Wednesday, May 07, 2014

Kenapa Kalimah ALLAH Hanya Layak Untuk Umat Islam?


Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.

Kalimah ALLAH

Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH, semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi mengelakkan ketegangan agama.

Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah ‘Tuhan’ dalam agama Kristian, katanya kepada pemberita pada ‘Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi Nusantara’ anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.

Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat pada abad pertengahan dahulu.

“Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas,” katanya.

Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu.

Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak penggunaannya.

“Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada sesuatu yang bersifat kebaikan.” katanya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Siapa Untung Jika Umat Islam Dan Kristian Bergaduh?

-Sentiasapanas.com

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon