Friday, September 05, 2014

10 Panduan Membentuk Anak Soleh Dan Solehah


Rasulullah s.a.w dalam sebuah riwayat pernah berkata, ”Sesungguhnya, setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan suci (fitrah, Islam). Namun, kerana kedua orang ibu bapa itulah, anak itu akan menjadi seorang yang beragama Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”

Membentuk Anak Soleh

Penjelasan ini menegaskan bahawa sesungguhnya setiap anak yang dilahirkan itu laksana sebuah kertas putih yang polos dan bersih. Ia tidak mempunyai dosa dan kesalahan serta keburukan yang boleh membuatkan kertas itu menjadi hitam.

Walau bagaimanapun, yang putih itu boleh menjadi kotor andai ibu bapa salah dalam mendidik anak. Berperangai buruk, tidak taat kepada kedua ibu bapa, dan ingkar terhadap suruhan Allah SWT.

Untuk mengetahui apakah tip-tip mendidik anak menurut kaca mata Islam, beberapa saranan berikut boleh dijadikan panduan.

1. Memilih calon isteri yang baik, seperti mana hadis rasulullah s.a.w yang bermaksud, “ Lihatlah agama calon isteri supaya engkau tidak celaka” [Muttafaqun alaihi]

2. Suami dan isteri hendaklah sentiasa berdoa dan merendahkan diri kepada Allah SWT agar berkenan diberikan rezeki anak yang soleh.

3. Salah satu hak anak yang wajib ditunaikan oleh seorang ayah adalah memberikan mereka nama yang baik. Nama yang paling dicintai oleh Allah adalah: Abdullah, Abdurrahman. Dan nama yang paling benar adalah, Hammam dan Harits.

4. Ibu bapa adalah guru dan contoh yang terbaik bagi anak. Maka, adalah wajar bagi setiap ibu bapa itu menunjukkan akhlak yang bersih, serta jauh daripada hal-hal yang boleh merubah fitrah. Kerana sesungguhnya perbuatan yang merubah fitrah itu akan memberikan pengaruh terhadap kejiwaan anak. Fitrah seorang anak adalah beriman kepada Allah, dan membenci kekafiran, kedustaan dan penipuan. Dalam hatinya tersembunyi cahaya fitrah yang sentiasa menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.

5. Setiap anak itu wajib dididik dan dibesarkan dalam persekitaran islamik. Serta jauhkan mereka daripada perbuatan-perbuatan syirik, sesat, bidaah, maksiat, dan hawa nafsu.

6. Perintahkan anak-anak bersolat andai mereka sudah berumur 7 tahun, dan pukullah mereka sekiranya tidak mengerjakan solat pada saat mereka berumur 10 tahun.

7. Pisahkan tempat tidur anak-anak anda, jangan satukan mereka andai anak anda itu lelaki dan perempuan.

8. Biasakan anak-anak bersikap jujur, menepati janji dan berakhlak mulia.

9. Cegah dan larang anak-anak menonton rancangan televisyen yang terkandung perkara-perkara yang haram dan campur baur lelaki dan perempuan. Serta hindari mereka melihat drama-drama atau filem yang mengisahkan tentang pembunuhan, kejahatan, pencurian dan pengkhianatan.

10. Bersikap adil dalam mendidik anak-anak untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Janganlah melampaui batas dan jangan pula terlalu lemah, janganlah berlebih-lebihan dalam memukul anak dan jangan pula membiarkan mereka tanpa teguran.

BACA INI JUGA: Doa Supaya Anak Menjadi Soleh

Sumber: Majalah-i.karangkraf.com

6 comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon