Monday, May 19, 2014

Bahaya Makanan Ringan Kepada Tubuh


Tidak dinafikan, golongan remaja terutamanya sangat gemarkan makanan ringan atau lebih popular dengan gelaran ‘junk food’.

junk food

Pernahkah anda terfikir mengapa ia dinamakan sedemikian? istilah ‘junk’ itu sendiri sebenarnya membawa maksud ‘lebihan’ dan ‘tidak berguna’.

Hakikatnya, makanan ringan seperti kerepek, cip kentang, gula-gula dan lain lain makanan ringan yang dibungkus dalam plastik tidak bagus untuk kesihatan lebih-lebih di usia anda yang masih muda.

Memang benar, makanan ringan ini sebenarnya memberikan ketagihan pada remaja kerana rasanya yang enak, mudah didapati dan murah. Tapi realitinya, kebanyakan produk ini tidak memberikan apa-apa manfaat dan juga khasiat penting untuk badan.

Pengambilan makanan ini secara berterusan boleh menjejaskan kesihatan anda dan juga menghalang anda untuk mencapai matlamat dalam diet harian. Penulis percaya ketagihan produk ini sukar dihentikan tapi jika anda perhatikan kesannya pada kesihatan, fikir sekali lagi.

Punca badan letih - Walaupun makanan ringan dan makanan segera boleh mengenyangkan perut, tapi produk ini kekurangan nutrien yang diperlukan seperti protein dan karbohidrat yang berfungsi menjadikan tubuh anda bertenaga dan sihat. Jika anda mengambil produk ini setiap kali kelaparan, anda boleh menjadi letih. Makanan ini mengurangkan tenaga dalam badan dan pada sampai satu tahap menghalang anda melakukan tugas harian dengan berkesan.

Kemurungan - Fasa tumbesaran remaja menyebabkan badan mereka mengalami banyak perubahan hormon. Contohnya, mereka mudah terdedah kepada perubahan mood dan tingkah laku. Diet seimbang memainkan peranan penting untuk menstabilkan perubahan hormon itu. Kerana kekurangan nutrien dalam makanan ringan, kemungkinan remaja mengalami kemurungan akan meningkat 58 peratus.

Ganggu penghadaman - Remaja yang ketagih makanan ringan berlemak akan hadapi masalah penghadaman seperti penyakit sindrom usus. Ini kerana makanan ringan kebanyakannya digoreng dan minyak yang terdapat dalam produk itu berkumpul dalam perut menyebabkan ‘keasidan’. Hal ini menyebabkan hakisan pada lapisan perut kerana kandungannya yang terlalu pedas dan kekurangan serat penting untuk pencernaan yang betul.

Ketidakstabilan tahap gula dalam darah - Makanan ringan sebenarnya tinggi kandungan gula yang menyebabkan metabolisme anda di tahap bahaya. Gula menyebabkan pankreas merembeskan lebih jumlah insulin untuk mengelakkan kenaikan drastik tahap gula dalam darah. Oleh kerana makanan ringan tidak mempunyai nutrien mencukupi, paras gula dalam darah akan menurun secara tiba-tiba selepas makan. Ini menyebabkan anda cepat marah dan meningkatkan ketagihan anda pada makanan ringan.

Membahayakan jantung - Produk bergula ini meningkatkan tahap kolesterol iaitu faktor utama yang menyumbang pada penyakit jantung. Selain itu, lemak yang terkumpul dalam badan menyebabkan anda menjadi lebih gemuk. Lebih banyak berat badan bertambah, lebih tinggi risiko penyakit jantung.

Risiko penyakit buah pinggang - Percaya atau tidak, kentang goreng dan kerepek yang biasa didapati di restoran francais mengandungi jumlah garam yang tinggi berfungsi meningkatkan air liur dan rembesan enzim yang meningkatkan ketagihan anda. Kandungan tinggi lemak yang tidak baik dan natrium dari garam meningkatkan tekanan darah dan memberi kesan kepada fungsi buah pinggang.

Menghalang diet seimbang - Ketagihan pada makanan ringan boleh menghalang anda melakukan diet seimbang. Diet yang berkesan memerlukan pengambilan makanan yang tinggi kandungan protein dan karbohidrat, tapi ketagihan pada produk tinggi gula itu boleh mengganggu proses diet anda.

BACA INI JUGA: 8 Makanan Rahsia Kekal Sihat Dan Awet Muda

Sumber: Hmetro.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon