Friday, May 01, 2015

'Ubatilah Orang Sakit Diantara Kamu Dengan Sedekah'


Setelah lama berkahwin, doa seorang lelaki agar dia dan isterinya mendapat cahaya mata dimakbulkan. Lahirnya seorang putera adalah perkara paling menggembirakan dalam hidup mereka.

Sedekah

Walaupun tidak berharta, hari-hari yang dilalui dipenuhi kebahagiaan. Mereka tatang putera itu dengan penuh kasih-sayang. Tidak putus-putus lelaki itu bersyukur kepada Allah SWT atas kehadiran permata hati mereka.

Akan tetapi, kegembiraan mereka mula diuji. Anak yang baru berusia setahun itu tiba-tiba jatuh sakit. Pelbagai ikhtiar cuba dilakukan. Bermacam-macam jenis perubatan telah dicuba. Sayangnya, keadaan anak tunggal mereka bukannya semakin baik, malah bertambah buruk.

Pasangan itu semakin tidak keruan. Hidup mereka dirundung kesedihan. Tiada lagi tawa gembira seperti sebelumnya.

"Ya Allah, Kau berilah kekuatan untuk kami menghadapi ujian ini. Sesungguhnya kami sudah tidak berdaya memberikan rawatan untuk anak kami yang masih kecil," rintih lelaki itu dalam doanya.

Anak mereka semakin kritikal. Suhu badannya meningkat. Badannya lembik tidak bermaya.

"Keadaan anak kecil ini sangat parah. Tidak ada apa yang dapat saya bantu. Jika suhu badannya tidak juga turun menjelang pagi esok, kemungkinan besar hayatnya tidak panjang," beritahu seorang tabib.

Dia juga buntu bagaimana untuk merawat anak kecil itu. Sudah pelbagai ubat diberi tetapi masih tiada sebarang perubahan.

Malam menjelma, lelaki itu tidak mampu memejamkan mata. Dia berduka dan hanya mampu menatap sayu wajah isteri yang berlinangan air mata di sebelah anak tunggal mereka.

Bagi menenangkan hati, lelaki itu mengambil wuduk dan mengerjakan solat. Mengadu kepada Yang Maha Esa keperitan hatinya. Meminta diberikan jalan terbaik dalam menghadapi dugaan berat itu.

Selesai solat, dia mengambil keputusan untuk keluar rumah. Lelaki itu mahu berjalan-jalan seketika sambil mencari jalan bagaimana hendak merawat anaknya.

Sewaktu sedang berjalan tanpa arah tujuan, sayup-sayup ditelinganya terdengar sebuah ceramah yang sedang diadakan disebuah surau.

"Rasulullah pernah bersabda, ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah..." ((Hadis riwayat At-Thabrani dan Baihaqi)

Kata-kata iu menusuk jauh ke dalam sanubarinya. Sedekah? Jika aku hendak bersedekah, kepada siapa? Bagaimana hendak melakukannya jika kehidupanku juga susah? Pertanyaan itu menusuk ke dalam kalbunya.

Dengan rasa kecewa, dia berjalan pulang. Wajahnya muram. Sebaik tiba di pintu rumah, dia terdengar bunyi seekor kucing. Entah dari mana datangnya, kucing itu terus mengiau, seperti memberitahu ia sedang kelaparan.

Lelaki itu masuk ke dalam dapur. Hanya sedikit makanan yang tinggal. Lalu dibawanya keluar dan diletakkan dihadapan kucing tersebut.

Dengan lahapnya kucing itu menjamah rezeki yang dihidangkan. Sesekali ia mengiau seakan mengucapkan terima kasih.

Menjelang Subuh, lelaki itu dikejutkan oleh isterinya. Ada sedikit riak ceria diwajah.

"Tadi aku bermimpi. Aku sedang mendakap anak kita di sebuah tempat yang indah. Tiba-tiba datang seekor burung hitam yang besar dari langit. Ia cuba menyambar anak kita. Aku sangat takut. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Tiba-tiba, muncul seekor kucing kecil. Ia menterang burung itu tanpa henti. Walaupun ia cedera dan aku terfikir kucing itu tidak mungkin menang, tetapi ia langsung tidak berganjak daripada cuba mempertahankan kami berdua. Ia terus menyerang hingga akhirnya burung itu terbang menghilangkan diri.

"Apabila aku terbangun tadi, aku melihat anak kita sudah mula membuka mata. Bibirnya memanggil ibu. Malah, suhu badannya juga sudah mula turun," cerita isterinya.

Lelaki itu merasa sendiri tubuh anaknya. Benar, tidak lagi panas seperti sebelumnya. Lelaki itu segera keluar rumah. Matanya melilau mencari kucing yang diberi makan tadi, tapi tidak kelihatan di mana-mana.

Menjelang siang, anaknya sudah mula makan dan menyusu. Beberapa hari kemudian, kesihatan anak itu semakin baik dan akhirnya sembuh.

Berjuraian air mata lelaki itu bermunajat. Dia tidak tahu, adakah kerana sedekahnya yang tidak seberapa terhadap kucing itu menyebabkan anaknya semakin sihat.

Yang pasti, air matanya terus berjuraian tanda bersyukur ke hadrat Ilahi melihat anaknya kembali pulih.

BACA INI JUGA: Doa Supaya Anak Menjadi Soleh

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon