Thursday, January 07, 2016

Ibu Nafi Anak Terpaksa Kongsi Pakaian Sekolah!


Seorang ibu tunggal menafikan anak lelakinya lambat mendaftar di tingkatan satu di sebuah sekolah di Permatang Rawa, kerana terpaksa berkongsi pakaian sekolah dengan abangnya seperti yang tersebar di laman sosial.

Fadilah Hashim

Fadilah Hashim, 45, berkata walaupun mereka sekeluarga susah, beliau masih mampu menyediakan pakaian sekolah untuk tiga anaknya termasuk dua anak lelaki yang belajar di sekolah yang sama.

"Saya terkejut apabila didatangi pelbagai pihak termasuk Zakat Pulau Pinang (ZPP) selepas gambar anak saya menjadi viral hari ini...memang betul kami susah tetapi setiap bulan saya terima bantuan dari ZPP dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mereka datang bertanya sama ada saya memang tidak mampu menyediakan pakaian dan tiada duit untuk anak-anak bersekolah dan saya menafikannya kerana telah menyiapkan kelengkapan sekolah mereka...cuma anak bongsu yang tingkatan satu itu lambat mendaftar kerana baru tahu dia bersekolah di situ," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Permatang Rawa.

Gambar mengenai seorang pelajar tingkatan satu yang lambat mendaftar persekolahan kerana dikatakan terpaksa meminjam pakaian abangnya yang menuntut di tingkatan empat sekolah yang sama, menjadi viral.

Remaja itu dikatakan dari keluarga susah selepas ibu bapanya bercerai dan ibunya tidak bekerja.

Fadilah berkata beliau yang mengambil upah mengopek ikan bilis dengan pendapatan RM8.50 sehari, sedih dengan cerita yang menjadi viral itu dan berharap mereka yang memuat naik gambar itu dalam laman sosial dapat tampil memberi penjelasan sebenar.

"Setiap bulan saya terima bantuan sebanyak RM400 dari ZPP dan RM300 dari JKM, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya untuk menampung perbelanjaan tiga anak berusia 13 hingga 16 tahun," katanya.

Beliau yang bercerai dengan suami sejak lima tahun lepas, tinggal di rumah yang dibina menerusi Projek Perumahan Rakyat di Mukim 7 Permatang Rawa.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar ZPP Mohd Khairi Ghazali berkata pihaknya segera ke rumah keluarga berkenaan selepas mendapat maklumat menerusi laman sosial seperti yang diviralkan untuk melihat sendiri keadaan mereka.

"Kami juga terkejut kerana memang sebelum ini keluarga ibu tunggal itu menerima bantuan ZPP sejak 2012," katanya. -Bernama

BACA INI JUGA: Memalukan Bila Budak Sekolah Ajar ‘Step’ Buat 'Asmara'!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon