Monday, August 18, 2014

Malaysia Tidak Akan Menjadi Negara Maju Pada Tahun 2020


Bilakah Wawasan 2020 boleh dicapai? Tanya pada pencetus wawasan ini, Tun Dr Mahathir Mohamad - berkemungkinan besar ia tidak akan capai status negara maju menjelang tahun 2020.

Wawasan 2020

Apakah yang dimaksudkan dengan Wawasan 2020? Tanya pada pelajar sekolah, anda akan lihat sebuah lukisan di mana ada kereta terbang dan bangunan pencakar langit dan kereta api berkelajuan tinggi.

Tanya pada PEMANDU, jawapan yang diperolehi adalah pendapatan per kapita RM45,000 setahun, RM1.5 trilion pendapatan kasar negara dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Tanya pada Menteri PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala, Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi seawal 2018.

Apakah yang menyebabkan perbezaan ini? Jawapannya adalah yang pertama berkisar mengenai kemajuan dari segi sains dan teknologi manakala yang kedua menumpu soal pendapatan tinggi semata-mata. Dalam bahasa mudah, ia adalah pertembungan di antara negara maju dan negara berpendapatan tinggi.

Untuk memahami perkara ini, sila lihat contoh berikut:

Qatar mempunyai pendapatan per kapita paling tinggi di dunia dengan purata setiap rakyatnya memperolehi RM330,000 setahun. Manakala Brunei adalah negara kelima tertinggi pendapatan per kapitanya dengan RM160,000 setahun. Kedua-dua negara ini lebih kaya berbanding Jerman, Amerika Syarikat, Jepun dan Norway.

Adakah bermakna kedua-dua negara ini adalah negara maju dan lebih maju daripada negara-negara tersebut?

Tidak dinafikan negara yang maju adalah negara yang rakyatnya berpendapatan tinggi. Tetapi negara yang berpendapatan tinggi tidak semestinya merupakan negara yang maju.

Adakah Malaysia sedang menuju ke arah negara maju atau sedang menjadi negara berpendapatan tinggi?

Sebagai permulaan, kerajaan Malaysia begitu jelas bahawa ekonomi Malaysia sedang terperangkap di dalam ekonomi berpendapatan sederhana tinggi atau lebih popular disebut sebagai ‘middle income trap’. Untuk mengatasi sindrom ini, kerajaan telah membelanjakan RM7.2 bilion bagi mendapatkan khidmat para konsultan.

Segala macam program dengan pelbagai akronim seperti ETP, GTP, MKRA, NKRA, NKEA diwujudkan. Kita diberitahu semenjak 2009, pendapatan per kapita telah meningkat sebanyak 42%. Secara puratanya, rakyat Malaysia telah menjadi RM3,000 lebih kaya dalam empat tahun kebelakangan ini. Sebanyak 196 projek di bawah NKEA akan menyumbang sebanyak RM144 bilion kepada negara menjelang 2020.

Noktah sebentar.

Adakah ini bermakna Malaysia sebuah negara yang kaya dan berpendapatan tinggi?

Jawapannya Ya.

Adakah ini bermakna ekonomi Malaysia mula menjadi sebuah ekonomi berasaskan teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi?

Tidak semestinya.

Adakah ini bermakna Malaysia sedang menjadi sebuah negara maju?

Tidak.

Hakikatnya ekonomi Malaysia masih lagi ‘ketagih’ terhadap tenaga buruh yang murah terutama tenaga buruh asing. Sebuah syarikat tekstil terbesar di Malaysia mempunyai ratusan pekerja asing untuk memotong, menjahit dan membungkus kain yang seterusnya dijual pada harga yang murah di kedai-kedai di seluruh negara. Amalan ini turut diguna pakai oleh ribuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Malaysia.

Malaysia juga masih terlalu bergantung untuk merangsang ekonomi dengan projek-projek hartanah dan infrastruktur. Berapa banyak projek raksasa ‘city centre’ yang dilancarkan hanya di Kuala Lumpur sejak kebelakangan ini?

Setiap pembangunan pelbagai guna (mix-development) sahaja mempunyai ribuan unit kediaman, ruang pejabat dan ratusan ribu kaki persegi pusat membeli-belah. Ini tidak dicampur lagi dengan kepesatan pembangunan hartanah di Johor Baharu.

Memang benar, projek-projek ini mewujudkan peluang pekerjaan, memberikan kontrak kepada pembekal bahan, kontraktor dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan kerajaan. Tetapi apakah teknologi tinggi yang diperolehi daripada kesemua projek ini? Paling penting, apakah kesan berganda (multiplier effect) selepas projek-projek hartanah dan infrastruktur ini siap?

Kesemua projek ini sememangnya menjadikan syarikat-syarikat Malaysia (khususnya pemaju hartanah dan bank) lebih kaya. Fakta bahawa 10 orang terkaya di Malaysia adalah 12% lebih kaya berbanding dengan 10 orang terkaya di Singapura menunjukkan bahawa tidak susah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Kita wujudkan dua tiga orang ‘bilionaire’ dan kekayaan mereka dicampur bersama dan dibahagikan dengan kesemua rakyat Malaysia - hasilnya sudah pastilah pendapatan per kapita negara meningkat.

Ini sebenarnya menjelaskan mengapa negara-negara dolar petrol seperti Qatar, Brunei, Kuwait dan Bahrain dikatakan sebagai negara yang berpendapatan tinggi. Ia hanya kerana hasil minyak. Dari segi teknologi dan struktur ekonomi? Mereka tidak maju.

Kurang dari lima tahun, kita akan sampai ke tahun 2020, tahun yang sepatutnya kita mencapai Wawasan 2020.

Kita boleh menjadi negara kaya dan berpendapatan tinggi dengan cepat. Syarikat-syarikat akan menjadi lebih kaya. Kerajaan juga pastilah menjadi kaya hasil daripada cukai yang dikutip. Lagi tiga tahun, pendapatan per kapita negara akan menjadi RM45,000 setahun.

Tetapi adakah ini yang kita impikan sewaktu melukis lukisan Wawasan 2020 di bangku sekolah? Tanpa mempunyai ekonomi yang berasaskan teknologi tinggi dan pengetahuan, kita tidak boleh mendakwa bahawa kita sudah maju. Hakikatnya tidak ada satu pun produk buatan Malaysia yang benar-benar berkelas dunia.

Kita pernah dan sedang cuba dengan Proton. Malangnya ramai yang tidak melihat projek kereta nasional ini sebagai usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Kita tidak ada sebuah syarikat global di mana produknya diperlukan oleh satu per lima daripada populasi dunia seperti Samsung.

Kita juga tidak ada sebuah syarikat IT yang pendapatannya 10 kali ganda berbanding dengan syarikat terbesar negara kita, Petronas.

Kita masih jauh dalam menghasilkan filem yang ditonton oleh 300 juta manusia seperti Transformers. Walaupun mempunyai kemahiran bertukang dan sumber asli, kita gagal mewujudkan syarikat perabot yang bertapak di 43 buah negara seperti IKEA.

Hakikatnya, perjalanan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju, masih jauh, lebih jauh daripada tahun 2020.

Malaysia berada di persimpangan. Adakah kita ingin menjadi sebuah negara yang kaya tetapi tidak maju atau negara yang maju tetapi mengambil masa yang lama, perubahan yang menyakitkan dan usaha yang berterusan?

Tanya pada diri.

[Sumber]

6 comments

  1. Assalammualaikum...sentiasapanas,

    susah nak cakap.. adakah Malaysia akan maju menjelang tahun 2020..

    mselim3

    ReplyDelete
  2. tinggal angan2...mungkin akan tercapai jua nnt

    ReplyDelete
  3. Waalaikumsalam. Tak mungkin akan tercapai..:(

    ReplyDelete
  4. Malaysia sebenarnya mampu menjadi negara maju sebelum 2020.
    Tapi usaha itu telah dihalang oleh World Bank dgn 2 siri krisis ekonomi pada 1997-1998 yang menyebabkan kita kehilangan 6 TAHUN, satu lagi 2008-2009 sehingga kita kehilangan 2 TAHUN.

    ReplyDelete
  5. Macam tak yakin... Maju nya sebuah negara bukan hanya pada perkapita tu, tapi segala segi. Lagi pun skg masih ada yg pendapatan rendah, terutama pkerja swasta..

    ReplyDelete
  6. Kalau hendak menjadi negara maju,tidaklah boleh lupa kemajuan kerohanian. Perubahan takdir dan nasib sangat berkaitan dengan kualiti akal, hati, keimanan kepada Allah, ketakwaan dan ketaatan yang menyeluruh mengikut ISLAM. Berdoa tanpa berusaha atau berusaha tanpa berdoa bukan bermakna telah bertawakal. Konsep dan sistem pentadbiran negara, budaya awam, kakitangan awam, swasta, persendirian haruslah selari dan sesuai dengan kehendak Islam dan tidak wujud bidaah. Misalnya, konsep cukai tiada dalam Islam. Ia haram. Jika negara menjadi kaya dan maju hanya kerana cukai tinggi dan pendapatan negara yang tinggi dan rakyat dibayar gaji melalui sumber yang bercampur halal dan haram, maka kekayaan dan kebahagiaan seperti itu tidaklah benar, ia seperti di alam fantasi dan dongeng kerana semua itu istidraj.Saya mempunyai idea pantas bagaimana menjutawankan umat Islam di MALAYSIA ini dalam tempoh lebih setahun atau dalam beberapa tahun sahaja sehingga kelihatan hampir kesemua bangsa melayu di MALAYSIA ini menjadi jutawan. Bila program menqatar-dubaikan melayu Malaysia ini berjaya dan mencapai tujuannya, maka kuasa beli rakyat tinggi dan ini sudah tentu menolong mengayakan syarikat kerajaan, syarikat swasta dan persendirian, membantu memajukan penyelidikan dan usaha ciptareka teknologi buatan tempatan. Walaubagaimanapun, kerajaan perlu belajar dengan HIZBUT TAHRIR tentang sumber-sumber apakah yang dihalalkan oleh ISLAM atau cara-cara apakah yang dibenarkan ISLAM agar menjadi sumber pendapatan negara.Harus juga sedar bahawa sistem politik berparlimen, raja, agung, demokrasi, sistem perbankan yang didakwa ISLAM sekarang, cukai[termasuk dalam kategori ini seperti lesen dan sebagainya] adalah bidaah dan sebenarnya tidak islamik atau bercampur dengan bidaah atau kesesatan.Semua ini haruslah dihapuskan dengan menggantikan dengan sistem politik ISLAM sebenar yang diwajibkan iaitu sistem IMAMAH/KHALIFAH, sistem ekonomi dan perniagaan ISLAM yang benar, budaya islamik sebenar. Orang makan babi dan yang tak ISLAM jangan bimbang kerana jika sistem ISLAMIK berdaulat seratus-peratus, mereka tidak akan dikenakan hukuman berdasarkan ISLAM jika tidak mahu dihukum secara ISLAM. Mereka diberi opsyen. Misalnya, seorang kafir yang dibuktikan bersalah di mahkamah, boleh memilih, sama ada dihukum berdasarkan syariat Islam atau mengikut sistem lain. MALAYSIA MAMPU MENJADI NEGARA "QATAR MELAYU" dan negara maju dalam tempoh yang singkat jika mengikut syarat dan kaedah, ada kejujuran, bijaksana, islamik, bertakwa,..... SEKIAN PENDAPAT SAYA. JIKA ADA PENDAPAT SAYA YANG SALAH, HARAP MAAFKAN SAYA.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon