Saturday, August 23, 2014

Kereta Api Berhantu Untuk Budak Nakal


Ramai ibu bapa bingung memikirkan cara terbaik untuk mendidik anak yang nakal. Di Jepun, terdapat satu kaedah pelik yang sering dipraktikkan dalam mengajar anak-anak seperti itu.

The Yokai Train

Caranya, ibu bapa di sana akan menemukan anak mereka dengan hantu olok-olok untuk menakut-nakutkan sehinggalah mereka berputus-asa, tidak menjadi budak manja dan nakal lagi.

Cara didikan sedemikian telah menjadi salah satu amalan dalam masyarakat Jepun, terutamanya penduduk di Kyoto.

Ia dinamakan sebagai The Yokai Train atau Kereta Api Yokai. Dalam masyarakat Jepun, 'Yokai' bermaksud hantu. Yokai pula terdiri daripada pelbagai jenis antaranya, oni, kappa dan tengu.

Lebih kurang sama dalam masyarakat di Malaysia di mana hantu dikenali dengan pelbagai nama seperti toyol, hantu raya, langsuir dan bermacam-macam lagi.

Kereta Api Yokai atau perayaan hantu ini biasanya diraikan apabila tiba musim panas. Pada hari-hari tertentu sepanjang musim panas, pengunjung berpeluang menaiki sebuah perkhidmatan kereta api hantu yang disediakan pada waktu malam.

Kereta api biasanya akan dihias dan dicat bermotifkan gambar-gambar hantu Jepun di bahagian luar bagi mewujudkan suasana seram. Manakala di bahagian dalam pula, keadaan dibiarkan kelam dengan berlatarkan lampu biru dan tangan palsu manusia tergantung di syiling kereta api.

Untuk menambahkan rasa takut, alunan bunyi-bunyi menyeramkan diperdengarkan melalui pembesar suara.

The Yokai Train [2]

Selepas gerabak bergerak dan tiba di stesen hantu, pintu kereta api akan terbuka dan segerombolan hantu olok-olok perlahan-lahan masuk ke dalam. Ada yang berpakaian kimono putih, memakai topeng mengerikan, kain terkoyak dan mahkota putih tiga segi - menandakan mereka telah mati.

Budaya ini telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat bernama, Keifuku Electric Railrod pada tahun 2007. Semenjak itu, ia menjadi tradisi tahunan yang sangat popular dan begitu ditunggu-tunggu oleh penduduk Jepun, terutamanya para ibu bapa yang mempunyai anak yang terlalu manja dan nakal.

Bagi si anak pula, perayaan ini bukanlah satu perkara menggembirakan sebaliknya suatu yang menakut dan merungsingkan mereka. Mana tidak, hantu-hantu tersebut akan berjalan dan merayau-rayau untuk mencari kanak-kanak kecil sahaja.

Perlakuan menakutkan itu sudah tentu mengundang rasa cuak menyebabkan anak-anak itu menangis dan menjerit sekuat hati. Tangisan itu sudah cukup menjelaskan kepada orang tua mereka bahawa semahunya ingin lari daripada gangguan hantu-hantu itu.

Situasi tersebut memang nampak agak kejam. Namun, cara ini dikatakan mampu mengubah perangai budak yang tidak mendengar kata menjadi baik sedikit daripada sebelumnya.

Mungkin kerana berasa serik untuk terus diganggu oleh hantu-hantu itu menyebabkan si kecil nekad mengubah kenakalan mereka.

Dengan harapan, apabila perangai sudah berubah, mereka tidak diganggu lagi pada musim panas akan datang.

The Yokai Train [3]

Selain untuk menakut-nakutkan budak nakal, budaya ini juga menjadi amalan supaya anak-anak dapat menyejukkan badan pada waktu malam sepanjang musim panas.

Sebab itulah kenapa ramai ibu bapa mengajak anak mereka menaiki Kereta Api Hantu pada waktu malam dan menikmati sensasi seram supaya anak boleh berasa sejuk pada waktu malam pada musim panas.

BACA INI JUGA: Kanak-kanak Kurang Vitamin D Rendah IQ

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon