagu Gila Judi yang saya sendiri tulis liriknya. Ia tentang kritikan halus mengenai sikap masyarakat tidak mengira zaman. Seperti lirik, saya harap peminat mendapat sesuatu daripada karya saya,” getusnya.

Diminta meninggalkan sedikit pesanan buat generasi muda yang aktif mendominasi dunia hiburan, M. Daud Kilau tersenyum.

Ringkas pesanan yang dititip namun penuh makna. Katanya sambil ketawa, “Jaga pemakanan. Jangan jadi seperti saya apabila sudah tua, banyak penyakit.”

BACA INI JUGA: 8 Artis Wanita Korea Yang Mati Membunuh Diri

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon