Monday, June 01, 2015

Tahukah Anda Asal-usul Tarian Joget?


Menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia, Joget membawa erti sejenis tarian dan irama Melayu yang agak rancak iramanya. Disebalik maksud itu, sekilas pandang, tarian ini sebenarnya adalah manifestasi budaya timur dan barat.

Tarian Joget

Menurut beberapa buah manuskrip lama, Joget dibawa oleh masyarakat Portugis melalui pelayaran mereka mencari tanah baru di kawasan timur.

Tarian asal yang dipersembahkan mereka dikenalo sebagai Branyo. Mungkin tidak tahu apa itu Branyo? Tapi anda mungkin kenal dengan lagu 'Jingli Nona'. Inilah permulaan Joget di nusantara.

Branyo berkembang melalui laluan rempah dan tersebar sebagai perayaan yang mengasyikkan.

Semasa masyarakat Portugis menduduki Melaka sekitar 1511, masyarakat majmuk tempatan mengadaptasi keasyikan Branyo dengan cara menarikannya di jalanan. Tarian ini dikenali sebagai 'Joget lambak'. Alat muzik, pantun seloka dan rentak muzik menyamai Branyo.

Selepas beberapa generasi berlalu, irama joget dan tariannya berkembang ke dalam masyarakat Melayu Melaka. Perkembangan ini ditonjolkan melalui pesta yang diraikan seperti majlis kahwin dan sebagainya.

Bagaimanapun, orang Melayu Melaka tidak memanggilnya sebagai Joget, sebaliknya disebut sebagai 'Chakunchak'.

Pergerakan Joget

Terdapat dua jenis pergerakan joget bergantung pada jenis joget: pantas dan perlahan.

Joget yang berentak pantas lazim ditarikan oleh sepasang kekasih. Joget ditarikan dengan rentak dua atau empat langkah satu set, menyerupai tari tarantello dan fandango Eropah yang mempunyai rentak enam atau lapan langkah satu set. Irama joget pula disesuaikan daripada lagu Portugis.

Alat muzik yang mengiringi tari joget pula rebana, serunai, gambus, bangsi, gendang, gong. Pantas pergerakan joget, seiring dengan irama yang ceria.

Pada akhir tarian, paluan gendang menjadi cepat, sepasang kekasih akan berhadapan dan menari dengan bertukar kaki secara pantas.

Hal ini menunjukkan peranan joget pantas sebagai penerjemah kegembiraan dan kebahagiaan sepasang kekasih.

Selain rancak, joget dapat ditarikan secara gemalai juga. Joget dangkung yang ternama di Kepulauan Riau ditarikan dalam Upacara Enau di Kraton Bulungan, Kalimantan Timur.

Di Riau, nelayan menyaksikan joget dangkung sebagai hiburan untuk mengisi masa senggang yang panjang selepas muslim melaut.

Dalam upacara tersebut, dua orang wanita duduk bersimpuh lalu mengatur sembah. Selepas itu, mereka menari sambil memegang kipas.

Kebanyakan gaya tari mereka menggambarkan cara berhias wanita. Akhir sekali, tari diakhiri dengan kedudukan duduk bersimpuh dan mengatur sembah semula.

Namun begitu, apabila kesedaran Islam berkembang, wanita berubah menjadi penyanyi pantun, tugas menari pula diambil alih oleh lelaki.

Hal ini dikatakan demikian kerana agama Islam tidak membenarkan wanita merendahkan kehormatannya di hadapan lelaki dengan menari.

Oleh itu, lahir jugalah penari-penari wanita profesional dalam tari joget.

Di samping itu, joget gamelan yang berasal dari Pahang dan Terengganu ditarikan oleh sekumpulan wanita secara gemalai dan perlahan juga, menyerlahkan kesantunan dan kesederhanaan orang Melayu.

Joget gamelan, berdasar pada tujuan asalnya, ditarikan untuk menghibur bangsawan di istana.

Beberapa pergerakan joget gamelan seperti duduk simpuh katak, campak lenggang (menari tertib), campak lenggang sambut gong (menari tertib berpandukan rentak alat muzik), mengayak (bergerak ke kiri, ke kanan) dan menapak (maju dengan membengkokkan lutut).

Secara umum, indahnya joget terserlah dalam langkah-langkah yang tertib, perlahan, santun dan kadang-kadang melaju untuk pasangan meluahkan kegembiraan.

Pantun Joget

Selain langkah-langkah joget, pantun meranumkan keindahan yang setimpal dengan lemah gemalainya pergerakan joget. Pantun digubah sebagai seni kata joget.

Hal ini dikatakan demikian kerana hubungan antara pembayang dengan bahagian maksud bertaut secara indah dan berbudi bahasa.

Dalam pantun, salah satu kayu ukur keindahan pantun hubungan yang harmoni antara pembayang dengan maksud.

Kebanyakan pantun joget menceritakan penantian kekasih dan berirama sayu. Oleh itu, pembayang alam yang merawankan rasa sering dikaitkan dengan kehampaan penantian.

BACA INI JUGA: 5 Lagu Dangdut Yang Diharamkan Kerana Tidak Bermoral

-Sentiasapanas.com

1 comment

  1. Lama saya tak dengar perkataan chakuncak tu.. hampir terlupa perkataan tu.. :)

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon