Monday, August 31, 2015

Kisah Ashabul Kahfi


Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk. (al-Kahfi: 13)

Gua Ashabul Kahfi

Pemuda-pemuda itu berhenti melepaskan lelah. Peluh menitis membasahi dada dan tengkuk. Terikan matahari menambah lagi rasa haus. Mereka sungguh letih, mereka juga lapar. Tetapi mereka tidak boleh berhenti lama.

Musuh bila-bila masa sahaja akan dapat menghidu gerak langkah mereka. Mudarat terlalu besar jika mereka terus berada di kota atau bertahan lebih lama. Akhirnya langkah mereka sampai ke gua.

Oh Tuhan, Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.

Gua yang gelap menjadi pilihan Allah untuk mereka. Boleh jadi ada kerahmatan dari sisi Allah untuk mereka di sini setelah seisi kota memusuhi mereka.

Bukan! Bukan! Mereka bukan sahaja bermusuh tetapi ingin merejam dan membunuh mereka.

Bumi yang luas dirasakan sempit apabila desakan dan tentangan dakwah mereka diancam. Jika mereka terus tinggal, satu persatu nyawa mereka akan hilang sedangkan mereka masih muda.

Mereka masih baru. Mereka perlu selamatkan diri. Dakwah ini lebih panjang. Desakan demi desakan yang membahayakan menjadikan mereka hampir lemas dan tewas.

Tidak! Iman tidak sesekali akan tewas pada kekufuran. Itulah nekad mereka. Mereka bangkit berdiri. Mereka telah nyatakan apakah yang hak dan apakah yang batil. Buat masa ini mereka perlu bertahan.

Mungkin berundur sebelum mengambil langkah seterusnya. Barangkali gua yang suram boleh membuka jalan ilham dari Allah yang lebih terang.

Barangkali Allah ingin tunjukkan bahawa memadai dalam gua yang kecil ini mereka mampu mengatur semula langkah dakwah yang lebih besar dan lebih berkesan pada keesokan hari.

Akhirnya mereka bersandar di dinding gua, menghela nafas yang panjang. Takut, waspada, redha dan syukur. Perasaan bercampur-baur. Tetapi hati mereka tetap cemas. Bimbang dan cemas untuk menutup mata.

Bagaimanakah jika mereka tertidur musuh datang mengheret mereka? Bagaimana jika mereka terlelap keselamatan saudara-saudara seperjuangan akan terancam?

Masing-masing memandang wajah-wajah saudara mereka yang sudah keletihan. Mereka juga letih seperti dirinya.

Tetapi mereka masing-masing sanggup buat apa sahaja untuk menjaga keselamatan sahabat-sahabat seperjuangan.

Mereka sanggup meminggirkan kantuk, membuang penat sendiri kerana mengenangkan saudara-saudara mereka ini yang bertungkus menghayun langkah dan dakwah.

‘Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi!’

‘Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya’

‘Jika kami menyembah yang lain, bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.’

Peristiwa, tutur kata dan karektor berani sahabat-sahabat mereka di kota tadi bagaikan tayangan yang berulang. Peristiwa itulah pengalaman dakwah yang paling kemuncak mereka lakukan.

Biarpun pedih dengan kata nista yang dilemparkan, biarpun teruk layanan yang mereka terima akan tetapi mereka tetap hadapi tekanan, bantahan dan celaan dengan sabar.

Keadaan menjadi kian runcing, apabila mereka menjadi buruan, mereka diisytihar sebagai kumpulan yang salah dan diancam dengan hukuman, maka demi keselamatan mereka dan masa depan dakwah akhirnya membawa mereka ke gua.

‘Sepatutnya kaum kita yang menyembah tuhan-tuhan yang banyak nyatakan hujah,’ kata salah seorang dari mereka.

‘Ya, sepatutnya mereka boleh datangkan hujah dan bukti tentang tuhan yang mereka sembah,’ sahut seorang lagi.

‘Mereka zalim dan menzalimi diri sendiri,’ ujar yang lain pula.

Andainya mereka berfikir untuk mencari-cari hujah. Bukan mengikut emosi, bukan hanya mengikut sahaja cara hidup tradisi.

Sudah tentu mereka tidak menolak. Mereka bukan tidak cerdik. Ada yang memimpin masyarakat. Ada yang bijak mencari kekayaan. Ada yang memimpin kota dan berkuasa sebagai penguasa.

‘Tidak sepatutnya mereka menolak dan berdusta terhadap Allah Tuhan yang sebenarnya.’

Pemuda Ashabul Kahfi

Menurut para ulama’ Ashabul kahfi (penghuni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada tujuh orang pemuda bernama;
  1. Tamlikha
  2. Maksalmina
  3. Marthunus
  4. Nainunus
  5. Saryunus
  6. Zunuwanus
  7. Falyastathyunus

Dan semasa dalam perjalanan ke gua itu, ketujuh-tujuh mereka telah ditemani oleh seekor anjing bernama Qithmir.

Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik Tamlikha, salah seorang daripada tujuh orang pemuda tersebut.

Anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan bersembunyi di dalam gua tersebut. Oleh kerana keletihan, ketujuh pemuda ini tertidur sementara si anjing berada di sekitar pintu gua.

Jasad Terpelihara

Sementara itu di dalam gua, kesemua tujuh pemuda tersebut diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah SWT. Mereka telah ditidurkan oleh Allah SWT dengan nyenyaknya dalam gua tersebut untuk sekian lama.

Allah SWT berfirman tentang mereka di dalam gua, “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 11).

Allah SWT ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini.

Maka Allah SWT telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang sangat lama iaitu selama 309 tahun: tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab/Tahun Masihi) dan tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu/Tahun Hijrah).

Firman Allah, “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun).” (Surah Al-Kahfi; Ayat 25)

Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah SWT, badan dan jasad mereka tidak hancur atau rosak.

Dengan kuasaNya juga, kedudukan gua tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda yang berada di sebelah utara secara tidak langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran tubuh mereka sepanjang 3 abad itu.

Firman Allah, “Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)

Allah SWT sengaja memberi ilham kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah SWT telah menetapkan aturannya.

Bahkan Allah SWT menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu, nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. Maha Suci Allah Yang Maha Bijaksana.

FirmanNya lagi, “Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)

Kebangkitan

Masa terus berlalu, zaman pun telah berganti dari beberapa generasi. Kini kerajaan yang dahulu dipimpin oleh raja kejam dan musyrik telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju dan bebas dalam menjalani keyakinan agama masing-masing.

Apabila sampai tempoh yang ditetapkan Allah (300 + 9 tahun), mereka pun dibangunkan. Pemuda-pemuda tersebut telah terjaga kerana perut mereka terasa lapar, dan ketika bangun mereka saling bertanya tentang berapa lama mereka tertidur.

Para pemuda menyangka mereka hanya tertidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja, tanpa menyedari bahawa mereka telah tidur dalam jangka masa yang amat lama di dalam gua.

“Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?).” Mereka menjawab, “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari..” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19)

Atas rasa lapar itu, lalu sebahagian daripada mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda bernama Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.

“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19-20)

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta kelaparan, mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih lagi halal.

Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah.

Dipendekkan cerita, Allah dedahkan rahsia mereka kepada orang ramai supaya manusia mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa pada hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidup semula orang mati.

Firman Allah, “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)

Pendedahan ini berlaku semasa orang ramai bertelagah sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Allah telah mendedahkan perihal pemuda-pemuda Ashabul Kahfi semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan.

Pemuda yang keluar menuju ke pasar mencari makanan. Dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampai ke kota. Dia berasa hairan melihat keadaan kota tersebut dan penduduknya yang berubah sama sekali, tidak seperti ketika ditinggalkan dahulu.

Dalam terpinga-pinga itu, akhirnya sampai juga dia ke pasar dan menemui salah seorang penjaja makanan. Namun penjual hairan dan pelik dengan wang yang digunakan oleh pemuda ini.

Penduduk kota yang telah kehairanan melihat keadaan dia dan mereka semakin syak apabila melihat wang perak yang dibawanya ialah wang yang sudah berzaman tidak digunakan lagi.

Dia telah disyaki menjumpai harta karun lalu dipanggil penguasa pasar yang sangat bijak. Dalam perbualannya, maka terbuktilah kepada orang ramai bahawa pemuda itu adalah pemuda yang lari dari kepungan raja pada tiga abad yang silam.

Mereka mengetahui akan peristiwa itu, daripada cerita yang masyhur dan telah disedia maklum oleh orang ramai. Larinya pemuda-pemuda itu kerana tidak rela menjual agama mereka kepada raja yang zalim dan memaksa mereka untuk menyembah batu.

Lalu salah seorang di antara mereka berkata kepada pemuda tersebut, “Janganlah kamu khuatir kepada raja ganas yang kamu katakan tadi. Raja itu sudah mati 300 tahun yang lalu. Raja yang memerintah sekarang ini adalah seorang raja mukmin yang soleh juga baik hati. Raja kami yang sekarang ini orangnya beriman seperti mana yang kamu imani.”

Barulah pemuda itu sedar dan insaf akan apa yang sebenarnya sudah terjadi. Dengan ketenangan yang amat jelas serta dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup terang, maka terbuktilah bahawa mereka berada dalam gua bukan semalam atau setengah hari tetapi sudah tiga abad lamanya.

Orang ramai kemudiannya membawa pemuda tersebut mengadap raja beriman yang mengambil berat hal agama itu.

Betapa terkejutnya raja ketika pemuda menceritakan siapa dia sebenarnya, raja memeluk pemuda dengan juraian air mata yang tak terhingga.

Seketika suasana istana menjadi sangat hening dan terharu oleh kehadiran pemuda yang luar biasa tersebut.

Raja yang soleh ini kemudian menjelaskan kepada pemuda itu bahawa raja kejam Diqyanus telah mati 309 tahun yang lalu.

Selepas mendengar kisah menakjubkan itu, raja lalu mengajak para pembesarnya dan semua orang yang hadir berangkat ke Gua Ashabul Kahfi bersama wakil pemuda itu, untuk menjemput dan bertemu dengan kesemua pemuda tersebut, apalagi mereka sedang menunggu dengan kelaparan dalam gua, di samping ingin mengetahui keadaan di gua dan untuk mendengar kisah sebenar mereka.

Setelah mereka keluar dari gua itu, mereka disambut raja dan penduduk negeri. Raja membawa mereka ke dalam istana dan diberinya tempat di istana yang indah itu.

Tidak lama kemudian walaupun raja berkali-kali meminta agar para pemuda ini tetap tinggal di istana, tapi kumpulan pemuda tersebut menolak dengan baik dan tetap memilih untuk kembali ke gua semula.

Para pemuda tadi lalu berkata kepada raja, “Kami ini sudah tidak mengharap hidup yang lebih panjang lagi kerana kami sudah melepasi beberapa keturunan dan kesemuanya telah meninggal dunia, malah negeri dan binaan besar yang dahulu pun sudah runtuh semuanya; yang kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun puas hati melihat raja dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama beriman kepada Allah.”

Di hadapan orang ramai, para pemuda ini menyarankan supaya mereka hendaklah sentiasa beriman kepada Allah, jangan sesekali tunduk kepada sesiapa yang mengajak pada jalan kesesatan dan kemusyrikan.

Tidak lama kemudian selepas mereka memberi ucapan selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman itu. Para pemuda lalu sama-sama bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah agar menurunkan rahmatNya dan agar Allah mengizinkan mereka pulang ke rahmatullah.

Sejurus selepas mengucapkan doa itu mereka merebahkan badan di tempat pembaringan lalu menghembuskan nafas mereka yang terakhir dengan tenang dan tenteram. Termaklumlah bahawa Allah telah mengambil roh pemuda-pemuda itu dan kembali kepadaNya untuk selama-lamanya.

Keadaan dan kejadian itu, menjadi asas yang amat kuat bagi mereka untuk tetap beriman dan tunduk kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka makin percaya bahawa janji Allah itu benar belaka dan Hari Qiamat serta akhirat itupun benar semuanya.

Sepeninggalan para pemuda itu, orang ramai lalu berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan sewajarnya agar mereka sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci itu.

Ada yang mencadangkan supaya didirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Manakala Raja mencadangkan agar sebuah masjid (rumah ibadat) dibinakan di sisi gua itu supaya dari dalam masjid itu orang ramai dapat sama-sama menyembah dan membesarkan nama Allah dan sentiasa insaf akan kebesaran Allah.

Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya, “Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)

Lokasi Gua Ashabul Kahfi

Telah menjadi perdebatan daripada zaman berzaman mengenai gua dan tempat persembunyian Ashabul Kahfi.

Banyak tempat mendakwa dimana berlakunya kisah ini seperti di Gua di Jabal Qassiyyun, Syria dan Gua di Ephesus (Tarsus), Turki.

Namun Gua Ashabul Kahfi (Kahf Ahlil Kahf) yang terletak di Abu Alanda, kira-kira 7 km dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah yang lebih menepati ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.

Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Ar-Raqim’ kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut.

Perkataan ‘Ar-Raqim’ juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan ‘Ar-Raqim’ sebagai nama anjing dan ada menyatakannya sebagai batu bersurat.

Walau bagaimanapun, Allah SWT tidak menunjuk dan menyatakan dengan jelas di mana tempat sebenar mereka bersembunyi.

Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat Islam kerana Allah hanya mahu hamba-Nya mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah mereka.

Namun begitu berdasarkan ayat 17 surah al-Kahfi, dapat kita ketahui kedudukan sebenar pintu gua yang menjadi tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara.

Firman Allah SWT, “Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)

Rahsia Ashabul Kahfi

Tetapi Allah jualah pemilik dan pengatur yang mutlak terhadap rahsia yang berlaku di gua yang kecil. Allah juga biarkan kita terus-menerus tertanya-tanya berapakah bilangan Ashab al-Kahfi seperti pemuda-pemuda bertanya-tanya sesama sendiri berapa lamakah mereka tertidur.

Allah biarkan kita tertanya-tanya dan tidak terduga banyak perkara dan kejadian. Agar kita tidak berhenti untuk mencari-cari rahsia dan kemukjizatan-Nya. Agar jiwa kita hidup, tidak buntu dan sentiasa berfikir seperti pemuda Ashabul Kahfi.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran) dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Sesungguhnya kisah Ashab al-Kahfi hanyalah secebis dari rahsia keagungan Allah." (Al-Kahfi: 22)

"Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dan sembilan tahun." (Al-Kahfi: 25)

"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNyalah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya." (Al-Kahfi: 26)

"Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?" (Al-Kahfi: 9)

BACA INI JUGA: Kisah Benar Novel Yang Mencari Penulisnya!

Sumber: Sebuah Kisah Dari Wahyu


Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon