Monday, March 30, 2015

Aplikasi MyKira GST Permudah Semak Harga Barangan


KPDNKK melancarkan aplikasi telefon mudah alih ‘MyKira GST’ yang membolehkan pengguna membuat semakan segera impak cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap harga lebih 10,000 barangan.

Aplikasi MyKira GST

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata aplikasi yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama MIMOS Bhd itu juga membolehkan pengguna yang tidak berpuas hati membuat aduan terus melalui saluran e-aduan yang disediakan.

“Dalam tiga langkah (melalui MyKira GST), pengguna boleh menyemak harga barangan dalam julat.

“Semua e-aduan melalui aplikasi ini akan diambil tindakan segera dengan dihantar terus ke pasukan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu dan Pusat Gerakan AntiPencatutan (PGAP) di Ibu Pejabat KPDNKK.

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma daripada Google Play Store mulai sekarang manakala bagi Apps Store pula pada minggu pertama April.

Hasan dalam pada itu berkata PGAP mula beroperasi untuk mengambil tindakan serta-merta terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan khususnya di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Pindaan 2014).

Katanya PGAP akan beroperasi 24 jam dan dikendalikan 40 petugas secara bergilir-gilir termasuk untuk menerima aduan melalui telefon, saluran e-aduan dan juga media sosial.

Pengguna boleh membuat aduan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882-6245 dan 03-8882-6088 dengan memberi maklumat yang spesifik agar pemeriksaan dibuat segera dan tindakan diambil, katanya.

Setiap aduan yang diterima akan direkod dan disalurkan kepada KPDNKK negeri dan penguat kuasa di peringkat akar umbi untuk diambil tindakan, katanya.

“Ada aduan boleh diambil tindakan serta merta seperti timbang berat dan tanda harga tetapi untuk aduan pencatutan ambil masa kerana perlu lakukan siasatan,” katanya.

Hasan berkata, lima mahkamah jenayah khas di lima zon – utara, selatan, timur, tengah, Sabah dan Sarawak – bagi mengendalikan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan akan mula beroperasi Rabu ini (1 April 2015).

Pendakwaan kes akan dilakukan Jabatan Peguam Negara manakala pegawai penguat kuasa KPDNKK akan membekalkan maklumat berkaitan kes, katanya.

Sementara itu, Hasan berkata KPDNKK dan Kastam Diraja Malaysia akan melancarkan operasi bersama di seluruh negara pada 2 April.

BACA INI JUGA: Cara Mudah Membuat Aplikasi Android untuk Blog

Sumber: BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon