Friday, September 11, 2015

Proses Dan Tujuan Penciptaan Manusia


Teori evolusi manusia yang diperkenalkan oleh Darwin merupakan suatu penipuan paling besar dalam dunia keilmuan bahkan merupakan suatu penghinaan terhadap penciptaan manusia.

Penciptaan Manusia

Teori ini ternyata tidak pernah menemui bukti yang kukuh dan ‘valid’ sehingga penggunaannya telah terhakis dan semakin berkubur.

Manusia mempunyai kelebihan akal untuk melakukan kajian dan membuat analisa terhadap jirim yang wujud di alam semesta. Namun seringkali kelebihan akal disalahguna dengan penipuan untuk kepentingan tertentu.

Pemikiran sebegini disandarkan kepada material dan logik semata tanpa melihat kepada aspek keadilan berteraskan petunjuk Pencipta.

Penemuan-penemuan melalui kajian saintifik mampu memberi kesedaran kepada manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras untuk mengakui kewujudan kuasa Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mencipta.

Meneliti kepada penciptaan (sistem) manusia yang kompleks dan sangat teliti, dan melihat kepada kewujudan alam semesta yang variasi, saling berkait dan mengagumkan, adakah ia terjadi dengan sendirinya?

Proses penciptaan manusia

Proses pembentukan manusia bermula dengan percantuman antara benih lelaki dan benih wanita dan perkara ini ada dinyatakan oleh Yang Maha Mencipta melalui firmanNya;

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.” (Al-Insan: 2)

Manusia sering memikirkan untuk mencapai sesuatu bagi memenuhi kehendaknya atau untuk kepuasannya.  Manusia sering lupa hakikat penciptaan mereka dan tujuan mereka diciptakan.

Ramai dikalangan manusia yang menjadikan kesenangan hidup sebagai matlamat utama. Ada juga golongan yang hanya menumpukan kepada keseronokan dan permainan yang sentiasa didorong oleh hawa nafsu.

Penciptaan manusia bukan sia-sia

Penciptaan manusia bukan suatu perkara yang main-main.

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (al-Mukminun: 115)

Sebaliknya Allah sedari awal telah mengingatkan kepada kita bahawa setiap perbuatan kita akan disoal dan diminta pertanggungjawaban.

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.” (al-Isra’: 36)

Tujuan manusia diciptakan

Hakikatnya tujuan penciptaan manusia adalah sebagai abdi kepada Allah dan khalifah di bumi.

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.” (adz-Dzariyat: 56)

Pangkat ‘Hamba’ merupakan pangkat yang diberikan oleh Allah, tuan dan pemilik segala-galanya. Pangkat datuk, tun, tan sri, prof, dr, sultan dan sebagainya hanyalah pangkat ciptaan manusia di dunia yang tidak kekal.

Seorang hamba perlu taat dan patuh kepada semua arahan tuannya, lebih-lebih lagi jika diberi dan dikurniakan dengan segala macam bantuan, kemudahan dan keamanan oleh tuannya. Oleh itu, kita mesti melakukan segala arahan dengan penuh pengertian bahawa kita menyerahkan segala-galanya kepada tuan kita.

Kata kunci ‘penyerahan’ ini yang menjadi intipati kepada Islam iaitu penyerahan secara keseluruhan terhadap Allah. Mereka yang dipandang oleh Allah dengan pangkat ‘Hamba’ ini pasti beroleh keuntungan di dunia dan di akhirat.

Tanggungjawab sebagai abdi merupakan suatu tanggungjawab individu atau fardhu ain. Ia meliputi kepada kemestian untuk memahami lapangan akidah dan tauhid, syariat dan akhlak.

Allah juga membebankan manusia dengan taklifan sebagai khalifah. Dari segi bahasa, khalifah bermaksud pengganti. Ia menjelaskan bahawa Allah mengamanahkan manusia sebagai ‘pengganti’ untuk mentadbir bumi dengan merujuk kepada manual dan panduan daripadaNya.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikanMu?” Dia berfirman, “Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. ” (al-Baqarah: 30 )

Amanah ini sangat besar dan berat. Perkara ini merupakan suatu tanggungjawab sosial atau fardhu kifayah yang perlu dilaksanakan bagi menjamin kehidupan yang harmoni, aman dan adil.

Ia meliputi segala aspek kehidupan seperti cabang seperti memberi peluang pendidikan, memastikan bidang pertanian dan penghasilan bahan makan yang halal lagi baik, menyediakan kemudahan kesihatan serta tempat kediaman yang baik.

Disamping itu, lapangan yang besar juga perlu ditekankan seperti keselamatan dengan bantuan pihak polis, tentera dan badan sukarela di kalangan masyarakat. Bidang perundangan adalah sangat penting bagi menjamin keadilan dilaksanakan tanpa mengikut tafsiran sempit manusia yang berkepentingan sebaliknya perlu bersandarkan acuan daripada Tuhan pencipta manusia.

Maka tiada alasan bagi manusia untuk memisahkan agama dalam kehidupan ini. Setiap perkara dalam aspek kehidupan manusia perlu dikaitkan dengan agama dan kembali kepadaNya.

Dengan memahami bahawa tujuan kita diciptakan dan bebanan yang sangat besar ini, kita wajar berhati-hati dalam melakukan setaip perkara kerana memikirkan balasan yang akan diberikan di akhirat kelak.

“Setiap dari kamu merupakan pemimpin dan setiap dari kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu pimpin.” (hadis riwayat Bukhari no. 893 dan Muslim no. 1829)

BACA INI JUGA: Penciptaan Allah Yang Paling Menakjubkan

Sumber: Wmazmi

3 comments

  1. SP,Etuza akan baca kembali ya...

    ReplyDelete
  2. Subhanallah... Allahuakbar.
    Tiada yang setandingmu... Allah SWT.

    ReplyDelete
  3. Sesunggunhnya Allah beri ujian kepada hambaNya dengan beri amanah. Semoga juriat kita menjadi amanah yang soleh dan solehah. Alhamdulillah selesai membacanya..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon