Thursday, December 25, 2014

Festival Bertumbuk Takanakuy!


Bagi masyarakat Chumbivilcas yang mendiami wilayah Cuzco di Peru, bertumbuk adalah cara mereka menyelesaikan masalah diantara mereka.

Takanakuy

Tetapi, mereka akan berlawan sesama sendiri hanya sekali dalam setahun dalam sebuah festival yang akan diadakan pada 25 Disember setiap tahun.

Festival yang digelar sebagai Takanakuy dikatakan telah bermula sejak 100 tahun yang lalu dan merupakan sambutan kuno tahunan yang diwarisi daripada budaya pra-Hispanik Chanka.

Takanakuy yang bermaksud, 'Apabila darah mendidih' dalam bahasa Quechua (salah satu dialek pertuturan tertua di Peru) adalah satu sambutan tahunan yang memberi orang peluang untuk menyelesaikan perbezaan peribadi dengan ahli-ahli masyarakat cara lama iaitu melalui keganasan!

Takanakuy [4]

Walaupun konsep festival pertarungan ini disediakan untuk masyarakat menyelesaikan dendam atau rasa tidak puas hati mereka pada seseorang, ada sesetengah daripada mereka menyertai pertarungan hanya kerana mahu membuktikan keberanian dan kemahiran berlawan.

Selain itu, ada juga yang menyertai festival ini kerana ingin mendapatkan penghormatan daripada masyarakat dan juga untuk membuat keluarga mereka bangga.

Pada hari perayaan, peserta akan berkumpul di gelanggang yang disediakan di mana mereka akan bertarung. Kebanyakan peserta akan menutup muka mereka dengan topeng ski tradisional berwarna-warni untuk menakutkan pihak lawan sebelum membuka topeng tersebut dan memasuki gelanggang perlawanan.

Festival tersebut akan dikawal selia oleh pihak berkuasa tempatan yang turut bertindak sebagai pengadil dalam perlawanan itu. Peserta perlu bertarung dengan lawan mereka sehingga pengadil menghentikan pertarungan apabila salah seorang peserta sudah lemah.

Takanakuy [2]

Peraturan paling penting semasa perlawanan adalah, peserta tidak dibenarkan untuk menyerang semasa lawan mereka jatuh ke tanah. Jika mereka 'terlupa' atau sengaja melanggar peraturan penting tersebut, mereka akan disebat dengan cemeti oleh pengadil.

Menariknya, pertarungan ini bukan sahaja melibatkan lelaki dewasa, malah kaum wanita dan juga kanak-kanak turut bertarung untuk menyelesaikan kemelut dan rasa tidak puas hati mereka.

Peserta lelaki kebanyakannya lebih gemar menggunakan penumbuk manakala kaum wanita pula lebih suka menendang semasa bertarung.

Walaupun ia adalah festival yang agak ganas, kecederaan yang teruk jarang dilaporkan. Selalunya peserta akan meninggalkan gelanggang dengan muka yang muka dan sedikit luka.

Takanakuy [3]

Apa yang penting, mereka akan berjabat tangan dan berpeluk-pelukan selepas perlawanan tanda pertikaian dan masalah peribadi mereka telah diselesaikan tanpa menyimpan sebarang dendam.

Kalau ada yang masih tidak berpuas hati, mereka akan mempunyai peluang untuk bertarung semula tahun berikutnya.

Takanakuy [5]

Takanakuy mungkin kelihatan seperti tidak wajar kerana menggalakkan keganasan. Tetapi bagi masyarakat Chumbivilcas, ia adalah satu bahagian penting dalam warisan budaya mereka.

Mereka percaya ia adalah satu cara mudah dan berkesan untuk menghilangkan tenaga negatif.

BACA INI JUGA: Festival Kostum Pelik Menyerupai Pokok Kayu

-Sentiasapanas.com

3 comments

  1. alamak ..pasti ada yang cedera kan..ni sempena hari natal kali kan SP..

    ReplyDelete
  2. wanita pun berlaga juga tu..aduh..apapun ni budaya diorang jangan pasang taji sudah lah..ni lah ragam Manusia..

    ReplyDelete
  3. Ada juga budaya yg mcm ni... nasib baiklah tak dilahirkan dikalangan mereka, klu tak mesti bertumbuk tiap2 tahun...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon