Tuesday, June 17, 2014

Penculikan Terbaru Di Kunak Sabah!


"Jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu," kata Chan Sai Chiun, 32, sebelum dia dipercayai dilarikan dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang Air yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini tengah malam Ahad.

Kunak

Chin Paek Nyuen, 40, terdengar suaminya berkata demikian selepas penjenayah terbabit cuba memecah pintu bilik di mana dia dan anak perempuannya yang berusia dua tahun tidur.

BACA: INFO TERKINI PENCULIKAN ABU SAYYAF DI SABAH

"Saya hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar anjing menyalak. Apabila saya keluar untuk melihat apa terjadi, saya ternampak dua lelaki bersenjata serta memakai topeng telah menahan suami.

"Terkejut dengan kejadian itu, saya terus masuk ke bilik dan beberapa minit kemudian, penculik itu datang dan cuba untuk memecahkan pintu bilik. Pada masa yang sama, suami saya berkata 'jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu' membuatkan penculik itu terus beredar meninggalkan tempat ini," katanya ketika ditemui di pusat ternakan ikan dalam sangkar itu, pada Isnin.

Dia berkata selain menculik suaminya dan seorang pekerja di situ, penjenayah terbabit turut melarikan beberapa barangan termasuk sebuah televisyen dan enjin bot.

Chin juga berkata suaminya mengusahakan pusat ternakan itu bersama dua lagi rakan kongsi.

Dalam kejadian pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, Chan dan seorang pekerja yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar 20-an diculik oleh dua lelaki bersenjata di pusat ternakan ikan dalam sangkar Kampung Air Sapang, Kunak.

Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini. Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Omar Mamah menafikan tanggapan bahawa pengusaha ternakan ikan dalam sangkar menjadi sasaran 'penculikan' untuk tebusan.

Beliau berkata polis masih menyiasat sama ada kumpulan itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

"Setakat ini, belum ada sebarang tuntutan diterima dan polis akan menyiasat jika ada faktor orang dalam... jangan buat sebarang spekulasi buat masa ini," katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Isnin.

Omar berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh rakan kongsi mangsa.

Beliau berkata semasa kejadian, terdapat lagi dua pekerja dan seorang anak saudara Chan berusia dua tahun yang tinggal bersama mangsa serta isteri.

Katanya, polis percaya penculik berjaya meloloskan diri ke Pulau Sitangkai (Filipina) yang mengambil masa 40 minit dan ada suspek lain terlibat.

Beliau berkata semasa kejadian, tiada tembakan dilepaskan di pusat ternakan yang tidak mempunyai pegawal keselamatan terlatih itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman pula menggesa agensi penguatkuasaan Malaysia mempertingkatkan risikan sebagai usaha meminimumkan peluang jenayah rentas sempadan di Sabah, terutama di bahagian timur negeri ini.

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana semua pihak bersetuju bahawa kaedah konvensional sahaja mungkin tidak cukup bagi menangani jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah meskipun sembilan langkah sudah digaris sebelum ini dan sedang dilaksanakan.

"Kami ingin menegaskan bahawa usaha sedang ditumpu bagi mengelak insiden ini daripada berulang. Saya berhubung dengan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

"Kami meminta kajian dilakukan ke atas operasi Tentera Laut, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin bagi mengulas insiden penculikan itu.

Beliau berkata kerajaan negeri kesal dengan penculikan itu dan menggesa pihak polis, tentera dan pengawal pantai dalam keadaan berjaga-jaga berikutan insiden berkenaan.

Musa turut mengingatkan orang ramai agar memainkan peranan mereka dengan melaporkan sebarang aktiviti yang dianggap ancaman kepada keselamatan negara. -BERNAMA

BACA INI JUGA: 10 Lokasi Rekreasi Paling Berbahaya Di Dunia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon