Thursday, April 16, 2015

Ibnu Al-Haitham, Ilmuwan Islam Pencipta Pertama Kamera


Hanya dengan satu bidikan kamera, mampu menjatuhkan maruah seorang individu. Juga mampu merubah hidup anda sekelip mata. Namun, tahukah anda siapa pencipta pertama kamera?

Kamera

Sebagaimana sedia maklum, banyak teknologi yang ada pada hari ini adalah hasil daripada idea dan ciptaan ilmuwan Islam di Timur Tengah suatu ketika dahulu. Begitu juga dalam rekaan kamera yang asalnya dicipta oleh seorang ilmuwan Islam bernama Ibnu Al-Haitham pada abad ke-10 Masihi.

Fakta ini sebenarnya diakui sendiri oleh sebuah akhbar di United Kingdom, The Independent, pada 11 Mac 2006. Artikel yang ditulis oleh Paul Vallely dibawah tajuk, 'How Islamic Inventors Changed The World', telah menyenaraikan 20 teknologi yang direka umat Islam sebelum ia dibawa ke negara Barat melalui gerakan tentera penjajahan di Eropah yang menamakan diri mereka sebagai tentera salib.

Menurut artikel tersebut, orang-orang Yunani purba percaya bahawa mata kita dipancarkan oleh cahaya seperti laser untuk membolehkan kita melihat. Oleh itu, individu pertama yang menyedari hakikat itu adalah saintis pertama di dunia, Ibnu Al-Haitham.

Semuanya bermula pada suatu hari, apabila dia perasan ada satu cahaya memasuki biliknya menerusi sebuah lubang kecil. Cahaya itu jatuh tepat ke dinding bertentangan dengan memantulkan objek berbentuk semi-nyata matahari kerana ketika itu sedang berlaku gerhana matahari.

Melalui pemerhatian itu, Ibnu Al-Haitham mendapati objek terbentuk dalam keadaan terbalik. ini kerana cahaya sebenarnya bergerak lurus menyebabkan ia bersilang ketika melalui lubang kecil sebelum memantulkan objek pada permukaan rata. Dia turut merumuskan bahawa semakin kecil lubang, semakin jelas imej yang dipamerkan.

Kitab Al-Manazir
Kitab Al-Manazir (Optik).

Menurut pakar optik itu dalam kitabnya, Al-Manazir (optik), teknik asas kamera adalah sama dengan cara mata kita bekerja. Imej yang dilihat juga terbalik tetapi saraf mata yang bersambung dengan otak mentafsirkan sesuatu objek dalam keadaan menegak dan bukannya terbalik.

Hasil eksperimen itulah yang membawa Ibnu Al-Haitham kepada suatu penemuan baru dalam sejarah perkembangan teknologi manusia. Bersama-sama Kamaluddin Al-Farisi, dia berjaya menghasilkan kamera pertama di dunia yang dikenali sebagai kamera Obscura atau Al-Bayt Al-Muzlim. Teknik kamera inilah yang diguna sebagai asas dalam pembuatan kamera hingga ke hari ini.

Sebenarnya, perkataan kamera itu sendiri datang daripada bahasa Arab iaitu Qamara yang bermaksud bilik. Manakala perkataan Obscura pula daripada bahasa latin yang bermaksud gelap.

Kamera Obscura pertama adalah sebuah bilik dengan lubang kecil disatu sisi. Cahaya dari luar akan melalui lubang dan memantulkan imej terbalik pada permukaan dinding bertentangan.

Ibnu Al-Haitham atau nama sebenarnya Abu Ali Al-Hassan Ibnu Al-Haitham turut mengabadikan penemuan kamera Obscura ini dalam kitabnya yang diguna pakai di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Teori-teori ini turut dikembangkan pakar matematik, astronomi dan fizik ini hingga membawa kepada penemuan lain yang turut diguna dalam panggung wayang.

Sekitar abad ke-16 Masihi, lebih kurang 600 tahun kemudian, Cardano Geronimo telah membawa konsep kamera Obscura ke negara Barat. Dia menukar lubang bidik kamera kepada lensa kamera. Menurut pendapat lain, Giovanni Batista Della Porta (1535-1615) dikatakan turut menggunakan lensa pada kamera Obscura.

Ada juga yang menyebut kamera Obscura telah diperkenalkan di negara Barat oleh Joseph Kepler (1571-1630). Kepler dipercayai telah melakukan inovasi terhadap kamera itu dengan menambah lensa negatif di belakang lensa positif hingga mampu membesarkan objek yang jauh.

Robert Boyle kemudiannya telah mereka bentuk semula kamera Obscura menjadi lebih kecil berbentuk kotak pada tahun 1665.

Beberapa ratus tahun kemudian, buat pertama kalinya Joseph Nicephore Niepce telah berjaya menghasilkan 'still photo' menerusi kamera Obscura pada tahun 1827 di Perancis.

Pada tahun 1888, George Eastman telah mencipta kamera kodak sebagai tambahan kepada kamera asas Obscura.

Sejak itu, perkembangan demi perkembangan bergerak maju sejajar perubahan semasa hingga ia dapat digunakan untuk berselfie setiap masa sebelum dimuat naik ke laman-laman sosial.

Hebat kan?

BACA INI JUGA: 5 Ciptaan Terhebat Umat Islam Yang Mengubah Dunia!

-SENTIASAPANAS.COM

3 comments

  1. Hebatnya ilmuan Islam dahulu.. patut kita contohi ketekunan mereka...

    ReplyDelete
  2. Semua ilmu itu kalau dikaji memang wujud dalam al quran..dan ilmuan islam terdahulu berjaya menemuinya

    ReplyDelete
  3. Assalammualaikum... SP,

    begitu complicated ... namun dapat mencipta sesuatu yang berguna sehingga sekarang..

    mselim3

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon