Monday, April 27, 2015

10 Tumpahan Minyak Paling Buruk Dalam Sejarah


Dalam kebanyakan peristiwa tumpahan minyak yang berlaku, berikut merupakan 10 tragedi paling buruk dalam sejarah.

Tumpahan-Minyak

1. Odyssey

Sebuah kapal tangki minyak Amerika yang dibina pada tahun 1971. Pada 5 November 1988, kapal yang membawa muatan 45 juta gelen minyak mentah berlayar dari London, menuju ke wilayah timur Kanada.

Lebih kurang 1,000 batu nautika sebelum sampai ke destinasi, Odyssey dibantai ribut dengan hentaman ombak setinggi hampir lapan meter.

Akibatnya, berlaku letupan di dalam kapal. Ia menyebabkan kapal terbelah dua sebelum terbakar dan tenggelam ke dasar lautan Atlantik. Bantuan lambat tiba kerana masalah cuaca yang buruk. Kesemua 27 orang anak kapal terkorban.

Tragedi ini menyebabkan 43 juta gelen minyak mencemari laut berdekatan perairan Kanada.

2. MT Haven

Merupakan sebuah kapal pembawa minyak yang berpangkalan di Cyprus dan mula beroperasi pada tahun 1973. Tanggal 11 April 1991, krew kapal sibuk memindahkan 230 tan minyak mentah yang dibawa dari pelantar terapung, tujuh batu dari wilayah Genoa, Itali.

Selepas memindahkan 80 ribu tan minyak, berlaku letupan dahsyat dipelantar. Api mula marak membakar kapal gergasi itu. Tumpahan minyak menyebabkan api merebak dengan pantas.

Pada hari kedua tragedi, pihak berkuasa Itali melancarkan gerakan untuk cuba menarik kapal yang masih terbakar mendekati daratan bagi mengurangkan kesan pencemaran.

Namun, operasi itu agak sukar. Bahagian belakang kapal sudah patah selain busurnya tenggelam ke dalam laut.

Pada 14 April, setelah tiga hari terbakar, akhirnya badan MT Haven sepanjang 250 meter karam dilautan pada jarak tidak sampai dua batu dari daratan Arenzano, Itali.

Kapal itu bukan sahaja karam bersama lebihan minyak mentah, malah mencemarkan perairan Mediterranean di Itali dan Perancis selama 12 tahun.

Kini, bangkai MT Haven terbenam pada kedalaman lebih 1,000 kaki diperairan Genoa dan menjadi salah satu pusat tarikan pelancong bagi golongan penyelam.

3. Amoco Cadiz

Berakhirnya riwayat Amoco Cadiz, sebuah kapal kargo pengangkut minyak kepunyaan Liberia yang mula beroperasi pada tahun 1974. Kapal ini berlayar dari Teluk Parsi menuju Rotterdam, membawa 1,604,500 tong minyak mentah dan bahan api.

Ketika berlayar berdekatan Perancis, lebih kurang tiga batu dari wilayah Brittany, kapal ini ditimpa bencana apabila melanggar batu karang dikawasan tersebut. Kesan perlanggaran, Amoco Cadiz terbelah dua.

Sebelum tenggelam, usaha memindahkan minyak dari kapal itu ke kapal lain cuba dilakukan namun gagal kerana cuaca buruk.

Tumpahan minyak mencemari sepanjang 45 batu pesisiran pantai Perancis dan merebak sehingga 100 batu kerana tiupan angin kencang.

Minyak meliputi pantai hingga mencapai ketebalan 20 inci dan kawasan pelancongan juga terjejas teruk.

4. Castillo De Bellver

Merupakan kapal minyak milik Sepanyol, ia berlayar dari Teluk Parsi pada 6 Ogos 1983, membawa 250 ribu tan minyak mentah. Semasa berada di perairan Table Bay, lebih kurang 80 kilometer dari daratan Afrika Selatan, berlaku letupan di kapal itu sebelum terbakar.

Kebanyakan anak kapal berjaya diselamatkan oleh kapal nelayan yang melalui kawasan nahas. Tragedi itu menyebabkan perairan laut Cape Town dicemari tumpahan minyak.

5. ABT Summer

Sebuah kapal tangki Liberia yang dibina di Korea Selatan mula beroperasi pada tahun 1974. Pada tanggal 28 Mei 1991, kapal ini berlayar dari pulau Kharg, Iran menuju ke Rotterdam. Ia membawa muatan 260 ribu tan minyak mentah.

Pada jarak 900 kilometer di luar pantai Angola (Selatan Afrika), berlaku letupan. Kapal itu terbakar selama tiga hari sebelum tenggelam pada 1 Jun 1991. Lima daripada 32 anak kapal terkorban.

Tumpahan minyak meliputi kawasan seluas 80 batu persegi.

6. Nowruz Oil Filed

Merupakan sebuah pusat pelantar penggali minyak di Teluk Parsi, Iran. Pada tahun 1983, berlaku beberapa insiden yang membawa kepada pencemaran minyak terburuk di perairan ini.

Pada 10 Februari, sebuah kapal tangki melanggar pelantar, menyebabkan pelantar menjadi condong dan menyebabkan kebocoran. Akibatnya, lebih kurang 1,500 tan minyak mengalir ke laut setiap hari.

Pada bulan Mac pula, pelantar ini telah terbakar setelah diserang pesawat Iraq dalam Perang Teluk yang berlaku antara Iran dan Iraq. Akibatnya, setiap hari ia menumpahkan 5,000 tan minyak.

Jumlah itu berkurangan kepada 1,500 tan sehari, dua tahun selepas pelantar itu dibedil. Sepanjang tempoh perang, tumpahan minyak terus berlaku kerana pelantar itu tidak ditutup berikutan ia terletak ditengah-tengah medan perang.

Pada Mei 1985, satu operasi dijalankan. Api berjaya dipadam dan kebocoran berjaya ditutup oleh sekumpulan penyelam bagi menghalang tumpahan minyak terus berlaku.

Sembilan pekerja terkorban dalam operasi tersebut dan dianggarkan lebih 733,000 tan minyak mengalir keluar mencemari Teluk Parsi selama dua tahun.

7. Fergana Valley

Kawasan ini merupakan kawasan industri dan pertanian dikawasan Asia Tengah, meliputi bahagian timur Uzbekistan, Krygystan dan Tajikistan. Ia juga dikenali sebagai lembah Fergana.

Pada 2 Mac 1992, berlaku letupan disebuah kilang minyak dalam daerah tersebut. Insiden itu menyebabkan telaga-telaga minyak memuntahkan segala isinya ke darat.

Ia bukan sahaj mencederakan penduduk dan haiwan, malah memusnahkan industri pertanian di lembah Fergana. Hampir 88 juta gelen minyak dihamburkan, menyebabkan daerah tersebut terbakar selama hampir dua bulan.

Ia merupakan tumpahan minyak terbesar di darat dan terburuk di Asia.

8. Atlantic Empress

Tanggal 19 Julai 1979, sebuah kapal tangki Greek, Atlantic Empress, berlayar dari Arab Saudi menuju ke Texas. Pada waktu yang sama, sebuah lagi kapal pembawa minyak Aegean Captain, juga sedang berlayar dari Aruba diperairan Caribbean menuju ke Singapura.

Dalam keadaan hujan lebat dan kabus tebal, kedua-dua kapal tidak menyedari mereka saling menghampiri. Hanya pada jarak 600 meter, barulah kedua-dua kapal menyedari mereka sudah terlalu hampir. Ketika itu, kapal Aegean Captain cuba menukar haluan namun sudah terlambat.

Kedua-dua kapal bertembung di perairan berdekatan Trinidad & Tobago. Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kapal terbakar dan mengorbankan sebahagian anak kapal.

Lebih kurang 90 juta gelen minyak mencemari laut. Seminggu selepas perlanggaran, Atlantic Empress tenggelam ke dasar lautan.

9. IXTOC I

Merupakan sebuah telaga cari gali minyak yang terletak di Mexico. Pada 3 Jun 1979, berlaku masalah pada penggalian yang menyebabkan letupan. Pelantar yang terletak lebih kurang 600 kilometer dari Texas itu mengalami kebocoran sebelum terbakar.

Hanya pada 23 Mac 1980, barulah kebocoran itu dapat dikawal. Sepanjang tempoh itu, lebih kurang 10 ke 30 ribu gelen minyak mengalir ke laut setiap hari.

10. Perang Teluk

Perang Teluk berlaku dari Ogos 1990 sehingga Februari 1991. Peperangan antara Pasukan Bersekutu yang diketuai Amerika bagi menentang Iraq, sebagai tindak balas terhadap serangan Iraq ke atas Kuwait.

Pada Januari 1991, tentera bersekutu berjaya mengambil alih Kuwait dari penguasaan Iraq namun, sebelum berundur tentera Iraq telah memusnahkan kapal tangki, terminal dan telaga minyak di Kuwait.

Ia merupakan tumpahan minyak paling buruk dalam sejarah kerana dianggarkan lebih 36 juta gelen minyak mentah telah mencemari Teluk Parsi dan perairan Kuwait serta Iraq.

Pencemaran meliputi kawasan seluas 40 batu dengan ketebalan melebihi empat inci!

BACA INI JUGA: 10 Lokasi Rekreasi Paling Berbahaya Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

2 comments

  1. Banyak lagi rupunya tempat yang banyak minyak tumpah. Info yang menarik untuk dikongsi.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon