Monday, January 11, 2016

Aplikasi Penyekat Iklan Pada Smartphone Anda


Laman sesawang Internet mudah alih berdepan ancaman baharu tatkala jutaan pengguna memuat turun penyekat iklan ke dalam telefon pintar dan tablet mereka untuk mencegah iklan pengganggu, di mana ia berpotensi menghapuskan berbilion dolar pendapatan pengiklanan.

360 Mobilephone Guard apps

Terdapat hampir 200 juta muat turun perisian penyekat iklan menjelang pertengahan 2015, menurut firma penyelidikan PageFair, namun cuma 1.6 peratus sekatan tersebut dilakukan pada peranti mudah alih berbanding komputer.

Situasi mungkin berubah tatkala perisian penyekat iklan mudah alih semakin popular di seluruh dunia, khususnya selepas langkah berprofil tinggi oleh Apple yang menyerapkannya secara langsung dalam sistem operasi terkini iOS9 bagi iPhone dan iPad.

Perisian tersebut murah tetapi efektif, pantas dipasang dan mengurangkan tempelan pada laman sesawang, mempercepat prestasi dan mengelakkan pengguna daripada umpan klik yang amat mengganggu.

“Apabila orang sanggup membayar untuk menghentikan iklan, jelas sekali mereka amat muak dengannya,” kata Hicham Berrada, pengarah firma pengiklanan video France de Teads, ketika ditemui koresponden Yassine Khiri di Paris, baru-baru ini.

Tatkala kerajaan China meneliti laman sesawang bagi kandungan sensitif politik, ia tetap berselerak dengan iklan terpecul yang memaksa jutaan pengguna membeli aplikasi seperti ‘360 Mobilephone Guard’.

Di Hong Kong, penyekat iklan mudah alih ‘Purify Blocker’ dan ‘Crystal’ baru-baru ini memasuki senarai 30 teratas aplikasi berbayar untuk iPhone.

Satu kajian oleh Adobe dan PageFair pada Ogos berkata, kerugian bagi laman sesawang yang bergantung kepada pengiklanan ternyata besar, mencecah anggaran AS$21.8 bilion tahun lepas dan mencecah kepada AS$41 bilion pada tahun ini.

Namun tidak ramai menangisi kehilangan publisiti mengganggu, dengan laman teknologi Hong Kong Unwire. hk baru-baru ini mempromosikan aplikasi penyekat iklan walaupun majalah dalam talian itu sendiri amat bergantung kepada pendapatan daripada pengiklanan.

“Sebagai pekerja Unwire, menulis tutorial ini tidak berhasil bagi pendapatan majikan, tetapi saya juga memahami ada orang tidak mempunyai pelan data tidak terhad dan amat terkilan menerima limpahan iklan yang memakan data,” kata penilai Tim Yan.

Terdapat kebimbangan khusus bahawa tindakan Apple mempromosikan aplikasi penyekat iklan mungkin mempopularkannya dalam arus perdana, di mana sebelum ini ia lebih dikenali kalangan pengguna yang lebih pintar teknologi.

DEMOKRASI

“Ia berbahaya kerana mendemokrasikan penyekat iklan dan kita tahu betapa bagusnya Apple dalam menjadikan peranti lebih mudah digunakan oleh pengguna,” kata Berrada.

Apple bagaimanapun tidak mengalami sebarang kerugian memandangkan ia tidak bergantung kepada pendapatan pengiklanan dalam cara yang sama seperti pesaing digitalnya Google dan Facebook.

Akibatnya, Google lebih keberatan mempromosikan aplikasi penyekat iklan, walaupun sesetengah pembangun pihak ketiga menawarkannya untuk peranti Android, dengan satu aplikasi berbangga dengan lebih setengah juta muat turun.

“Google tidak memudahkannya kerana ia meraih kebanyakan pendapatannya daripada pengiklanan.

“Sekiranya pengiklan mendapati semua orang menyekat iklan, mereka akan berhenti menaja kandungan,” kata penganalisis Silicon Valley Rob Enderle kepada koresponden Glenn Chapman di San Francisco.

“Terdapat kebimbangan besar di mana ramai penerbit tidak mampu lagi menerima pelarasan semula dalam pendapatan iklan.

“Mereka yang meraih kebanyakan pendapatan daripada pengiklanan mulai menyuarakan kebimbangan mereka,” tambah beliau lanjut.

Pengiklanan media digital telah diunjur untuk berkembang sebanyak 15.7 peratus pada 2015, menurut agensi analisis Carat, tetapi ia kelihatan mungkin kemuncaknya pada saat ini.

“Kita sekarang berada dalam situasi yang amat memberangsangkan kerana mudah alih membuka pelbagai pilihan fungsi yang tidak dapat disediakan dalam laman sesawang,” kata Sophie Poncin, pengerusi kesatuan pengiklan Internet di Perancis, mendedahkan nilai khusus kedudukan GPS bagi pengiklan.

Dalam sebuah industri di mana kemusnahan kreatif sudah menjadi normal, pihak pengiklanan sudahpun memberi reaksi kepada persekitaran baharu dan menyeru perubahan.

Firma Berrada barubaru ini menerbitkan manifesto menggesa iklan yang kurang mengganggu, penamat kepada video timbul yang memenuhi seluruh skrin dan memberikan pengguna pilihan untuk menolak pilihan yang tidak digemari.

Ia juga menarik bagi pengguna dalam mengenal pasti kepentingan pengiklanan bagi mengekalkan kebebasan dan aspek percuma Internet.

“Dengan televisyen, orang amat memahami bahawa pengiklanan menaja saluran swasta.

“Kita tidak pernah mengambil masa untuk menjelaskan kepada pengguna bagaimana segala-galanya berfungsi,” kata Poncin. -AFP

BACA INI JUGA: Tawaran Pembelian Website Dan Apps Popular Yang Gagal

2 comments

  1. bagus ada aplication mcm ni..
    memng klau bkak link2 kat fb..kat hp..
    memang terasa menyampah banyak sangat ikan2

    ReplyDelete
  2. rasa tenang kalau ada penyekat mcm ni....kalau x....huihhh..serabut tgk iklan pop up...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon