Tuesday, July 22, 2014

Kasih Tak Terbanding Anak Pada Ibu Angkat


Info Motivasi. Setiap tahun, China akan memilih 10 orang warganya yang telah memberi inspirasi kepada negara. Dan salah seorang penerima penghormatan itu ialah seorang gadis muda bernama Meng Peijie dari Shanxi, utara China.

Meng Peijie

Mari kita baca kisahnya. Sejak kecil, Peijie telah ditinggalkan oleh kedua-dua ibu bapanya. Ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 1996.

Selepas tragedi itu, ibunya hilang tempat untuk bergantung lantas memutuskan untuk menyerahkan Peijie kepada seorang ibu angkat bernama Liu Fanyang, seorang pekerja sosial ketika itu.

Ketika menerima anak itu, Fanyang juga sebenarnya mengalami masalah kewangan sebagaimana dihadapi ibu kandung Peijie. Namun, kekangan itu bukanlah penghalang untuk tidak menerima orang baru dalam hidup.

Selepas tiga tahun menjaga anak itu dengan penuh kasih sayang, Fanyang jatuh sakit dan disahkan lumpuh. Semenjak itu, si ibu tidak lagi mampu bergerak apatah lagi mengurus diri sendiri.

Tambah perit, bapa angkat Peijie tidak pernah kembali ke pangkuan mereka selepas keluar meninggalkan rumah.

Meng Peijie [2]

Bermula dari hari itu, kehidupan dua beranak ini berubah secara drastik. Tiada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk membantu mengurus kehidupan mereka. Si ibu hanya terlantar tanpa mampu berbuat apa-apa.

Bagaimana si ibu ini mampu menjaga Peijie? Macam mana pula nanti dengan makanan dan pakaian anaknya? Siapa pula yang akan membantu menjaga mereka dalam keadaan si ibu tidak mampu bergerak?

Puas difikirkan, akhirnya Fanyang putus asa dan cuba membunuh diri. Akan tetapi, Peijie dapat menyelamatkan ibu angkatnya selepas menemui ubat penenang dan ubat tahan sakit yang sengaja disembunyikan di bawah bantal.

Si kecil ini seperti tahu bahaya pil-pil itu yang boleh menamatkan nyawa orang tersayang jika diambil secara berlebihan.

Meng Peijie [3]

Menurut Fanyang, anak angkatnya menangis teresak-esak sebaik sahaja menemui pil tersebut. Sejak hari itu, anak kecil itu nekad mahu menjaga dan merawat ibu angkatnya.

Malangnya, anak kecil itu hanya berusia lapan tahun pada hari kejadian. Apalah yang boleh dilakukan oleh gadis sekecil itu? Namun, siapa sangka dalam usia setahun jaguang, anak ini tidak kekok melakukan kerja-kerja orang dewasa - mengemas, membasuh dan memasak!

Menurut Fanyang lagi, Peijie terpaksa berdiri di atas bangku untuk mencapai periuk dan barang keperluan dapur. Tidak terkira sudah berapa kali dia terjatuh dari kerusi semasa melakukan kerja-kerja di dapur.

Pada mulanya anak kecil ini tidak tahu melakukannya tapi sangat menakjubkan, dia begitu cepat belajar, termasuklah memandikan ibunya, memasak, menyuap hinggalah memapah ibu tercinta ke tempat tidur.

Meng Peijie [4]

Peijie berkata, dia sanggup berpenat dan berlapar sehinggalah ibunya boleh makan dengan betul. Dia juga yakin, ibunya akan melakukan perkara yang sama jika berada di tempatnya.

Paling mengagumkan, sesibuk manapun, gadis ini tetap tekun belajar dan pergi ke sekolah. Berkat usaha, Peijie akhirnya berjaya masuk ke Shanxi Normal University (SNNU) pada tahun 2009.

Disebabkan jauh dari tempat tinggal, gadis ini menyewa sebuah rumah berhampiran kampus dan membawa ibunya yang lumpuh untuk tinggal bersama.

Pernah satu hari, si ibu dengan perasaan bersalah bertanya kepada Peijie, "Adakah kamu terbeban dan menyesal hidup dengan ibu?" Peijie menjawab, "Tidak. Selagi ibu sayangkan saya, saya akan terus berada di sisi ibu."

Meng Peijie [5]

Jawapan anak itu benar-benar meruntun hati ibunya dan bersyukur kerana telah diberikan anak perempuan sebaik Peijie walaupun bukan dari rahimnya sendiri.

Bagi Fanyang, anak angkatnya merupakan anak yang sangat luar biasa, cantik dan baik hati. Peijie, yang sudah meningkat remaja dan berusia 23 tahun sudah berbakti selama 15 tahun menjaga ibu angkatnya. Begitupun, dia tidak pernah jemu memanjakan ibunya.

Dia masih melatih si ibu untuk bergerak, memberus giginya dan melakukan refleksologi atau urutan kaki.

Kisah hidup anak ini akhirnya sampai ke pengetahuan pihak berwajib. Pada tahun 2010, sebuah hospital tempatan telah menawarkan rawatan ke rumah secara percuma kepada ibunya. Setengah tahun kemudian, ibu Peijie sudah boleh bangun dari tempat tidurnya dan duduk sendiri di kerusi rodanya.

Meng Peijie [6]

Sejak itu, Peijie semakin bersemangat membantu si ibu melakukan pelbagai senaman dengan harapan ibunya dapat berdiri satu hari nanti.

Jadi, adakah anda dan kita semua, seandainya terjadi perkara malang begini akan kuat, tabah dan sanggup melakukan perkara yang sama?

Semoga kita sama-sama mendapat inspirasi daripada sikap yang luar biasa anak ini.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon