Friday, August 28, 2015

'Engkau Tidak Akan Sabar Dengan Keadilan-Ku'


Sewaktu sedang bermunajat di bukit Thursina, Nabi Musa a.s. berdoa, "Ya Allah, tunjukkanlah keadilan-Mu kepadaku."

Keadilan Allah

Lalu Allah berfirman, "Jika Aku menampakkan keadilan-Ku kepadamu engkau tidak akan sabar dan segera menyalahkan-Ku."

Musa memohon lagi, "Dengan taufik-Mu, aku akan bersabar dan menyaksikan keadilan-Mu."

Lantas Musa diarahkan pergi ke sebuah mata air. Dia disuruh bersembunyi dan menyaksikan apa yang akan berlaku.

Tidak lama kemudian, datang seorang penunggang kuda. Dia singgah ke situ untuk minum menghilangkan dahaga. Penunggang itu tergesa-gesa pergi sehingga dia tercicir sekantung wang yang dibawanya.

Kemudian, datang pula seorang budak untuk mengambil air disitu. Dia ternampak kantung berisi wang dan mengambilnya lalu dibawa pergi.

Setelah itu, datang pula seorang lelaki tua dan buta. Dia mengambil air untuk minum sebelum berwuduk dan solat berdekatan mata air itu. Ketika itu juga, penunggang kuda tadi datang semula ke situ untuk mencari kantung duitnya yang tercicir.

"Wahai orang tua, adakah kau yang mengambil wangku yang tercicir disini?" tanya penunggang tersebut.

Lelaki tua itu menjawab, "Bagaimana aku dapat mengambil wang kamu sedangkan mata aku tidak mampu untuk melihat."

"Kamu jangan menipu. Tiada orang lain selain kamu di sini!" marah penunggang kuda itu.

Akhirnya dia membunuh lelaki tua yang buta itu dan menggeledah segala barang kepunyaan lelaki tersebut namun gagal menemui wangnya yang tercicir.

Musa yang bersembunyi dan melihat segala kejadian itu tidak faham dan segera bertanya, "Ya Allah, aku jadi tidak sabar melihat kejadian ini. Namun aku yakin Engkau Maha Adil. Mengapa kejadian ini berlaku?"

Lantas Allah mengutus Jibrail untuk menerangkan kepada Musa tentang kejadian yang disaksikannya.

"Wahai Musa, sesungguhnya Allah mengetahui segala perkara yang tidak engkau ketahui. Budak yang mengambil wang itu sebenarnya mengambil haknya sendiri. Dahulu, ayahnya pernah bekerja dengan si penunggang kuda, namun tidak dibayar. Jumlah yang harus dibayar penunggang itu kepada ayahnya adalah sama nilai dengan jumlah wang yang diambil budak itu. Sementara lelaki tua yang buta itu pula adalah orang yang telah membunuh ayah budak itu sebelum dia menjadi buta."

Maka, fahamlah Musa dengan apa yang disaksikannya. Benarlah sebagai manusia biasa, kita tidak mampu membaca keadilan yang hanya diketahui oleh Allah.

Bahkan, kita selalu menganggap Allah tidak adil dalam hidup kita kerana keputusan-Nya yang sering menyukar dan merugikan kita.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu; dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi mu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah ayat 216)

BACA INI JUGA: Kisah Batu Ajaib Dari Syurga

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon