Tuesday, August 25, 2015

Kenapa SPRM‎ Disingkir Siasat Skandal 1MDB?


Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar mempersoalkan tindakan kerajaan menyingkirkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pasukan petugas khas National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) yang menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Akhbar Satar

Menurutnya, ketiadaan SPRM dalam penyiasatan itu mengukuhkan lagi dakwaan wujud salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dana melibatkan skandal 1MDB.

“Sesuatu yang amat mengejutkan kerana pasukan baharu ini (NRRET) akan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan wakil-wakil Bank Negara dan pihak polis tetapi tanpa SPRM.

“Ini menunjukkan pihak berkuasa sedang memanipulasi penyiasatan dan tanpa SPRM, NRRET akan kehilangan taring selain kemungkinan isu 1MDB dan dana dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat diselesaikan dengan telus.” katanya.

Akhbar turut mempersoalkan peranan Mohamed Apandi yang akan mengetuai pasukan petugas khas tersebut.

“Peranan Peguam Negara dalam pasukan petugas sebelum ini bertindak sebagai pemberi maklumat dan nasihat undang-undang.

“Namun, kini dilantik mengetuai NRRET. Adakah beliau menentukan apa yang perlu disiasat dan apa yang sepatutnya tidak dan bagaimana siasatan untuk dilakukan?” soalnya.

Beliau berkata, NRRET perlu diketuai seseorang yang tidak mempunyai fahaman politik dan memiliki rekod cemerlang untuk tadbir urus baik.

“Kerajaan jangan campur tangan dalam penyiasatan SPRM dan membenarkan pegawainya untuk menjalankan tugas secara profesional serta bebas selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC) Perkara 16 (2)." katanya.

Jadi anak jantan, mara ke hadapan

Datuk Abdul Hamid Bador

Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador menggesa pihak yang terbabit dalam isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) agar tampil memberi jawapan yang meyakinkan kepada rakyat mengenai isu itu.

Katanya, pelbagai polemik timbul berkenaan isu tersebut, sehingga menggusarkan rakyat dan jawapan yang diberikan pihak yang bertanggungjawab pula dilihat begitu mengelirukan sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

"Mengenai kekeliruan yang timbul sekarang iaitu isu tentang 1MDB ini, tampillah ke hadapan, perkara ini mudah dan beritahu rakyat.

"Apa 1MDB ini, ke mana duit. Terang apa yang berlaku kerana sekejap orang bagi kenyataan bercanggah, kenyataan tidak lengkap, bila ditanya tutup soalan. 'What happen (apa berlaku), di mana duit rakyat nak tahu.

"Betul ke berhutang begitu banyak, betul ke duit dah lesap? Kalau tak betul come forward (datang ke hadapan), kenapa dilambatkan. Rakyat resah, orang kampung resah," katanya kepada media di Damansara.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihak berkenaan perlu berani menghuraikan segala kekusutan dalam isu 1MDB ini.

"You must be brave, be a man come forward (awak mesti berani, jadi 'jantan' dan mara ke hadapan dan kongsilah, insyaALLAH kalau penjelasan benar rakyat dapat terima. Persepsi yang terbina sekarang amat negatif sekali.

"Tetapi bagi kami yang percaya 'rule of law ' yang percaya keutuhan perlembgaaan, saya percaya setiap orang itu ada hak untuk menjelaskan dan hak untuk diberi peluang untuk menjelaskan. Banyak forum yg boleh dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, 1MDB bukanlah isu perkauman dan ia merupakan isu rakyat.

"Rakyat cuma ingin tahu kebenarannya, jangan bagi alasan ‎seperti tunggu dulu biar jawatankuasa, lepas itu tunda lagi penjelasan.

"Susah sangat ke PAC, dan Jawatankuasa khas hendak beritahu, kalau kata kes panjang sangat tapi ada bahagian selesai, kenapa bahagian yang selesai itu tidak diumumkan.

"Kongsilah dengan rakyat," katanya.

Katanya, tahap kesabaran rakyat sudah di penghujung tetapi rakyat masih boleh bersabar, namun tidak dijangka sampai bila kesabaran tersebut dapat dibendung.

"Kembalikan tanggungjawab dalam majlis jelaskan satu persatu. Buat sesi kedua ,ketiga sekurangnya rakyat dapat sabar tahu satu persatu.

"Saya cakap sebab persepsi terbina sekarang amat buruk. Belum bicara rakyat dah hukum. Tidakkah kita rasa tanggungjawab nak betulkan kalau rakyat salah persepsi. Tampil ke depan dan jelaskan," katanya.

BACA INI JUGA: Undi Tidak Percaya Dipanggil Pemindahan Politik, Bukannya 'Guling Kerajaan'!

Sumber: Sinarharian.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon