Monday, December 14, 2015

Polterabend, Budaya Pelik Memecahkan Pinggan Sebagai Doa Kebahagiaan Pengantin


Setiap pengantin baru mengharapkan majlis perkahwinan berjalan lancar dengan diiringi doa dan ucapan selamat.

Polterabend

Peliknya, di Jerman lain pula ceritanya. Tetamu dan ahli keluarga yang hadir akan membuat kecoh dengan memecahkan pinggan sebagai mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin.

Bukan hanya pinggan, tetamu juga dibolehkan memecahkan cawan, mangkuk, barang perhiasan seperti pasu bunga, jubin, sinki, tandas atau apa saja benda yang diperbuat daripada porselin.

Porselin ialah bahan keras berwarna putih dan lut sinar yang dihasilkan daripada tanah liat halus.

Jika dilihat pada kos, perbuatan ini seakan merugikan pasangan pengantin kerana barang-barang berkenaan mungkin mahal harganya.

Apatah lagi jika melibatkan pembaikan semula segala kerosakan barang-barang porselin di dalam rumah.

Ditambah pula, pasangan pengantin lazimnya memerlukan sejumlah wang yang banyak untuk memulakan kehidupan baru.

Jadi, acara seperti ini mungkin agak membebankan kedua-dua mempelai. Itu barangkali sebahagian pendapat orang luar selepas melihat acara memecahkan pinggan yang dilakukan masyarakat Jerman.

Namun, bagi pasangan pengantin di Jerman, wang bukan masalahnya kerana ia merupakan adat yang perlu diteruskan untuk menghormati nenek moyang mereka.

Itulah sebabnya kenapa budaya yang dipanggil sebagai Polterabend ini masih diamalkan sampai sekarang.

Orang Jerman mengamalkan budaya unik ini bermula seawal tahun 1517. Istilah Polterabend berasal daripada bahasa Jerman iaitu 'poltern' yang bermaksud membuat raket. Manakala 'abend' pula membawa erti petang.

Polterabend [2]

Idea asal tradisi ini adalah untuk membuat bunyi bising. Dengan tujuan melindungi pasangan pengantin muda daripada gangguan hantu atau roh-roh jahat.

Ia merupakan perbuatan yang serupa seperti dilakukan oleh orang Britain di mana mereka mengikat sejumlah tin kosong di belakang kereta pengantin.

Bagaimanapun, generasi baru telah mengubah adat Polterabend menjadi parti tradisional untuk meraikan bakal pengantin.

Sehari sebelum majlis perkahwinan, Polterabend akan diadakan di rumah ibu bapa pengantin atau ruang terbuka di mana semua orang boleh menyertainya.

Pun begitu, bukan semua kenalan dijemput menghadiri pesta tersebut. Hanya tetamu yang tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan pada hari perkahwinan saja dialu-alukan datang ke acara Polterabend.

Oleh kerana Polterabend bukan majlis rasmi, tiada kad undangan diberikan kepada bakal tetamu. Biasanya pelawaan cuma melalui mulut saja.

Tetamu yang hadir juga hanya memakai pakaian kasual dan tidak membawa apa-apa hadian. Namun, tetamu tidak dilarang sekiranya para jemputan memberikan hadiah kepada pengantin.

Ada kalanya, tetamu bukan hanya membawa hadia tetapi mereka turut membawa bersama barang porselin sendiri. Apabila tiba di pesta Polterabend, tetamu jemputan akan memecahkannya di depan pintu masuk rumah pengantin.

Mereka percaya bahawa perbuatan pelik itu bakal membawa tuah kepada pengantin. Cara itu juga sebagai tanda ucapan selamat meninggalkan zaman bujang buat kedua mempelai.

Sejurus majlis Polterabend selesai, kedua-dua mempelai perlu membersihkan serpihan taburan porselin. Tujuan pembersihan ini bukanlah untuk membuli pengantin, tapi segala yang dilakukan itu ada ceritanya tersendiri.

Masyarakat Jerman percaya cara itu mampu menyedarkan pasangan pengantin bahawa kehidupan berumah tangga akan menjadi lebih sukar kerana tugas dan tanggungjawab yang lebih berat bakal menanti mereka.

Sebenarnya mesej yang lebih penting dari itu ialah, pasangan suami isteri harus saling bekerjasama mengatasi permasalahan rumah tangga.

Itulah sebabnya mengapa mereka harus bekerjasama membersihkan serpihan porselin sejurus pesta meraikan hari bersejarah mereka tamat.

Dilaporkan, walaupun tetamu dibolehkan membuat kecoh dengan memecahkan barangan porselin milik keluarga pengantin, itu tidak bermakna tetamu boleh melakukan apa saja.

Tetamu tetap dikenakan syarat untuk tidak memecahkan mana-mana barangan kaca seperti gelas atau cermin.

Polterabend [3]

Dalam tradisi Polterabend, kaca dianggap barang terlarang sepanjang majlis berlangsung. Ini kerana kaca dipercayai mewakili kesejahteraan dan kebahagiaan.

Justeru, memecahkan benda rapuh itu adalah sangat-sangat ditegah kerana perbuatan tersebut dikhuatiri bakal mendatangkan malapetaka kepada kedua-dua mempelai.

Nasib malang yang menimpa pengantin dikatakan bukan sehari dua, tetapi ia bakal berlangsung sehingga tujuh tahun lamanya.

Dengan erti kata lain, ia umpama mendoakan perkara tidak elok buat pengantin baru sepanjang mereka melayari alam rumah tangga.

BACA INI JUGA: Budaya Pelik Perkahwinan Mayat Di China

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

  1. Pelik juga tu SP..apa lah ertinya tu habis harta dipecahkan....apapun tu budaya diorang, rugilah beli kemudian pecahkan..

    ReplyDelete
  2. Kat Malaysia pun mungkin juga boleh berlaku. Tapi mungkin untuk kawin kali ke 2, 3 atau 4..tanpa izin...:D :D

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon