Wednesday, December 24, 2014

Selepas Tsunami, Gambar Biasa Yang Luarbiasa!


Pada 26 Disember ini, genap ulang tahun ke sepuluh ombak tsunami melanda bumi Acheh di Indonesia.

After Tsunami
'Selepas Tsunami..'

Ia disifatkan antara bencana terburuk yang pernah melanda umat manusia selepas abad ke 20. Lebih 250,000 nyawa warga dunia telah tewas dalam tragedi menyayat hati itu.

Bencana yang berpusat ditengah-tengah Lautan Hindi berkenaan telah memeranjatkan seluruh warga dunia. Disegenap pelosok, semua orang berbicara tentang tragedi tsunami.

Tiada siapa menyangka, hanya dalam sekelip mata sahaja, ombak tsunami dengan kelajuan 800 kilometer sejam telah membadai dan meranapkan secara total sebahagian besar pesisir pantai benua Asia dengan begitu teruk sekali.

Anggaran kemusnahannya dianggarkan 23,000 kali kekuatan letupan bom atom Hiroshima. Malah, kadar kekuatan ombak dengan ketinggian sehingga 60 meter yang dipacu oleh gegaran gempa 9.3 skala Ricther itu turut mengubah kedudukan paksi bumi dan landskap peta dunia.

Aceh, sebuah wilayah dalam jajahan Indonesia yang terletak dalam kepulauan Sumatera mengalami kemusnahan paling teruk.

Kedudukannya yang paling hampir dengan pusat gempa dan berada dijajaran lingkaran api Pasifik telah menjadikan ia sebagai wilayah pertama dilanda tsunami.

Ombak raksasa itu terus bergerak dan dalam masa dua jam ia telah melanda Sri Lanka, India dan Thailand.

Pada jam berikutnya, ia membantai Myanmar, Bangladesh, Malaysia, Maldive, Mauritius, Seychelles, Madagascar, Somalia, Kenya, Yemen dan Tanzania. Sebanyak 15 buah negara terlibat dalam tragedi ini.

Mata seluruh dunia mula tertumpu ke lokasi-lokasi yang mengalami bencana, terutamanya Acheh yang musnah hampir keseluruhannya.

Rakyat dari segenap pelosok turut terperanjat dan menyatakan rasa simpati terhadap warga yang terlibat dengan musibah ini. Segala bantuan mula dihulurkan ke sana.

Selain Acheh, wilayah tenggara yang turut mengalami kemusnahan teruk ialah Phuket, Thailand.

Sehari selepas peristiwa tersebut berlaku, 27 Disember 2004, akhbar-akhbar di seluruh dunia mula sibuk melaporkan berita tentang tragedi ini. Ulasan, laporan dan gambar-gambar yang berkaitan dengan tragedi tsunami telah dipaparkan di dada-dada akhbar.

Pakar-pakar kaji bumi mula tampil memberi hujah bagaimana perkara ini berlaku. Seluruh warga ternanti-nanti dan dahagakan perkembangan terkini tentang kemusnahan alam yang menyayat hati itu.

Di blok selatan, Tamil Nadhu, India, telah diisytiharkan sebagai wilayah darurat. Mayat-mayat warga tempatan bergelimpangan disana-sini.

Kebanyakannya masih tertimbus di bawah lumpur. Lebih teruk lagi, sebahagian besar mayat yang ditemui sudah tidak lengkap anggota tubuh.

Berdasarkan situasi semasa, pasukan penyelamat menganggarkan hampir 20,000 penduduk di Tamil Nadhu telah terkorban.

Selepas hampir 48 jam, wartawan dan jurugambar dari seluruh dunia telah mula membanjiri kawasan bencana. Mereka hadir untuk melaporkan berita tentang kemusnahan akibat tsunami yang berlaku di Tamil Nadhu.

Dalam masa yang sama, warga media turut terlibat dalam misi bantuan kerana jumlah sukarelawan yang agak terhad.

Arko Datta
Arko Datta.

Seorang jurugambar profesional Reuters dari Gujerat, India, Arko Datta telah ditugaskan untuk membuat liputan di daerah berkenaan.

Ketika tugasannya, Arko telah memotret segala kemusnahan yang berlaku di Tamil Nadhu akibat tragedi itu. Gambaran yang diambil cukup jelas, betapa kuasa alam yang meledak telah membinasakan manusia dan segala harta benda mereka.

Namun, diantara gambar-gambar yang telah diambil oleh Arko, terdapat sekeping gambar yang dianggap sebagai ikonik dalam sejarah tragedi berkenaan.

Foto yang dikenali sebagai 'Selepas Tsunami..' itu memaparkan seorang wanita warga India sedang meratapi ahli keluarganya yang telah meninggal dunia.

Bagi sesetengah pihak, foto tersebut mungkin kelihatan biasa. Namun, diperingkat antarabangsa, ia telah dinobatkan sebagai foto terbaik dalam pertandingan World Press Photo pada tahun 2005.

Seorang juri dan editor foto The New York Times Magazine menyatakan, gambar yang diambil oleh Arko ini jelas, bersejarah dan kaku, tetapi ia memberi kesan yang cukup mendalam.

'Selepas Tsunami..' ialah foto yang dirakamkan di daerah Cuddalore di pantai timur India yang merupakan kawasan paling teruk dilanda tsunami. Ia diambil oleh Arko dua hari selepas kemusnahan awal yang berlaku pada 26 Disember 2004.

Gambar berkenaan memaparkan seorang wanita dalam keadaan bersujud sedang berduka meratapi kematian orang yang disayangi.

Riak wajah dan keadaan tangannya yang terlangkup ke atas menunjukkan betap dia sedang mengalami kesedihan yang tidak terhingga.

Dihadapan wanita yang tidak diketahui namanya itu pula hanya kelihatan lengan kembung mangsa tanpa kecederaan yang boleh dilihat. Berdasarkan keadaan tangan, mangsa berkemungkinan telah dua hari meninggal dunia akibat lemas.

Menurut Arko, mangsa adalah seorang lelaki. Namun, dia sendiri tidak mengetahui hubungan sebenar antara lelaki tersebut dan wanita yang sedang berteriakan itu.

Latar gambar pula dipenuhi pasir-pasir yang bertebaran. Ia memberi tanda bahawa tsunami telah melanda daerah berkenaan. Sementara di sudut hujung sebelah kanan iaitu pada bahagian kaki pula, terdapat satu selipar tunggal.

Jurugambar mengambilnya dari pandangan atas, membuatkan foto tersebut benar-benar nampak hidup.

Acheh Selepas Tsunami
Masjid yang terselamat di Acheh.

Namun, ia bukan sekadar menggambarkan kemusnahan yang berlaku, tetapi ia juga turut membawa kepada persoalan, apa yang harus dilakukan mangsa-mangsa terlibat selepas berakhirnya tragedi berkenaan.

Perkara inilah yang membuatkan foto tersebut mendapat pengiktirafan yang tinggi diperingkat dunia.

Sudah satu dekad tragedi ini berlaku, tetapi kesannya masih lagi dirasai sehingga kini.

Sekalipun ia diingati sebagai satu detik hitam, namun ombak besar itu juga sebenarnya telah mengajar kita semua tentang erti kehidupan yang tidak mengenal warna kulit, bangsa mahupun agama.

-SENTIASAPANAS.COM

3 comments

  1. Tragedi abad ke 20 yang paling dasyat... Ianya akan terus dikenang

    ReplyDelete
  2. Peristiwa yang mengerikan...
    Maha Suci Allah, yang mengukuhkan masjid tersebut :)

    ReplyDelete
  3. Tanpa disedari, dah 1 dekad tragedi ni berlalu.. Takziah buat keluarga mangsa & Al Fatihah buat semua mangsa yg beragama Islam.. Al Fatihah.. aamiin.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon