Wednesday, September 03, 2014

Unik! Nikmat Kopi 'Gantung'


Harga secawan kopi panas biasa tidaklah semahal secawan Cuppicino. Pun begitu, tidak semua orang mampu membelinya.

Suspended Coffee

Malah ada yang terpaksa menahan keinginan untuk menghirup keenakan rasa kopi kerana tidak mempunyai wang.

Atas dasar keperihatinan pihak tertentu, kini banyak kafe di luar negara berlumba-lumba menyajikan sebuah menu yang disebut sebagai 'Suspended Coffee'.

Suspended Coffee atau kopi digantung, diperuntukkan kepada mereka yang tidak mampu membeli atau membayar secawan kopi.

Misalnya, apabila anda membeli secawan kopi di sebuah kafe yang mengambil bahagian, anda bukan saja membayar kopi untuk diri sendiri, tetapi juga untuk mereka yang tidak berkemampuan.

Sebagai contoh, anda memesan lima cawan kopi. Secawan kopi untuk anda dan empat lagi untuk ditangguhkan (suspended). Selesai minum secawan kopi, anda beredar dan membayar untuk lima cawan kopi.

Suspended Coffee [2]

Jadi, kemana perginya empat lagi cawan kopi yang dipesan tadi?

Kopi-kopi yang digantungkan itu dikhususkan buat para gelandangan yang tiada pekerjaan dan tiada rumah hingga terpaksa merempat atau tidur di tepi-tepi jalan.

Ia akan diberikan secara percuma tanpa banyak soal kepada pengemis yang datang bertanyakan mengenai minuman itu.

Konsep menu ini boleh dikatakan sama seperti minum sambil menderma dan membuat kebaikan. Anda membayar minuman panas itu sebagai sumbangan kecil untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Idea murni ini telah bermula di Naples, Itali. Orang Itali menyebutnya dengan sebutan 'Caffe Sospeso'. Selain diwujudkan untuk mereka yang tidak memiliki tempat tinggal, konsep awal Caffe Sospeso juga sebenarnya lebih ke arah memberi pertolongan kepada peniaga bankrap atau dipecat daripada pekerjaan.

Sampai sekarang, amalan lama berusia ratusan tahun ini masih menjadi budaya masyarakat di sana. Sejak ia diwujudkan, ramai individu telah melakukannya. Ini satu isyarat yang sangat menggembirakan dan menyentuh hati.

Aurelio De Laurentiis
Aurelio De Laurentiis.

Antara individu berpengaruh yang gemar menderma dengan cara ini ialah Pengerusi Bola Sepak Societa Sportiva Calcio (SSC) Napoli, Aurelio De Laurentiis.

Beliau dilaporkan sering membayar sebanyak 10 cawan Caffe Sospeso setiap kali meraikan kemenangan pasukannya.

Gerakan sosial menerusi Caffe Sospeso telah menarik perhatian dunia hingga ia menjadi contoh dan ikutan oleh banyak negara.

Di Bulgaria, lebih daripada 150 buah kafe telah menyertai amalan murni tersebut untuk memberikan secawan kopi kepada gelandangan.

Sajian ini turut dihidangkan di 26 buah restoran yang berdaftar di seluruh Ireland. Negara-negara seperti Rusia, Quebec dan Australia juga dilaporkan membudayakan nilai murni ini.

Walau bagaimanapun, ada juga pihak yang mempersoalkan idea ini. Adakah Caffe Sospeso benar-benar diberikan kepada mereka yang layak dan memerlukannya? Sekiranya tidak ramai gelandangan meminta atau memesan menu itu, apakah yang berlaku kepada menu dan wang tersebut?

Perkara inilah yang terus diragui oleh pihak-pihak tertentu hingga menyekat segelintir masyarakat dunia untuk tidak mengamalkannya.

Suspended Coffee [3]

Bagi pihak yang tidak mahu berpandangan pesimistik pula mengatakan, amalan tersebut tidak seharusnya dipertikaikan. Kejayaan dalam menikmati hidup selesa perlu dipulangkan balik kepada masyarakat dengan pelbagai cara. Salah satunya ialah dengan cara memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit.

Justeru, alangkah indahnya apabila pemilik kedai kopi di setiap bandar melakukan perkara ini.

Sekurang-kurangnya, dengan cara tersebut dapat membantu dan memberi sokongan kepada golongan kurang bernasib baik.

BACA INI JUGA: Makanan Yang Baik Untuk Dimakan Sebelum Tidur

-Sentiasapanas.com

4 comments

  1. Satu amalan yang murni tapi bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran kedai/restoren tersebut dalam melaksanakannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau kat Malaysia ada restoran yang buat kerja amal ni kan baik..hehe

      Delete
  2. Baiknya hati budi mereka. Perkara yg nampak kecil tapi besar sumbangan tu bila ramai yg gembira... amalan yg patut dicontohi kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malangnya semua nak kaya. Kalau nak sedekah pun cuma lebihan makanan yg tak habis.

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon