Thursday, June 12, 2014

10 Pasukan Terbaik Piala Dunia FIFA 2014


Untuk mengimbas secara ringkas, kita cuba untuk menyenaraikan 10 pasukan yang dianggap terbaik pada kejohanan kali ini.

10. Perancis

Perancis

Pada kejohanan kali ini, Perancis tidak diberikan harapan yang tinggi untuk menang tidak sebagaimana 4 tahun lalu apabila mereka disangka akan berjaya tetapi akhirnya tersungkur di peringkat awal lagi. Kali ini mereka dipimpin oleh Didier Deschamps yang menurutnya mampu membawa Perancis ke tahap yang lebih baik. Mereka mempunyai pemain-pemain berbakat seperti Frank Ribery, Karim Benzema dan Hugo Lloris.

9. Colombia

Colombia

Pengurus, Jose Pekerman telah berjaya membentuk sebuah pasukan yang sama rata pengalaman dan permainannya menjadikan pasukan ini dianggap antara yang terbaik dalam kejohanan kali ini. Pasukan ini diketuai oleh pemain AC Milan, Mario Yepes dan barisan pertahanannya pula terdiri daripada Pablo Armero dan Juan Zuniga. Pemain tengah diperkuatkan oleh Juan Cuadrado, James Rodriguez dan Freddy Guarin. Manakala barisan hadapan dibarisi pemain seperti Radamel Falcao, Jackson Martinez selain Teofile Gutierrez. Ketiga-tiga penyerang ini telah banyak menyumbangkan gol kepada Colombia dan dijangka akan menjadi taruhan hebat untuk pasukan ini. Kelemahan mereka terletak pada pemain tengah yang dikatakan boleh dibolosi dari mana-mana arah tetapi itu tidak menghalang mereka untuk mara ke peringkat lebih jauh.

8. England

England

England sentiasa dijangkakan akan berada dalam 16 pasukan teratas kejohanan tetapi jarang sekali memenangi sebarang kejohanan. Anggapan ini akan diteruskan pada kejohanan kali ini di bawah pimpinan Roy Hodgson. Sebenarnya England memiliki antara pemain-pemain terbaik di dunia seperti Ashley Cole mahupun Wayne Rooney selain kaptennya, Steven Gerrard. Walaupun mempunyai pemain-pemain yang hebat dan beraksi dalam Liga Premier, namun pasukan ini dikatakan tidak pernah belajar daripada kesilapan mereka dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.

7. Belanda

Belanda

Belanda yang menjadi naib juara pada kejohanan 1974, 1978 dan 2010 ini kini berada pada ranking ketujuh pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia 2014. Pasukan dibawah kendalian Louis Van Gaal dan diketuai oleh Robin Van Persie pernah berada dalam ranking pertama kedudukan dunia pada bulan Ogos 2011 namun ketika ini hanya berada ditangga kelima selepas Jerman, Argentina, Sepanyol dan Croatia.

Kesemua pemain terbaik mereka berada di barisan hadapan jadi tidak hairanlah mereka mempunyai strategi menyerang yang hebat. Antara pemain yang beraksi kali ini termasuklah Wesley Sneijder dan Arjen Robben di barisan tengah. Siem De Jong, Rafael van der Vaart, Ibrahim Afellay, Dirk Kuyt, Robin van Persie dan Klaas-Jan Huntelaar.

4 tahun lalu mereka menunjukkan kesungguhan yang tinggi tetapi kerana silap percaturan akhirnya gagal di perlawanan akhir dan berharap kesilapan yang sama tidak diulangi pada edisi piala dunia kali ini.

6. Itali

Itali

Itali yang dipimpin oleh Cesare Prandelli merupakan antara dua pasukan terbaik dunia sejak dua tahun lalu. Pasukan Azzurri ini beraksi cemerlang dalam kejohanan Euro 2012 dan sejak itu meneruskan langkah cermerlang. Pasukan kali ini adalah antara yang terbaik pernah dibentuk dan dikatakan sukar untuk menembusi barisan tengah dan pertahanan mereka.

Itali dianggap sebuah pasukan yang sangat berpengalaman dan mampu menukar sistem dan formasi permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang sebenarnya agak sukar untuk dilakukan dalam mana-mana permainan bola sepak antarabangsa.

Maka kemampuan itulah yang akan memberikan mereka kelebihan kerana mereka sentiasa beredia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

5. Belgium

Belgium

Belgium merupakan pasukan yang istimewa kerana mempunyai pemain-pemain paling muda dalam dunia bola sepak yang menjanjikan keupayaan untuk bermain habis-habisan dalam mana-mana perlawanan.

Pasukan kendalian Marc Wilmots ini dikatakan adalah pasukan yang dipenuhi pemain bertaraf dunia seperti Thibaut Courtois, Simon Mignolet, Vincent Kompany, Jan Vertonghen, Daniel van Buyten dan Thomas Vermaelen di bahagian belakang. Manakala bahagian tengah pula dibarisi Axel Witsel, Eden Hazard dan Marouane Fellaini.

Di barisan hadapan pula ialah Christian Benteke dan Romelu Lukaku. Marc Wilmots dikatakan gemar melihat pasukannya menggunakan strategi menyerang dan pasukan ini dijangka mampu melangkah jauh pada kejohanan kali ini.

4. Sepanyol

Sepanyol

Pasukan Sepanyol yang diuruskan oleh Vincent del Bosque dengan misi untuk memburu kemenangan keempat mereka pada peringkat antarabangsa secara berturut-turut bermula dengan Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012, walaupun mereka kalah 0-3 kepada Brazil dalam Piala Konfiderasi 2013 yang lalu. Piala Dunia kali ini mungkin penyertaan terakhir Xavi Hernandez, Iker Casillas, David Villa, Andres Iniesta dan juga Fernando Torres pada pentas kejohanan dunia.

3. Jerman

Jerman

Pasukan Jerman bertandang ke Brazil sebagai pilihan utama untuk merangkul kejohanan kali ini. Malah, Jerman turut menjadi tumpuan kerana kejayaan Bayern Munich dan Borussia Dortmund dalam Liga Juara-juara.

Jerman yang diuruskan oleh Joachim Loew telah berjaya dibentuk menjadi sebuah pasukan yang berkemampuan dari segi fizikal, teknikal dan juga mental. Mereka hadir ke Brazil sebagai pasukan yang penuh dengan pengalaman juga sebagai pasukan yang paling bersedia untuk memenangi kejohanan versi 2014.

Jerman layak ke semua Piala Dunia sejak 1934 kecuali pada tahun 1950 dan daripada semua kejohanan tersebut, Jerman hanya gagal sekali melayakkan diri di kedudukan 8 pasukan terbaik iaitu pada tahun 1938. Jerman memenangi kejohanan ini sebanyak 3 kali, naib juara 4 kali dan tempat ketiga 4 kali.

2. Argentina

Argentina

Skuad kendalian Alejandro Sabella dan diketuai pemain handalan dunia, Lionel Messi hanya pernah kalah tiga kali sejak perlawanan terakhir pada September 2011. Pasukan Argentina sangat kukuh di bahagian benteng, kreatif di bahagian tengah dan berbisa di bahagian hadapan.

Pemain seperti Fabricio Coloccini misalnya mampu menjadi tonggak utama pertahanan yang hebat. Kemampuan Ezequiel Garay juga tidak boleh diketepikan ditambah pula dengan bantuan Javier Masherano dan Ever Banega di bahagian tengah. Kelibat Lionel Messi, Gonzalo Higuain, Sergio Aguero, Ezequiel Lavezzi dan Carlos Tevez, menjadikan pasukan ini antara yang terbaik di dunia. Hanya tunggu dan lihat kemampuan yang mampu dicapai oleh pasukan Argentina kali ini.

1. Brazil

Brazil

Sebelum memenangi Piala Konfederasi lagi, Brazil sudah menjadi pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia edisi 2014. Pemain utama dalam pasukan Brazil, Neymar, yang selama bertahun-tahun seringkali dibandingkan dengan Pele dan Lionel Messi, akhirnya berjaya menampilkan kehebatannya yang sebenar semasa Piala Konfederasi yang lalu.

Malah, Paulinho, Luiz Gustavo dan Bernard, kesemuanya berjaya menampilkan permainan bertaraf dunia. Daripada sebuah pasukan yang dilihat agak lemah sebelum ini, Brazil kembali bangkit untuk menjadi pasukan yang disegani seperti dahulu.

Dengan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri, Brazil sudah semestinya menjanjikan kepada peminat fanatik mereka dan penonton bola sepak Piala Dunia 2014, prestasi terbaik untuk memenangi kejohanan kali ini.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon