Friday, September 04, 2015

Dua Nikmat Yang Sering Dilupakan


Alhamdulillah. Kita masih lagi mampu bernafas, masih mampu bergerak, masih mampu berfikir dan masih hidup.

Nikmat yang manusia lupakan

Andainya pagi tadi kita bangun dari tidur dan tidak dapat melihat, adakah kita mampu berganjak daripada tempat tidur kita?

Andainya setelah terjaga dari tidur pagi tadi telinga kita tidak dapat mendengar sebarang bunyi, kepada siapa kita akan mengadu?

SubhanallaAllah. Banyak sungguh nikmat yang kita perolehi setiap hari.

Berapakah bayaran untuk semua ini? Bayaran untuk udara yang dihirup, air yang diminum, tenaga yang digunakan, kewarasan ketika berfikir dan masa yang mematangkan kita?

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkannya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.” (an-Nahl, 16: 18)

Sesungguhnya nikmat Allah adalah terlalu banyak diberikan kepada makhlukNya. Namun manusia sering lalai dan leka dengan nikmat yang dikecapi ini sehingga Allah bertanya kepada mereka yang sering mendustakan nikmat-nikmat yang diberikanNya.

Mari kita melihat kepada surah ar-Rahman, di mana Allah mengulang-ulang firmanNya, “Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”

Dalam surah ini, Allah memberikan banyak contoh nikmat yang dikurniakannya kepada manusia daripada penciptaan alam, kejadian manusia sehinggalah ganjaran di Syurga.

2 Nikmat

Dua nikmat yang manusia sering lupakan ada dinyatakan oleh RasulAllah seperti hadith di bawah.

Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma dari Rasulullah SAW bersabda, "Dua nikmat yang kebanyakan manusia terpedaya dengannya ialah waktu sihat dan masa lapang." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Memang tidak dapat dinafikan bahawa dua nikmat tersebut iaitu masa sihat dan masa lapang sering tidak dipedulikan oleh kebanyakan manusia.

Ketika badan dan akal kita sihat, setiap perkara mudah dilakukan. Kita mudah untuk bergerak ke mana sahaja tanpa sebarang keuzuran.

Namun adakah kekuatan fizikal ini digunakan dengan cara yang terbaik dalam memenuhi tuntutan agama? Adakah kita mudah pergi ke masjid, sentiasa menghadiri majlis ilmu atau menziarahi saudara dan tetangga?

Adakah akal yang sihat dan waras digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk agama?

Atau menggunakan kelebihan intelektual ini dengan memberi buah fikiran dalam menyelesaikan masalah masyrakat!?

Kita mudah menghargai nikmat kesihatan bila ditimpa sakit. Bak kata pepatah, bila terhantuk baru tengadah. Masa badan berasa sakit, baru teringat nak solat dan ingat kepada Pemberi penawar. Segala kelebihan seperti duit dan pangkat mungkin tidak berguna apabila fizikal sakit, apatah lagi jika mental yang sakit.

Nikmat kedua yang sering dilupakan oleh manusia ialah masa lapang. Mungkin ramai yang mengadu bahawa 24 jam sehari tidak mencukupi kerana dikatakan terlalu sibuk dengan urusan dunia. Oleh itu mudah sahaja bagi mereka alasan untuk tidak melakukan sesuatu yang menjadi kewajiban (fardhu ain) melainkan ada kaitan dengan kerjaya.

Tidak hairanlah kebejatan sosial semakin menjadi-jadi kerana masa tidak diurus dengan betul apabila ruang waktu tertentu sepatutnya digunakan untuk keperluan lain, tetapi digunakan untuk melakukan perkara lain.

Sebagai contoh, institusi keluarga tidak harmoni kerana anak-anak tidak cukup masa bersama ayah dan ibu mereka yang sibuk bekerja. Lebih-lebih lagi bagi pasangan suami isteri yang terpaksa berjauhan, kesefahaman dan keharmonian dalam keluarga semakin jauh dan renggang.

Kenapa ramai yang sanggup dan mampu menghabiskan banyak masa untuk bekerja tetapi tiada masa untuk menyumbangkan tenaga untuk Islam?

Kita sanggup meluangkan masa untuk pelanggan kita tetapi tiadakah ruang waktu untuk bersama-sama ibu bapa di kampung seminggu atau sebulan sekali?

Banyak masa kita gunakan untuk menonton televisyen atau melayari internet yang belum tentu bermanfaat dan mungkin ada unsur maksiat.

Adakah terlalu lama bagi kita meluangkan masa sekitar sejam dua untuk membaca bahan-bahan ilmiah atau menghadiri majlis ilmu?

Hampir setiap masa telinga kita mendengar muzik, kenapa amat sukar untuk mendengar alunan zikir dan bacaan al-Quran?

Waktu bergerak sehala tanpa pernah berundur, oleh kita wajar menyelianya dengan baik dan teratur bukannya hanya bergerak mengikut arus dalam tipu daya dunia.

Membuat analisa atau muhasabah merupakan suatu amalan yang baik sebagai cara menyemak diri. Dengan ini kita dapat mengimbas kegiatan harian dan seterusnya memperbaiki perkara-perkara yang merugikan diri.

Marilah kita bersyukur dengan pelbagai nikmat yang Allah kurniakan ini, agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi dan mendapat azab Allah.

“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahkan nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amat pedih”. (Ibrahim, 14: 7)

Sementara kita masih hidup, rebutlah kesempatan dalam memperbaiki diri ke arah kebaikan.

Daripada Ibnu Abbas r.a. Rasulullah SAW bersabda, "Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara, masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati." (Riwayat Al-Imam Al-Hakim).

BACA INI JUGA: Apabila Pemimpin Mencintai Dunia Dan Takut Mati

Sumber: Wmazmi

1 comment

  1. masa lapang saya banyak digunakan untuk aktiviti blogging..namun bersyukur kerana ia merupakan nikmat masa.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon