Thursday, October 09, 2014

Budaya Pelik Perkahwinan Mayat Di China


Belum pernah bercinta mahupun bertemu janji dengan mana-mana gadis, lelaki ini baru berumur 17 tahun.

Minghun

Bujang. Meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya tanpa sempat merasa kemanisan hidup berumah tangga.

Atas alasan itu, ahli keluarga telah melangsungkan perkahwinan antara mayat si mati dengan mayat gadis terpilih dalam satu upacara pelik dipanggil Minghun.

Demikianlah yang terjadi kepada mayat seorang pemuda bernama Li Xianying. Berasal dari perkampungan Yanchuan, wilayah Shaanxi ditengah China.

Walaupun kedengaran sangat pelik, ia sebenarnya bukanlah kes pertama atau baru berlaku di negara paling ramai penduduknya di dunia itu.

Berdasarkan catatan, upacara perkahwinan mayat atau perkahwinan hantu telah mula diamalkan sejak abad ke 17 sebelum masihi.

Amalan ini bermula selepas kebanyakan penduduk China percaya bahawa seorang lelaki tidak akan masuk ke syurga sebelum berkahwin. Bermakna, jiwa lelaki yang meninggal dunia sebelum sempat berkahwin ini dipercayai sering berkeliaran dan tidak tenteram.

Roh mereka dikatakan akan bersendirian dan akan terus-menerus menghantui saudara-mara yang masih hidup.

Bagi menenangkan jiwa-jiwa tidak tenteram, ahli keluarga mayat lelaki tidak berputus asa mencari mana-mana mayat wanita untuk dijadikan isteri si mati.

Minghun

Pakar upacara perkahwinan mayat dari Universiti Shanghai China, Profesor Huang Jingchun berkata, masyarakat di China sangat percaya bahawa kehidupan orang mati pada dasarnya adalah sama dengan kehidupan di dunia.

Menurutnya lagi, si mati akan dibekalkan dengan pelbagai barang-barang keperluan yang diperbuat daripada kertas. Antaranya, wang, televisyen, kereta, mesin basuh dan pelbagai alat kelengkapan lain.

Termasuk juga keperluan mengahwinkan mayat wanita sebagai peneman mayat lelaki dalam ritual perkahwinan mayat.

Upacara perkahwinan pelik ini sama seperti perkahwinan pengantin yang masih hidup. Kedua pengantin dipakaikan pakaian tradisi dari kain yang mahal, disolek dan didandan kemas, malah jamuan makan minum juga disediakan.

Keluarga pengantin lelaki juga turut memberikan hadiah wang tunai kepada saudara-mara pengantin wanita. Keluarga kedua-dua pihak pengantin juga akan terus berhubung antara satu sama lain. Cuma bezanya, pengantin agak menyeramkan kerana kedua-duanya sudah tidak bernyawa.

Lebih pelik dan menyeramkan, pasangan pengantin akan dikubur semula bersama-sama sebaik sahaja majlis bersanding selesai. Bermula dari hari itu, rasmilah mereka sebagai suami isteri dan kedua-duanya dipercayai hidup bahagia di sana.

Akan tetapi, kebahagian itu selalunya tidak kekal lama. Contoh seperti kes ini- Wu, seorang gadis yang sudah meninggal dunia.

Dia dijual oleh orang tuanya kepada saudara mayat seorang lelaki dengan harga sekitar RM15,899 dalam upacara minghun.

Minghun

Selepas dikahwinkan dan dikuburkan bersama-sama, mayat Wu dicuri. Jasadnya kemudian dijual untuk dikahwinkan dengan mayat lelaki lain pada harga diskaun kerana sudah membusuk.

Isu ini bukannya perkara yang baru berlaku. Telah banyak kes seumpamanya dilaporkan sekaligus menjadi kebimbangan ramai pihak.

Mahkamah China sebelum ini telah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atas empat orang lelaki kerana menggali 10 buah kubur mayat wanita untuk dijual dengan harga RM125,523.

Seorang lelaki bernama Song turut mengaku bersalah membunuh seramai enam orang wanita, untuk dijual sebagai pengantin wanita.

Pengerusi Parti Komunis China, Mao Tse Tung pernah mengharamkan perkahwinan mayat pada tahun 1949, selepas Parti Komunis berkuasa.

Pengharaman itu adalah sebagai usaha pihak berkuasa untuk menjauhkan rakyat negara itu dari beberapa tradisi pelik yang tidak produktif.

Bagaimanapun, upacara pelik tersebut telah muncul semula beberapa tahun selepas itu dan terus berkembang sehingga ke hari ini.

Cuma bezanya, keluarga mayat lelaki sudah ada pilihan untuk mendapatkan pengantin mayat wanita.

Minghun
Patung daripada biskut menggantikan mayat manusia.

Bagi keluarga kaya, mereka boleh beralih ke pasaran gelap untuk membeli mayat wanita. Sementara keluarga yang kurang berkemampuan pula terpaksa membeli mayat busuk pada harga diskaun kemudian dipasangkan wayar keluli untuk mengukuhkan kerangka mayat.

Bagi keluarga miskin pula, mereka tidak kisah walaupun terpaksa menggunakan patung menyerupai manusia yang diperbuat daripada biskut.

Yang penting dapat meneruskan amalan pelik tinggalan nenek moyang terdahulu.

BACA INI JUGA: Lelaki Atau Wanita, Siapa Paling Curang?

-SENTIASAPANAS.COM

4 comments

  1. kesian mayat tu kena cucuk besi ... seksa .

    ReplyDelete
  2. Ini zaman dulu2... Zaman sekarang nie dah tak ada dah kot... :D

    ReplyDelete
  3. macam-macam budaya dan kepercayaan

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon