Sunday, September 27, 2015

Misteri Surat Penyelamat Seksaan 25 Tahun


Pada 23 Mei 1901, pejabat guaman di Paris telah menerima sepucuk surat yang tidak tercatat nama pengirim.

Blanche Monnier [2]

Isi kandungan surat itu berbunyi, "Tuan peguam: Dengan penuh rasa hormat, saya ingin memaklumkan tentang kejadian yang tidak diketahui sesiapa. Mengenai seorang wanita yang dikurung di dalam rumah Madame Monnier. Dia separuh kebuluran, hidupnya di dalam bilik bawah tanah yang kotor semenjak 25 tahun yang lalu.."

Surat yang diterima itu memeranjatkan pihak berkuasa Paris. Masakan tidak, rumah yang dikatakan lokasi wanita dikurung adalah milik Monnier, keluarga bangsawan yang terkenal dengan sifat pemurah mereka.

Mana mungkin keluarga itu menyeksa, apatah lagi mengurung orang di dalam rumah tersebut.

Penduduk tempatan tahu, Madam Louise tinggal dirumah agamnya yang tersergam itu bersama anak lelakinya, Marcel Monnier, seorang lulusan sekolah guaman.

Keluarga mereka begitu dihormati sehinggakan salah sebuah bandar di Paris dinamakan sempena nama keluarga mereka.

Penduduk tempatan juga tahu, kisah anak gadis keluarga itu yang digambarkan sebagai gadis yang cantik dan periang, namun hilang secara misteri lebih kurang 25 tahun yang lalu.

Walaupun sukar percaya dakwaan surat layang tersebut, pihak polis tetap melakukan siasatan.

Mereka datang ke rumah agam Monnier sebelum memecah masuk ke sebuah bilik yang didakwa menjadi tempat kurungan seorang wanita selama 25 tahun.

Melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, mereka terhidu bau busuk. Dalam bilik yang gelap tanpa sebarang pencahayaan, pasukan penyelamat melihat kelibat seorang wanita tanpa pakaian yang duduk diatas tilam jerami yang hampir reput.

Wanita itu tampak ketakutan. Badannya kurus kering, persekitarannya dipenuhi najis dan sisa-sisa makanan.

Udara didalam bilik sempit itu sangat busuk sehingga menyukarkan pasukan penyelamat untuk bernafas. Mereka segera mengangkat wanita malang itu keluar dari bilik kurungannya.

Wanita itu dibawa ke hospital. Doktor yang merawatnya meramalkan wanita itu tidak akan hidup lama. Sewaktu ditemui, wanita itu hanya seberat 55 paun.

Setelah disiasat, rupa-rupanya wanita itu ialah Blanche Monnier, anak gadis keluarga itu yang dikatakan telah hilang sejak sekian lama. Ibu dan abang kandungnya segera ditahan sebagai suspek utama.

Cinta terhalang

Sewaktu siasatan dijalankan, satu persatu rahsia yang selama ini ditutup mula terungkai. Semuanya bermula sekitar 25 tahun sebelum Blanche ditemui dikurung.

Ketika itu, Blanche telah jatuh cinta dengan seorang peguam miskin. Terdapat juga dakwaan mengatakan Blanche mempunyai seorang anak hasil hubungannya dengan peguam tersebut.

Madame Monnier - Letter

Surat misteri yang telah menyelamatkan Blanche Monnier.

Ibunya, Madam Louise menentang hubungan mereka. Pelbagai cara dilakukan untuk menghalang anaknya daripada meneruskan hubungan dengan lelaki tersebut.

Pertengkaran sering berlaku dalam keluarga itu, namun kedua-dua pihak tidak mahu mengalah. Akhirnya, Madam Louise dan anak lelakinya Marcel, merancang pelan untuk menghentikan hubungan cinta Blanche.

Pada mulanya, Blanche hanya dikurung didalam sebuah bilik dan hanya akan dilepaskan jika dia setuju untuk memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

Madam Louise yakin anak gadisnya pasti mengalah dan menurut permintaannya. Ternyata dia silap, Blanche nekad dengan keputusannya.

Masa berlalu, hari berganti hari, Blanche kini bukan lagi seorang anak gadis seperti dahulu. Kekasih yang menyebabkan dia dikurung sudah meninggal dunia pada tahun 1885.

Sepanjang waktu itu, Blanche dikurung dalam bilik yang sempit dan kotor tanpa sedikit pun cahaya dapat menembusi bilik bawah tanah yang menjadi 'istananya' itu.

Peneman setia Blanche hanyalah tikus dan serangga yang memakan sisa-sisa makanan yang bersepah didalam kurungan itu.

Tempoh 25 tahun bukanlah jangka waktu yang pendek. Tidak hairanlah apabila Blanche akhirnya dibebaskan, dia seperti kurang siuman. Mungkin kesan seksaan mental dan fizikal yang ditanggung bertahun-tahun lamanya.

Abang Blanche, Marcel dalam kenyataan pembelaannya mendakwa Blanche mengalami masalah mental, sentiasa dalam keadaan marah dan berpotensi mencederakan diri sendiri.

Namun, ia disangkal beberapa orang saksi yang mendakwa sering terdengar suara orang merayu minta dibebaskan dari bilik bawah tanah tersebut.

Penduduk tempatan yang mengetahui kisah tersebut begitu marah dengan perbuatan abang dan ibu Blanche. Mereka menunggu diluar balai polis dengan menjerit kata-kata makian apabila melihat kedua-dua mereka.

Ibu Blanche bagaimanapun hanya ditempatkan dibilik sakit dalam penjara kerana menderita sakit jantung.

Lima belas hari kemudian, dia meninggal dunia. Dia dikatakan hanya mengucapkan 'Oh anakku Blanche' berulang-ulang kali kepada doktor yang merawatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Marcel pula dibicarakan seorang diri kerana menjadi rakan subahat kepada ibunya. Perbicaraan dijalankan pada 7 Oktober 1901.

Empat hari kemudian, Marcel didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan kerana bersubahat. Hukuman itu dibantah ramai pihak yang menganggap ia terlalu ringan.

Marcel kemudiannya mengemukakan rayuan kepada mahkamah atas alasan, dia tidak pernah mendera adiknya secara fizikal dan hanya menurut perintah ibunya.

Rayuannya diterima dan akhirnya dia dibebaskan dari penjara.

Pengirim misteri

Blanche Monnier

Tanda tanya siapa yang mengirim surat itu sehingga membawa kepada penemuan Blanche masih belum terungkai. Terdapat dua teori mengenai identiti pengirim tersebut.

Ada pendapat yang mengatakan, Marcel sendiri yang mengirim surat tersebut kerana dia bimbang dengan usia ibunya yang semakin lanjut dan tidak mahu dipersalahkan atas apa yang berlaku.

Ada juga yang berpendapat mengatakan surat itu dikirim oleh seorang askar yang pernah bekerja dengan keluarga Monnier. Dia mengirimkannya kerana kasihan dengan nasib yang menimpa Blanche.

Namun, sehingga ke hari ini, identiti penyelamat Blanche masih kekal misteri.

Walaupun dikatakan bernasib baik kerana akhirnya dapat keluar dari bilik seksaan tersebut, Blanche tidak pulih sepenuhnya.

Dia hanya berjaya menambah berat badannya, namun kekal kurang siuman sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 1913 di Hospital Psikiatri Blois, 12 tahun selepas diselamatkan.

Kisah wanita malang ini terus meniti dibibir penduduk tempatan sehingga ke hari ini.

Kerana cinta terhalang, Blanche menjadi mangsa kekejaman keluarga sendiri.

BACA INI JUGA: Misteri Rayuan Roh Pulau Poveglia

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon