Saturday, September 06, 2014

Benarkah Shakespeare Pengarang Yang Hebat?


William Shakespeare (meninggal pada tahun 1616) tidak dapat dinafikan adalah nama besar dalam kesusasteraan dunia. Sasterawan Inggeris itu telah menghasilkan banyak karya-karya besar, misalnya; Hamlet, Romeo and Juliet, The Merchant of Venice, The Taming of The Shrew dan banyak lagi.

William Shakespeare

Sebahagian besar karya-karya itu telah di'teater'kan atau di'drama'kan sehingga kini dan terus segar. Akan tetapi, ada golongan yang yakin bahawa Shakespeare bukanlah penulis karya-karya tersebut.

"Saya tidak yakin dan percaya bahawa Shakespeare adalah penulis karya-karya hebat itu", kata Sigmund Freud, pelopor aliran psikologi psikoanalisis yang hebat itu.

Bukan calang-calang juga kerana nama-nama besar lain seperti Charlie Chaplin, Mark Twain, Charles Dickens dan Malcolm X turut tidak percaya.

Tidaklah menghairankan kerana keraguan itu sudah bermula sejak awal abad ke-18 lagi. Pada tahun 1785, misalnya, seorang pendeta mengatakan bahawa Sir Francis Bacon (meninggal dunia pada tahun 1662), seorang ahli falsafah, adalah penulis asalnya.

Setelah itu, banyak nama lain diajukan menjadi alternatif. Akan tetapi, paling tidak sampai sekarang, alternatif terkuat adalah Edward De Vere (meninggal pada tahun 1604), seorang bangsawan dari Oxford bergelar Earl of Oxford.

Namun begitu, Shakespeare juga mempunyai penyokong setia. Debat benar atau tidak pun bersemarak antara penyokong atau kumpulan Oxford melawan kumpulan Stratford (tempat kelahiran Shakespeare).

Bukan hanya melalui buku-buku, seminar-seminar, debat itu juga berlangsung di Internet. majalah Time, misalnya, menulis tentang perbezaan pendapat ini pada 8 Mac 1999. Kemudian menyusul pula filem Shakespeare in Love yang kontroversi itu.

Kenapa Shakespeare diragui? Tidak ada satu pun yang kena atau sesuai antara Shakespeare dengan karya-karyanya itu, menurut kumpulan Oxford.

Karakter, latar belakang, pendidikan, keluarga, rakan-rakan dan lain tidak menunjukkan bahawa Shakespeare adalah penulis hebat itu.

Shakespeare, misalnya, tidak memiliki pengalaman luas yang diperlukan untuk bahan menulis. Dia hanyalah aktor picisan dan anak pembuat sarung tangan berasal dari Stratford, sebuah desa yang populasinya hanya 1,400 orang ketika itu.

Jika dia penulis besar, kata kumpulan Oxford lagi, pasti akan ada banyak dokumen lain yang menyokong, baik berupa surat dari dan kepadanya, pamflet dan bahan-bahan lain. Akan tetapi, malang sekali, dokumen itu tidak ada.

Yang ada hanyalah dokumen yang mengulas bahawa Shakespeare berlakon teater di London dan menulis puisi, tetapi bukan dengan karya-karya besar.

Lain halnya dengan Edward de Vere, bangsawan Oxford ini memiliki pengetahuan luas perihal kehidupan 'bangsawan' pada zaman itu selain pernah menetap di India, dua elemen penting yang banyak menjadi latar belakang karya-karya itu.

Apatah lagi, de Vere adalah seorang penyair, produser, aktor, serta lulusan Universiti Oxford. Malah lanjut kumpulan Oxford lagi, ada beberapa persamaan antara lakonan-lakonan itu dengan kisah hidup de Vere dan beberapa orang yang dekat dengannya.

Malahan, beberapa kalimat yang digariskan di dalam kitab injil milik de Vere juga muncul dalam beberapa lakonannya.

Ringkasnya, de Vere adalah penulis asalnya. De Vere menggunakan nama samaran iaitu Shakespeare, yang kebetulan sama dengan nama aktor sandiwara jalanan Stratford itu.

Alasannya, kata kumpulan Oxford, pada zaman itu tidak wajar seorang bangsawan mencantumkan namanya pada karya yang akan dipentaskan pada umum. Lagipun, de Vere bukanlah bangsawan sembarangan dan pernah rapat dengan Ratu Elizabeth I yang berkuasa.

Dan kenapa nama samarannya 'Shakespeare'?

Untuk persoalan ini pun ada alasannya; Ini kerana lambang Oxford adalah seekor singa yang sedang 'bergoyang' (to shake). Lambang ini sentiasa kelihatan pada pakaian Shakespeare.

Freud dengan yakin menyimpulkan: "Orang Stratford nampaknya sama sekali tidak memiliki bukti untuk menyokong Shakespeare, sedangkan orang Oxford itu memiliki segala-galanya".

Sudah tentu semua hujah ini disanggah oleh kumpulan Strafford. 'Shakespeare' yang asli menurut mereka adalah seorang yang genius. Banyak bukti-bukti untuk menyokong bahawa dia bukanlah aktor picisan dan penulis biasa. Shakespeare juga mendapat pendidikan yang memungkinkan dia mengenali sastera.

Sebahagian kisah hidup Shakespeare ada sangkut-pautnya dengan beberapa lakonan. Lagipun, jika de Vere penulisnya, kenapa beberapa lakonan hebat baru ditulis setelah dia meninggal pada tahun 1604, seperti King Lear (1605) dan Macbeth (1606).

Belum cukup dengan alasan itu, Alan Nelson dari kumpulan Stratford menelusuri beberapa sisi gelap kehidupan de Vere. Menurut Nelson, de Vere pernah didakwa mempunyai hubungan intim dengan beberapa lelaki muda.

Ayah dan anak lelaki de Vere juga diketahui mengamalkan hubungan songsang. Tambahan lagi, de Vere pernah membunuh seseorang yang tidak bersenjata tetapi dibebaskan kerana pengaruh seorang bangsawan. Pokoknya, de Vere adalah bangsawan yang tidak boleh dipercayai.

"Earl of Oxford ini mungkin orang yang paling ego di tanah England pada ketika itu", kata Nelson lagi.

"Tidak mungkin orang berkarekter seperti itu menulis karya hebat dan merahsiakannya. Ramai golongan bangsawan pada zaman itu juga menulis dan menerbit tanpa menggunakan nama samaran", tambah Nelson lagi dengan penuh yakin.

Entahlah mana satu sebenarnya yang benar. Sejarah yang benar, kata orang bijak pandai, seperti harta karun. Selalunya menjadi rebutan dan sentiasa mempunyai agenda tertentu di belakangnya.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon