Friday, June 27, 2014

Kesalahan Yang Di Lakukan Umat Islam Di Bulan Ramadan


Info Agama. Beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan suci Ramadan. Salah satu kesalahan yang biasa dilakukan sebahagian umat Islam pada bulan Ramadan ialah kembali tidur selepas bersahur.

Bersahur

Mungkin kerana terlalu penat dan mengantuk akibat aktiviti pada malam hari.

Apapun alasannya, kebiasaan ini sangat merugikan. Tidur kembali selepas sahur akan membuat kita terlepas pahala yang sangat banyak. Salah satunya ialah menghadiri solat Subuh berjemaah di masjid ataupun di surau.

Suatu hari Umar bin al-Khattab tidak melihat Sulaiman bin Abi Hathmah dalam barisan solat Subuh. Pagi harinya, apabila Umar pergi ke pasar, beliau berjumpa dengan ibu Sulaiman yang bernama Syifa.

Umar bertanya kepadanya: “"Mengapa aku tidak melihat Sulaiman pada solat Subuh hari ini?"

Syifa menjawab: “"Ia melakukan solat tahajud sepanjang malam. Jadi, apabila hampir masuk waktu Subuh, beliau tertidur."

Umar berkata: "“Menghadiri solat Subuh berjemaah lebih aku sukai berbanding melakukan solat sunat sepanjang malam." (Muwatta)

Kisah ini memperlihatkan keprihatinan Khalifah Umar kepada rakyatnya. Beliau bukan hanya memperhatikan kebajikan makan dan minum mereka, bahkan turut menginginkan kebaikan dalam perkara akhirat mereka.

Tidak luput daripada perhatian beliau ialah para pemuda dan belia. Sulaiman bin Abi Hathmah seorang belia di Madinah pada masa itu.

cute-baby-sleep

Apabila beliau tidak hadir dalam solat berjemaah, Umar berkeinginan untuk mengambil tahu perkara yang berkaitan dengannya.

Ucapan Khalifah Umar menggambarkan kepentingan solat Subuh berjemaah. Solat ini memang sangat besar nilainya di sisi Allah SWT.

Pada masa itu, malaikat malam dan malaikat siang yang bertugas mencatat amalan manusia akan berkumpul untuk menyaksikan pelaksanaan solat ini.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya solat fajar disaksikan (oleh para malaikat)". (al-Isra’: 78)

Aktiviti ibadah yang kita lakukan pada malam hari tidak dapat menjadi alasan untuk meninggalkan Subuh berjemaah. Apalagi aktiviti bukan ibadah seperti menonton televisyen dan permainan.

Pahala solat Subuh berjemaah lebih besar berbanding melakukan ibadah sepanjang malam.

Rasulullah bersabda: "Siapa yang melakukan solat Subuh berjemaah, maka ia seolah-olah melakukan solat sepanjang malam". (Muslim)

Justeru, mari teguhkan tekad untuk menghadiri solat Subuh berjemaah dari sekarang.

Semoga perkara ini telah menjadi kebiasaan kita apabila masuk bulan suci Ramadan nanti. Wallahu a’lam.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon