Tuesday, April 08, 2014

Rang Undang-Undang Pelaksanaan GST Di Luluskan


Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Goods and Services Tax (GST)

Rang undang-undang itu diluluskan menerusi undi belah bahagi sebanyak dua kali dengan undian kali pertama pembangkang memperoleh 81 undi berbanding penyokong kerajaan mendapat 118 undi.

Undian kali kedua menyaksikan pembangkang kekal 81 undi, manakala penyokong kerajaan memperoleh 119 undi.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan rang undang-undang yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata GST akan memberi implikasi positif kepada nilai eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Eksport akan meningkat 0.5 peratus kerana barang-barang eksport akan jadi murah dan kompetitif, dan KDNK secara keseluruhan akan meningkat kepada 0.3 peratus,” katanya.

Ahmad berkata struktur GST di Malaysia merangkumi pengecualian terhadap pelbagai jenis barang dan perkhidmatan yang bertujuan memenuhi keperluan rakyat di negara ini.

Ini berbeza di Singapura yang mengenakan GST ke atas semua jenis barang dan perkhidmatan kecuali perkhidmatan kewangan serta rumah kediaman, katanya.

Kadar GST sebanyak enam peratus yang ditetapkan kerajaan adalah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk pengurangan cukai individu, cukai korporat dan bantuan kewangan tunai, jelasnya.

Selain itu, Ahmad berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk tidak menggunakan terma ‘caj perkhidmatan’ bagi perkhidmatan di hotel dan restoran memandangkan terdapat pengguna keliru antara cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan dan pengusaha.

“Apa yang penting sekarang ialah memberi penerangan kepada pengguna mengenai caj perkhidmatan dan perbezaannya dengan cukai barang dan perkhidmatan.

“…dan ada baiknya cadangan itu dibincangkan agar caj perkhidmatan ditukar nama sama ada menggunakan terma caj restoran, caj hotel atau tips,” kata Ahmad.

Beliau berkata langkah itu juga sebagai usaha untuk memastikan tidak ada pengusaha restoran atau hotel yang mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tersebut sehingga mengelirukan pengguna.

Oktober lepas, semasa pembentangan Bajet 2014 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan CBP berkuat kuasa 1 April 2015 pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Persidangan dewan bersambung..

Kebaikan
Goods and Services Tax (GST) [2]

GST sebenarnya dapat mendidik pengguna menjadi lebih berhemat. Sekiranya pengguna tidak mahu membayar lebih GST maka hadkan perbelanjaan kepada yang perlu sahaja.

Ini berdasarkan kepada GST adalah cukai penggunaan di mana lebih banyak anda pakai atau beli lebih banyak anda bayar.

Orang berada mungkin akan mengguna lebih. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pendapatan negara yang akhirnya dapat digunakan untuk kepentingan rakyat juga.

Antara kebaikan lain GST ialah kadar GST adalah lebih rendah (enam peratus) berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan enam peratus. SST adalah cukai berganda, sebaliknya GST adalah sistem satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan.

Di bawah SST pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.

Pada masa sekarang, pengguna tanpa mengira kelas pendapatan telah membayar cukai jualan dan cukai perkhidmatan ke atas perbelanjaan harian mereka.

Namun cukai yang dibayar itu terutamanya cukai jualan tidak tercatat di dalam resit kerana ia terselindung di dalam harga bayaran. Apabila GST dilaksanakan beban cukai yang ditanggung akan turun.

Ini bermakna dengan pelaksanaan GST kebanyakan barangan dan perkhidmatan akan mengalami penurunan harga.

Yang penting ialah apabila GST dilaksanakan pihak peniaga seharusnya menyalurkan penjimatan tersebut melalui penurunan harga.

Kajian yang dijalankan mendapati Indeks Harga Pengguna (HIP) akan mengalami penurunan sebanyak 8-10 peratus.

Kita yakin dengan penubuhan jawatankuasa pemantau GST yang ditubuhkan kerajaan nanti dapat memastikan GST dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Kerajaan juga dari masa ke semasa akan menilai impak sosial terhadap rakyat kesan daripada pelaksanaan GST.

Pengguna juga harus faham bahawa GST tidak dikenakan ke atas barangan makanan asas, pengangkutan awam, tol, pembelian dan penyewaan rumah kediaman, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, pengeluaran pasport dan lesen, penggunaan elektrik bagi 200 unit pertama bagi pengguna domestik dan pelbagai barangan asas dan perkhidmatan lain.

GST dapat meningkatkan aliran pendapatan negara. Kerajaan pusat dijangka akan menjana lebih banyak pendapatan dengan pelaksanaan GST. Pendapatan kerajaan yang bertambah ini dapat digunakan untuk perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu. GST juga membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan.

Ini dapat menggalakkan pelaburan, mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing. Pertumbuhan ekonomi negara pula akan mencipta pekerjaan dan meningkat pendapatan.

Pelaksanaan GST di 160 negara di dunia membuktikan GST adalah sistem percukaian yang baik, cekap dan adil kerana semua orang membayar cukai berdasarkan penggunaan.

Kesimpulan, GST membantu memperluaskan asas percukaian negara, memastikan negara mempunyai sistem cukai yang lebih berdaya tahan serta memperbaiki pematuhan dalam urusan kutipan cukai kerajaan.

Agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sudah lama mengingatkan kerajaan bahawa negara ini mempunyai sumber percukaian yang kecil dan tidak dapat bertahan lama untuk jangka masa panjang.

Hanya 1.5 juta sahaja pembayar cukai di negara ini, manakala sumber minyak pula tidak akan dapat bertahan lama. -Mynewshub.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon