Wednesday, September 24, 2014

Penyakit Misteri Muntah 14 Jam Sehari


Penyakit misteri yang menyebabkan Megan Stone, 6, muntah-muntah hampir 14 jam sehari, sejak dua tahun lalu mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarganya.

Megan Stone with Brother
Megan Stone (kanan), penghidap penyakit misteri.

Kanak-kanak yang didiagnosis dengan sindrom kitaran muntah itu dikatakan mengalami muntah lebih daripada 30 kali sehari setiap kali penyakit itu menyerang.

Justeru, Megan hanya mampu berbaring dan terpaksa menahan kesakitan sehingga berhari-hari setiap kali diserang penyakit tersebut.

Ibunya, Rachel Stone, 35, berkata, sindrom misteri tersebut hanya dapat dikenal pasti ketika Megan berusia tiga tahun.

Pada waktu itu, Megan dikatakan sering mengalami pening, kekejangan perut dan peluh yang berlebihan.

"Bermula dari situ, dia sering muntah-muntah dengan teruk dan keadaan tersebut berlanjutan sehingga beberapa minggu," jelasnya.

"Walaupun telah menemui tiga orang pakar untuk merawat penyakit misteri dialami Megan, namun mereka masih keliru dan gagal mengenal pasti punca penyakit tersebut," jelasnya.

Doktor bagaimanapun mengaitkan sindrom misteri tersebut dengan beberapa jangkitan seperti virus, alahan terhadap makanan dan penyakit bulimia.

Bulimia merupakan gangguan emosi yang menyebabkan pesakit memuntahkan kembali makanan yang baru dimakan.

Ubat

Megan Stone Family

Bagi meredakan muntah, Megan pernah diberi ubat alahan, namun kanak-kanak malang tersebut memuntahkan semula ubat yang diberi.

Setelah lebih dua tahun berperang dengan penyakit misteri tersebut, Megan akhirnya disahkan menghidap sindrom kerap muntah (CVS) iaitu pesakit akan muntah dalam tempoh lama tanpa henti.

Ujar Rachel, penyakit misteri tersebut menyebabkan dia tidak sanggup melihat penderitaan yang dialami Megan.

"Saya lihat dia begitu letih dan kakinya akan menjadi lembik seperti jeli setiap kali diserang sindrom misteri tersebut.

"Disebabkan itu, kami terpaksa mendukungnya sewaktu ke tandas ataupun ketika mahu membawa berjumpa doktor," jelasnya.

Walaupun doktor tahu penyakit misteri yang dialami Megan, namun mereka masih tidak dapat memberi ubat-ubatan yang sesuai untuknya.

Bingung dengan situasi tersebut, Rachel mengurung anaknya di rumah dan mengehadkan aktiviti harian kerana bimbang salah satu daripada aktiviti yang dilakukan bakal menyebabkan dia diserang sindrom misteri itu.

"Namun, apabila melihat abangnya berlatih sukan karate di rumah, Megan berminat dan meminta keizinan saya untuk turut serta dalam aktiviti tersebut.

"Minggu pertama Megan menyertai aktiviti tersebut, saya dapat melihat ada sedikit perubahan dalam dirinya dan dia semakin aktif," jelasnya.

Karate

Megan Stone - Karate

Ujar Rachel, jika dahulu Megan mengalami serangan misteri tersebut empat kali dalam setiap dua minggu, namun selepas menyertai aktiviti tersebut dia jarang diserang sindrom tersebut dan tanpa bantuan sebarang bantuan ubat.

Bukan itu sahaja, Megan juga kini mampu berjalan kaki sewaktu pulang dari sekolah tanpa rasa sakit.

"Melihat keadaan tersebut, saya dapat merumuskan sindrom misteri ini berkemungkinan bersangkut paut dengan stamina Megan.

"Jadi, saya mula mencari beberapa aktiviti sukan lain selain karate supaya penyakit tersebut mampu sembuh sepenuhnya," jelas Rachel.

Disebabkan itu, karate kini menjadi sebahagian daripada aktiviti keluarga mereka sekeluarga.

"Megan sekarang semakin aktif dan lebih membanggakan apabila dia telah melepasi tiga peringkat tali pinggang dalam aktiviti karate," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Sindrom Kerap Muntah London, Dr. Robin Dover berkata, sindrom tersebut telah menjejaskan kira-kira dua peratus daripada kumpulan kanak-kanak sekolah.

Lebih mengejutkan, orang dewasa juga berpotensi menghidap penyakit misteri tersebut kerana CVS tidak tertakluk pada mana-mana peringkat umur.

"Ia adalah satu keadaan yang kurang difahami kerana penghidap pada kebiasaannya kelihatan sihat dan normal, namun pada masa yang sama mereka sering diserang loya-loya dan muntah.

"Lazimnya, individu akan diserang selang dua hingga empat hari sebelum serangan yang seterusnya bermula pada dua minggu akan datang," jelasnya.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Penyakit Paru-paru Berair?

Sumber: Kosmo.com.my

4 comments

  1. Kesiannya... Betapa sukarnya lah dia nak menjalani kehidupan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kesian. Kita yang sekali sekala muntah ataupun rasa nak muntah pun tak selesa.

      Delete
  2. kesian jugak... sha yang muntah 2-3 kali sebab masuk angin pun rasa sengsara.... hmm

    ReplyDelete
  3. Ada juga penyakit macam tu? Saya muntah lima kali pun dah boleh lembik.badan, macam mana kalau muntah banyak.kali macam tu.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon