Wednesday, October 14, 2015

Umar Al-khattab Pencipta Takwim Hijrah


Dalam usaha menyambut 1 Muharam yang sering dikaitkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW, timbul kekeliruan di kalangan sebahagian masyarakat. Kekeliruan di antara tarikh sebenar hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah dengan Maal Hijrah.

Pencipta Takwim Hijrah

Ada pihak yang beranggapan Rasulullah s.a.w. berhijrah pada tarikh 1 Muharam, justeru diadakan sambutan bagi mengingati dan merayakan tarikh peristiwa itu berlaku.

Ada yang beranggapan takwim tahun Hijrah telah mula digunakan sejak dari detik peristiwa hijrah tersebut.

Ada yang beranggapan tarikh sebenar Rasulullah s.a.w. berhijrah telah dipinda dan dijadikan sebagai 1 Muharam.

Dalam buku-buku sejarah menyebut Rasulullah berangkat hijrah meninggalkan Mekah setelah mendapat wahyu yang mengizinkan baginda berbuat demikian.

Setelah beberapa hari berjalan akhirnya baginda sampai di Quba, satu tempat yang terletak beberapa kilometer dari Madinah.

Menurut ahli falak Sheikh Tahir Jalaluddin, Rasulullah s.a.w. telah sampai di Quba pada hari Isnin 9 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M. Selepas empat hari berada di Quba baginda meneruskan perjalanan dan telah memasuki Madinah pada Jumaat 13 Rabiulawal bersamaan 24 September 622M.

Sebenarnya takwim Hijrah bermula atas cadangan Sayidina Umar Al-Khattab. Semasa beliau menjadi khalifah yang kedua.

Seorang gabenor, Abu Musa menerima surat dari beliau yang hanya menyatakan tarikh bulan Syaaban tanpa menyatakan tahun.

Abu Musa menulis surat bertanya kepada beliau bulan Syaaban yang mana satu, tahun ini atau tahun hadapan?

Bermula dari keadaan itu Sayidina Umar mencadangkan agar diwujudkan unit tahun dalam takwim selain haribulan dan bulan.

Sebelum kedatangan Islam dan semasa hayat Rasulullah s.a.w. takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamari yang merujuk unit tahun kepada peristiwa besar seperti Tahun Gajah merujuk kepada tahun peristiwa tentera bergajah menyerang Kaabah.

Sayidina Umar telah menerima cadangan yang menjadikan tahun Rasulullah s.a.w. berhijrah sebagai tahun pertama takwim Hijrah.

Bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah dan apabila dikebelakangkan dari tarikh sebenar Baginda sampai di Madinah maka 1 Muharam sebagai hari pertama tahun Hijrah yang jatuh pada Jumaat 16 Julai 622M.

Ini bermakna takwim tahun Hijrah ketika mula digunakan semasa pemerintahan Sayidina Umar sudah menjadi tahun Hijrah yang ke-17.

Dan takwim ini juga bukan mula digunakan semasa hayat Rasulullah tetapi selepas 17 tahun berlalunya peristiwa hijrah, barulah takwim Hijrah yang kita amalkan hari ini dipraktikkan.

Kesimpulannya tarikh hijrah Rasulullah bukanlah pada 1 Muharam tetapi 1 Muharam adalah hari pertama dalam takwim Hijrah dan tarikh hijrah Rasulullah s.a.w. tidak dijadikan sebagai hari pertama takwim Hijrah.

Takwim Hijrah mula dipraktikkan selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. oleh Sayidina Umar Al-Khattab iaitu pada tahun ke-17 Hijrah.

Perbahasan Tentang Tarikh Hijrah Rasulullah SAW

Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Sayidina Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah.

Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Sayidina Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi.

Maka, telah berlaku salah faham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.

Dahulu, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam.

Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan Arab. Cuma, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

Di zaman Sayidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam.

Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam, namun ditolak oleh Sayidina Umar bin al-Khattab r.a.

Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.

Kemudian, timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Sayidina Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram.

Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.

Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar, “Cadangan yang baik”. Mereka berkata, “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi, “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadhan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).

Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.

Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat.

Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul.

Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam.

Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah).

Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba.

Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah.

Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan Muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah.

Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal.

Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal.

Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.

BACA INI JUGA: 5 Fasa Umat Akhir Zaman, Bersabarlah Wahai Umat Islam

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

2 comments

  1. Salam Maal Hijrah SP. Berhijrah kita ke arah yg lebih baik...

    ReplyDelete
  2. Salam Maal Hijrah SP. Semoga tahun ini lebih baik dari sebelumnya dgn sepenuh keberkatan dan kejayaan yg berterusan... aamiin.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon