Saturday, August 09, 2014

Misteri Sumpahan Pulau Gaiola


Terletak di Teluk Naples, Itali, Pulau Gaiola merupakan salah satu kawasan yang dilindungi di kawasan Taman Bawah Laut Gaiola. Persekitarannya yang cantik dan terletak hanya 30 meter dari kaki pantai menjadikan ia salah satu pulau tumpuan pengunjung sewaktu musim panas.

Misteri Pulau Gaiola

Pulau Gaiola merupakan sebuah pulau kecil dan terletak bersebelahan pulau lain, iaitu Pulau Euplea. Kedua-dua pulau ini disambungkan dengan sebuah jambatan kecil.

Namun, sebuah vila misteri yang tidak berpenghuni yang terdapat di Pulau Gaiola lebih popular telah diperkatakan sejak dahulu lagi. Kononnya, sesiapa yang membeli vila itu akan ditimpa nasib malang.

Ramai yang mengaitkan vila tersebut dengan sumpahan yang kononnya masih menghantui kawasan kepulauan Gaiola sehingga ke hari ini.

Sejarah mengatakan Pulau Gaiola pertama kali didiami oleh seorang petapa yang juga dianggap sebagai ahli sihir oleh penduduk tempatan pada kurun ke 19.

Mengikut cerita, siri sumpahan bermula sekitar tahun 1920an. Waktu itu, Pulau Gaiola dimiliki oleh seorang lelaki Swiss bernama Hans Braun. Dia ditemui mati dibunuh dalam keadaan mayat dibalut dengan permaidani.

Tidak lama selepas kejadian tersebut, isterinya pula ditemui mati lemas di dalam laut tidak jauh dari pulau tersebut. Punca kematian tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.

Pemilik vila seterusnya ialah seorang lelaki Jerman, juga meninggal dunia akibat serangan jantung sewaktu berada di dalam vila tersebut.

Nasib serupa melanda pemilik vila yang baru, Maurice-Yves Sandoz. Dia yang merupakan pengusaha bidang farmasi akhirnya membunuh diri di sebuah hospital mental di Switzerland.

Masih belum puas 'memburu' mangsa baru, pemilik seterusnya ialah seorang pengusaha kilang besi, Barol Karl Paul Langheim. Beliau dihantui oleh masalah ekonomi selepas membeli vila di Pulau Gaiola. Dia akhirnya jatuh miskin dan vila itu beralih tangan kepada Gianny Agnelli.

Namun, nasib malang mula menimpa Gianny apabila ahli keluarganya meninggal dunia seorang demi seorang.

Kemudian, vila Pulau Gaiola bertukar milik kepada seorang jutawan bernama Paul Getty. Dia turut mengalami kejadian malang selepas memiliki pulau tersebut apabila cucunya diculik.

Pemilik terakhir yang sempat direkodkan ialah Gianpasquale Grappone yang turut tidak terlepas daripada tempias sumpahan. Dia telah dipenjarakan kerana syarikat insurannya jatuh muflis.

Sehingga ke hari ini, tiada sesiapa lagi yang berani dan berminat untuk memiliki vila di pulau berhantu itu walaupun keadaan geografinya yang cantik dan menarik. Pulau Gaiola dan vila di dalamnya akhirnya kini dibiarkan sepi tanpa penghuni.

Pada tahun 2009, sekali lagi pulau ini menjadi bualan orang ramai apabila Franco Ambrosio dan isterinya Giovanna Sacco, pemilik sebuah vila yang berhadapan dengan pulau berhantu itu mati dibunuh dengan misteri.

Walaupun terkenal dengan pelbagai jolokan cerita sebagai kawasan yang disumpah, pulau ini masih menerima kunjungan pelancong daripada seluruh dunia saban hari.

Jangan risau, sumpahan tidak menimpa para pelancong yang datang menjejakkan kaki ke pulau itu.

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Berlian 'The Heart of The Ocean' Yang Berpuaka

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. Susah nak faham perkara2 misteri ni. Antara percaya, realiti dan fantasi. Apa apa pun jangan beli villa tu.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon