Friday, October 23, 2015

Kesedihan Yang Pasti Dirasai Semua Insan


Apabila sakit Rasulullah SAW semakin berat, baginda memanggil puterinya Fatimah. Puteri kesayangan baginda itu segera memenuhi panggilan tersebut. Apabila Fatimah tiba, baginda menyambutnya dengan mesra, lalu mempersilakannya duduk di sebelah baginda.

Mengingati Mati

Rasulullah lalu membisikkan sesuatu kepada Fatimah. Mendengar apa yang dibisikkan itu, Fatimah menangis. Rasulullah lalu berbisik kepadanya bagi kali kedua. Kali ini, Fatimah tersenyum.

Siti Aisyah yang melihat perkara ini berasa hairan. Beliau ingin tahu apakah perkara yang dibisikkan Rasulullah kepada Fatimah.

Apabila Aisyah bertanyakan perkara itu, Fatimah enggan memberitahunya. Sambil berkata, “Saya tidak dapat mendedahkan rahsia Rasulullah.”

Beberapa masa kemudian, Rasulullah wafat. Aisyah kembali bertanyakan mengenai perkara itu kepada Fatimah.

Beliau berkata, “Saya meminta kepadamu, demi hak saya ke atasmu, beritahulah apa yang Rasulullah bisikkan kepadamu sebelum ini.”

Fatimah berkata, “Kerana engkau bertanya pada masa ini, maka aku akan memberitahunya.”

Fatimah bercerita, “Pada bisikan pertama, baginda memberitahu bahawa biasanya Jibril membacakan al-Quran kepada baginda satu kali sahaja setiap tahun. Namun pada tahun ini, Jibril membacakannya hingga dua kali. Aku merasa ini menjadi petanda bahawa ajalku telah dekat. Maka bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya aku akan mendahuluimu.”

“Itu sebabnya aku menangis sebagaimana yang engkau lihat. Baginda menjadi kasihan kepadaku,” lanjut Fatimah.

“Baginda lalu berbisik kali kedua dan berkata, Tidakkah engkau suka menjadi penghulu semua perempuan ahli syurga? Sesungguhnya engkau akan menjadi ahli keluargaku yang paling pertama menyusulku.”

Fatimah berkata, “Kerana ucapan ini aku lalu tersenyum.” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Kematian Bukan Penamat Perjalanan

Kisah ini mengajarkan satu konsep tentang kematian yang sangat menarik. Kematian memang memisahkan kita daripada orang yang kita cintai. Namun kematian juga mempertemukan kita dengan orang yang kita cintai. Justeru, berita kematian membuatkan Fatimah menangis, kemudiannya tersenyum.

Bagi seorang Muslim, kematian bukan perpisahan hakiki. Ia hanyalah perpisahan sementara yang membuka peluang untuk pertemuan semula. Apabila kedua-duanya memasuki syurga, maka perjumpaan akan kembali berlaku.

Allah berfirman, “Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka, dan kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (al-Tur: 21)

Mentafsirkan ayat ini, Abu Mijlaz berkata, “Allah mengumpulkan kembali zuriat keturunan seorang ahli syurga sebagaimana ia suka berkumpul bersama mereka di dunia.”

Ahli keluarga yang telah terpisah akibat kematian akan kembali berjumpa di syurga nanti. Suami akan kembali berjumpa dengan isterinya.

Ibu bapa akan kembali berjumpa dengan anak-anaknya. Begitu juga adik beradik, sahabat dan handai taulan. Mereka akan kembali berjumpa dalam suasana yang penuh kebahagiaan dan keseronokan.

Pemisah Hakiki

Apabila ahli syurga dipertemukan kembali, pada masa yang sama ahli neraka terpisah daripada orang yang mereka cintai.

Kalaupun mereka berkumpul kembali, perjumpaan itu hanya membuat mereka saling memaki dan menyalahkan. Tiada lagi ikatan persahabatan dan cinta kasih sepertimana yang mereka rasakan di dunia.

Firman Allah, “Pada hari itu sahabat-sahabat karib, setengahnya akan menjadi musuh kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa.” (al-Zukhruf ayat 67)

Berkata Ibn Kathir dalam tafsirnya, “Setiap perkenalan dan persahabatan yang bukan kerana Allah akan berbalik menjadi permusuhan pada hari kiamat nanti.”

Kesimpulannya, pemisah sebenar ialah dosa dan maksiat. Justeru jika anda bersedih atas kematian orang yang anda cintai dan ingin berjumpa semula dengannya, perbanyakkan doa untuknya.

Pada masa yang sama, pastikan diri anda jauh daripada perkara yang dilarang agama. Semoga Allah mempertemukan kembali anda dan dia dalam payungan reda Allah.

BACA INI JUGA: Sakitnya Saat Kematian

Sumber: Utusan.com.my

2 comments

  1. Tiada makhluk yang kekal abadi... Yg penting perlu bersedia dgn bekalan setiap masa kerana ajal itu akan datang bila-bila masa.

    ReplyDelete
  2. kematian itu pasti amat dekat dengan kita SP..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon