Sunday, June 28, 2015

Misteri Rayuan Roh Pulau Poveglia


Pulau Poveglia merupakan salah sebuah pulau yang terdapat di Venice, Itali. Berbeza dengan pulau-pulau lain yang menjadi daya tarikan pelancong ke negara ini, ia diselubungi misteri yang menyeramkan.

Pulau Poveglia
Pulau Poveglia.

Suara misteri menjerit meminta tolong, bayangan manusia yang dikatakan berlegar-legar di persekitaran kepulauan ini menjadi buah mulut masyarakat tempatan.

Sejarah hitam Pulau Poveglia bermula sewaktu era pemerintahan Rom. Menurut kisah, pada ketika itu, Pulau Poveglia digunakan sebagai tempat untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti penyakit berbahaya bagi mengelakkan penularan wabak.

Sekitar tahun 1347-1351, benua Eropah diserang satu wabak pandemik, Black Death, wabak penyakit terburuk yang pernah menimpa manusia setakat ini. Black Death merupakan singkatan nama wabak penyakit radang paru-paru yang dibawa oleh tikus.

Wabak berbahaya ini dikatakan telah membunuh lebih 70 juta orang, yang mana lebih separuh daripada jumlah itu merupakan orang Eropah.

Penduduk Itali tidak terkecuali daripada terkena tempias wabak yang merebak dengan pantas itu. Mereka yang meninggal dunia kerana wabak Black Death semuanya ditempatkan di Pulau Poveglia. Mayat mereka dicampakkan ke dalam satu lubang besar dan kemudiannya dibakar.

Pada ketika itu, sesiapa saja yang menunjukkan simptom-simptom dijangkiti penyakit tersebut akan dihantar ke pulau berkenaan. Pesakit akan dicampakkan diatas timbunan mayat yang sedang mereput.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak, semua mereka akan dibiarkan mati dalam kesakitan, sekalipun ada yang menangis dan merayu meminta diselamatkan. Soal perikemanusiaan seakan-akan sudah lenyap ketika itu. Dan dianggarkan lebih kurang 160,000 mayat telah dikebumikan di sana dalam tempoh berkenaan.

Keadaan tersebut menyebabkan Pulau Poveglia dicemari bau busuk yang sangat menyesakkan hidung. Tanah yang bercampur dengan mayat yang dibakar dan dibuang menghasilkan lapisan abu melekit yang sangat tebal. Reputasi pulau tersebut merundum selepas bencana pandemik yang melanda.

Pulau Poveglia dibiarkan sepi tanpa penghuni selama beberapa abad. Sehinggalah pada tahun 1922, sebuah hospital psikiatri telah dibina lengkap dengan menara loceng yang amat besar. Dan disinilah segala misteri bermula..

Pesakit yang dimasukkan ke hospital tersebut mula mengadu yang mereka sering terserempak dengan jelmaan dan hantu yang dipercayai roh-roh mangsa wabak dahulu.

Timbunan tulang Di Pulau Poveglia
Timbunan tulang di Pulau Poveglia.

Setiap malam, para pesakit diganggu bunyi jeritan dan esak tangis roh yang meminta bantuan.

Mereka yang sudah tidak tahan kerap kali mengadu kepada pengurusan hospital, tetapi atas alasan pesakit-pesakit ini sememangnya mempunyai masalah mental, aduan mereka langsung tidak diendahkan.

Tidak cukup dengan misteri yang sedang melanda, seorang doktor pula cuba untuk mencipta nama di Itali dengan mencari penawar bagi penyakit mental yang dialami pesakit-pesakit di hospital ini.

Dia mula menjalankan 'eksperimen' dengan menyeksa pesakit-pesakit. Saban malam suara pesakit yang diseksa kedengaran memecah kesunyian kepulauan itu.

Menurut sejarah, doktor 'gila' itu telah menggunakan pelbagai peralatan seperti pahat dan tukul. Cara itu didakwa dijalankan untuk mencari 'penawar' kepada penyakit mental yang dihidapi pesakit di sana.

Pesakit yang tidak mempunyai waris pula menerima nasib yang lebih parah. Mereka dibawa ke manara loteng dan akan menerima pelbagai jenis seksaan sehingga meninggal dunia. Kebanyakan pesakit mati dalam keadaan yang sangat mengerikan.

Selepas bertahun-tahun menjalankan kegiatannya, doktor tersebut dikatakan mula diganggu dengan bayangan-bayangan mangsanya yang datang menuntut keadilan terhadap kematian mereka.

Menurut kisah, doktor berkenaan telah menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun dari menara, tempat dia menyeksa semua pesakitnya.

Menurut seorang jururawat yang juga saksi kejadian itu, doktor tersebut tidak mati serta-merta selepas terjun dari menara. Dan ketika dia sedang terbaring di bawah, tiba-tiba muncul satu jelmaan kabus besar yang kemudian mencekik doktor itu sehingga mati.

Selepas kejadian itu, loceng besar dimenara tersebut berbunyi setiap hari. Hospital itu ditutup tidak lama kemudian. Kerajaan Itali mengambil-alih pengurusan Pulau Poveglia buat seketika sebelum dijual semula.

Tidak banyak bukti bertulis yang diketahu tentang pulau ini. Namun apa yang pasti, pemilik terakhir Pulau Poveglia meninggalkannya sekitar tahun 1960an.

Terdapat sebuah keluarga yang cuba untuk membeli pulau msiteri ini dan berhasrat untuk membangunkannya menjadi sebuah pusat peranginan. Mereka bermalam semalaman, namun tergesa-gesa meninggalkannya pada esok hari.

Keluarga itu enggan mengulas tentang apa yang berlaku sepanjang malam disitu. Namun apa yang pasti, anak perempuan mereka telah ditoreh dan mendapat 14 jahitan.

Tinggalan Pulau Poveglia
Antara kesan peninggalan hospital di Pulau Poveglia.

Beberapa orang yang dikatakan mempunyai kuasa psikik juga pernah melawat pulau ini. Namun bergegas meninggalkan pulau ini kerana bimbang dengan apa yang telah dikesan oleh deria keenam mereka.

Salah seorang daripada kumpulan itu mengatakan yang dia dapat merasakan kehadiran roh-roh yang berkeliaran. Mereka dalam keadaan yang tidak tenteram dan ingin menuntut keadilan terhadap kekejaman yang dialami mereka.

Hari ini, Pulau Poveglia bukan sahaja dibiarkan sepi tanpa penghuni, malah sebarang aktiviti pelancongan juga diharamkan oleh kerajaan Itali.

Nelayan juga mengelak daripada menghampiri pulau ini kerana bimbang ada tulang manusia yang tersangkut pada jaring.

Kalau anda ke Itali, jangan lupa singgah di kawasan perairan Pulau Poveglia. Jika bernasib baik, mungkin anda juga boleh mendengar rayuan 'penduduk' yang terperangkap di sana!

BACA INI JUGA: Tristan da Cunha, Pulau Berpenghuni Paling Terpencil Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon