Thursday, July 16, 2015

Misteri Keranda Bergerak Di Makam Chase Vault


Pada tahun 1724, seorang lelaki bernama James Elliot telah membina sebuah makam bawah tanah di Barbados. Kawasan makam itu agak luas dan mampu memuatkan beberapa buah keranda dalam satu-satu masa.

Chase Vault

Pintu makam itu pula diperbuat daripada batu marmar yang besar dan berat sehingga memerlukan tenaga tujuh orang lelaki untuk mengangkatnya.

Selepas keranda dimasukkan ke bawah tanah, pintu marmar itu akan ditutup, kemudian disimen rapi disekelilingnya. Ini menjadikan pintu itu sukar dibuka. Dan jika berlaku kematian lagi, simen pintu itu perlu dikikis terlebih dahulu sebelum pintu itu boleh dibuka untuk memasukkan keranda baru.

Walaupun bersusah payah membina makam itu, Elliot tidak pula mahu jasadnya disemadikan disitu. Makam itu dibiarkan kosong sehinggalah keranda kayu pertama berisi mayat wanita bernama Thomasina Goddard dimasukkan ke situ pada bulan Julai 1807.

Tidak lama kemudian, Thomas Chase membeli makam itu. Merupakan keluarga kelas atasan dan dikenali di Barbados. Kerana itu, kawasan makam tersebut dinamakan sebagai Chase Vault, yang bermaksud makam ahli keluarga Chase.

Pada Februari 1808, anak bongsu Thomas, Mary Ann Chase yang baru berusia dua tahun meninggal dunia. Mayatnya dimuatkan ke dalam sebuah keranda yang diperbuat daripada timah dan dimasukkan ke dalam makam Chase Vault. Keranda Mary diletak bersebelahan dengan keranda kayu Goddard, kemudian pintu makam ditutup dan disimen semula.

Lima tahun kemudian, Dorcas Chase, seorang lagi anak Thomas meninggal dunia. Seperti biasa, pintu makam Chase Vault dibuka semula. Keranda timah Dorcas dimasuk dan diletak bersebelahan dengan keranda adiknya, Mary.

Tidak lama kemudian, Thomas Chase pula meninggal dunia. Mayatnya diletakkan dalam keranda timah yang paling besar dan berat, melebihi 100 kilogram. Dan untuk itu, makam Chase Vault perlu dibuka semula.

Disinilah bermula misteri makam ini. Ahli keluarga Chase terkejut apabila mendapati keranda di dalam makam itu sudah bertebaran kedudukannya. Tidak lagi tersusun pada posisi asalnya. Hanya keranda kayu Goddard yang masih tetap pada posisi asalnya.

Keluarga Chase begitu marah kerana menyangka ada penjarah yang telah memecah masuk ke dalam makam tersebut. Tetapi selepas diperiksa, tiada apa-apa pun yang hilang dari makam tersebut. Malah tiada sebarang kesan makam tersebut telah dijarah.

Semua keranda itu disusun semula pada kedudukan asal, termasuk keranda Thomas. Sekali lagi, pintu makam yang berat itu ditutup dan disimen rapi.

Empat tahun kemudian, pada tahun 1816, makam Chase Vault dibuka semula untuk menempatkan mayat Charles Brewster. Sekali lagi keluarga Chase terkejut kerana keranda-keranda tersebut sudah berubah daripada kedudukan asal kecuali keranda Goddard.

Mereka terpaksa menyusun semula kedudukan keranda-keranda itu pada kedudukan seperti sebelumnya. Yang paling sukar adalah keranda Thomas yang paling berat dan memerlukan lapan orang untuk mengalihkannya ke kedudukan asal. Sekali lagi makam ditutup rapi.

Dua bulan kemudian, pintu makam Chase Vault dibuka semula untuk memasukkan keranda Samuel Brewster pula. Dan mereka masih dikejutkan dengan kedudukan keranda-keranda yang sudah beralih tempat dari kedudukan asalnya. Hanya keranda kayu Goddard yang masih berada dikedudukan asalnya. Sekali lagi pintu Chase Vault ditutup dengan penuh tanda-tanya.

Tiga tahun kemudian, pintu Chase Vault dibuka lagi untuk menempatkan keranda Thomasina Clark. Sama seperti sebelumnya, semua kedudukan keranda di dalam makam telah beralih tempat kecuali keranda Goddard.

Misteri tersebut telah menarik perhatian Gabenor Barbados ketika itu dan mengarahkan siasatan dilakukan secara menyeluruh terhadap makam tersebut. Namun, tiada tanda yang menunjukkan ada penceroboh telah memecah masuk kedalamnya. Tiada laluan tersembunyi dan tiada kesan jejak manusia didalam makam itu.

Chase Vault [2]

Peti-peti keranda itu disusun semula. Kemudian pasir halus ditaburkan diseluruh lantai makam dengan tujuan untuk mengesan jika ada penjarah yang masuk setelah makam itu ditutup nanti. Pintu Chase Vault ditutup rapi sekali lagi.

Lapan bulan kemudian, pintu Chase Vault dibuka semula atas arahan gabenor yang mahu melihat keadaan didalam makam itu.

Sekali lagi misteri yang sama berlaku. Semua keranda telah beralih kedudukan kecuali keranda Goddard. Yang peliknya, pasir diatas lantai makam tidak menunjukkan sebarang tanda kesan tapak kaki atau penceroboh.

Ada yang mengatakan mungkin ia disebabkan gempa bumi yang menyebabkan kedudukan keranda tersebut beralih tempat. Namun, tiada gempa bumi dicatatkan dalam tempoh masa tersebut.

Bagaimana pula keranda Goddard, satu-satunya yang tidak pernah beralih tempat?

Oleh kerana siasatan yang dijalankan terhadap misteri ini gagal mendapat sebarang jawapan, keluarga Chase telah memindahkan semua keranda yang ada di dalam makam tersebut dan dipindahkan ke tempat lain.

Akhirnya, Chase Vault terbiar kosong dan misteri kekal tidak terungkai.

BACA INI JUGA: Keindahan Luarbiasa Tulisan Hieroglif Makam Purba Amenhotep

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon