Friday, September 04, 2015

Aylan Kurdi, Gambar Menyayat Hati Anak Kecil Mangsa Perang Syria


Gambar jenazah Aylan Kurdi yang ditemui dengan wajahnya tertangkup di atas pasir di tepi pantai berdekatan sebuah resort di Bodrum, Turki, pada 2 September 2015 telah mencetuskan impak yang besar kepada jutaan masyarakat dunia.



Berpakaian t-shirt merah dan seluar biru, mangsa yang berusia 3 tahun dari bandar Kurdish-Syria itu dipercayai antara 12 pelarian yang cuba memasuki negara Greece, namun lemas apabila bot dinaiki mereka karam.

Jenazah abangnya yang berusia 5 tahun juga dilapor ditemui tidak jauh dari lokasi Aylan ditemui.

Lihat seyuman manis si cilik berbaju kuning itu, yang ceria bergaya di sebelah abangnya semasa gambar mereka dirakam.

Siapa sangka si comel ini bakal menempuhi perjalanan penuh onak berduri, hanya untuk menemui ajalnya dengan cara yang begitu menyayat hati.



Persoalannya, siapakah Aylan Kurdi? Bagaimanakah kanak-kanak sekecil ini menemui pengakhiran hayatnya dengan cara yang sungguh menyayat hati?

Kedua-dua kanak-kanak lelaki ini dan ibu mereka Rehan, 35, mati lemas apabila perahu kecil penuh sesak yang dinaiki mereka terbalik cuma satu jam selepas ia meninggalkan kawasan Akyarlar di Semenanjung Bodrum akibat ombak besar.

Bapa kepada dua kanak-kanak itu, Abdullah, merupakan salah seorang mangsa yang terselamat daripada tragedi tersebut. Beliau berada di laut selama tiga jam sebelum diselamatkan oleh pengawal pantai Greece.

Dia cuba untuk menarik keluarganya, namun gagal untuk menyelamatkan mereka apabila pegangannya terlepas.

Dari Mana Mereka Datang?

Keluarga Kurdi, yang terdiri daripada suku kaum Kurdish, telah melarikan diri daripada konflik peperangan militan IS di Syria.

Abdullah Kurdi, yang dilaporkan bekerja sebagai tukang gunting rambut di Damsyik, difahamkan telah membayar €4000 (RM18,938.28) kepada pemilik bot kecil itu untuk membawa keluarganya keluar daripada Syria dan menuju ke Eropah.

Menurut wartawan daripada bandar Kobane, Mustafa Ebdi, keluarga itu telah beberapa kali cuba untuk melarikan diri daripada kekejaman rejim peperangan Assad.

Katanya, “Mereka tinggalkan Damascus pada tahun 2012 dan pindah ke Aleppo. Namun apabila konflik beralih ke situ, mereka sekeluarga membawa diri ke Kobane, sebelum bergerak ke Turki apabila keganasan mula tercetus di kawasan tempat mereka tinggal pula.”

Rancangan Untuk Mulakan Hidup Baru Di Kanada

Kakak Abdullah Kurdi, Teema, tinggal di Vancouver, Canada, di mana keluarga itu bercadang untuk mulakan kehidupan baru.

Usaha Teema untuk membolehkan ahli keluarganya pindah ke Kanada gagal apabila permohonan visa pelarian yang dibuat Jun lalu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa Kanada atas sebab mereka merasakan pelarian di Turki tidak berada di dalam keadaan bahaya.

Namun, harapan keluarga ini untuk hidup aman bahagia di tempat baru punah-ranah sekelip mata.

“Pada hari kejadian, saya dikejutkan dengan sebuah panggilan telefon daripada adik ipar saya, yang memberitahu bahawa beliau baru sahaja bercakap dengan Abdullah.

“Dalam panggilan telefon itu, Abdullah hanya menyatakan, ’Isteri dan dua anak lelaki saya sudah tiada',” cerita Teema.



Tragedi yang meragut dua nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa ini berjaya membuka mata penduduk dunia terhadap ketidak adilan yang berlaku akibat peperangan di Syria.

Netizen serta seniman dari seluruh dunia kini memberi penghormatan terakhir kepada Aylan melalui lukisan gambar yang menyentuh hati di bawah hashtag #KiyiyaVuranInsanlik, atau #HumanityWashedAshore.

Sementara itu, Abdullah berkata dia bercadang untuk mengambil mayat keluarganya kembali ke kampung halaman mereka diKobane untuk menjalankan upacara pengkebumian, walaupun dia masih buntu bagaimana untuk membawa jenazah ahli keluarganya pulang atas faktor jarak yang begitu jauh.

BACA INI JUGA: Sejarah Penghapusan Etnik Rohingya

Sumber: Mynewshub.cc

3 comments

  1. sangat sedih..namun itulah takdir mereka ni SP..

    ReplyDelete
  2. Tak sanggup tengok dan baca. Sedih

    ReplyDelete
  3. Allahhuakhbar...impak besar kejadian ini kanak kanak yang tidak berdosa terkorban...keluarganya mahu menyelamatkan mereka sekeluarga dari IS..tetapi... sedih nya....

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon