Thursday, April 24, 2014

Misteri Menyeramkan Legenda Tingkat 13!


Apabila disebut angka 13, pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan pelbagai cerita mistik dan paranormal yang disampaikan dari mulut ke mulut. Apatah lagi jika menyebut angka 13 pada tingkat sesebuah bangunan, yang kononnya lebih keras dan berisiko 'diganggu' berbanding tingkat-tingkat lain.

Misteri Tingkat 13

Dan kerana sebab itulah kita sedia maklum di sesetengah negara, tingkat 13 sengaja ditinggalkan kerana angka malang itu.

Sementara di Malaysia jika mengikut pengalaman kita, tingkat ke 13 bangunan pejabat biasanya dijadikan surau.

Adapun begitu, asal-usul budaya ini dan sebab sebenar tidak meletakkan angka 13 ketika proses pemasangan lif sesebuah bangunan tidak kita ketahui.

Bagaimanapun, ada spekulasi menyatakan terdapat satu zaman di mana pereka bangunan risaukan kepercayaan karut masyarakat dengan angka itu, lantas mengambil keputusan tidak meletakkan tingkat 13 pada senarai digital lif.

Perbuatan itu mula menjadi biasa seterusnya mendapat tempat dalam budaya dan rekaan bangunan. Perlakuan itu lama-kelamaan menimbulkan tanda tanya yang kuat sehingga melahirkan pelbagai kisah dan Urban Legend.

Kisah yang paling kerap diceritakan kepada mereka yang bekerja atau tinggal di bangunan yang sepertinya adalah; Pernah ada seorang lelaki yang dikisahkan pergi ke sebuah bangunan tanpa tingkat tiga belas pada hari yang ke 13. Dia lantas menggunakan lif untuk naik ke sebuah tingkat di atas tingkat 12.

Dalam perjalanan untuk sampai ke tingkat 14, lif dengan tiba-tiba menjadi pelik dan berhenti di sebuah tingkat misteri. Apa yang terjadi selepas itu, pintu lif terbuka dan tidak ada apa-apa lagi berita mengenai lelaki tadi. Sesetengah orang mendakwa lelaki itu telah memasuki dimensi lain dan menemui pintu gerbang ke tempat roh-roh jahat tinggal.

Selain kisah tadi, terdapat beberapa khabar angin yang kononnya mempunyai kaitan dengan tingkat 13. Ada juga bangunan yang meletakkan tingkat 13, bagaimanapun, ianya akan dibiarkan kosong atau ditutup kepada orang awam.

Tingkat 13 memang wujud namun hanya boleh diakses dengan menekan butang lif dengan nombor-nombor tertentu yang bertindak sebagai kata laluan.

Tingkat 13 kononnya digunakan pemilik bangunan untuk ritual pemujaan atau perjumpaan Illuminiti. Sesetengah teori konspirasi pula mencadangkan kepada kita bahawa tingkat 13 dalam bangunan-bangunan kerajaan sebenarnya bukan tidak ada, tapi sebaliknya mengandungi rahsia-rahsia teratas dalam sesebuah jabatan kerajaan.

Analisis dan fakta

Sebab sebenar kenapa tingkat 13 tidak diletakkan dalam bangunan adalah disebabkan Triskaidekaphobia (Ketakutan kepada angka 13 dan mengelak dari menggunakannya) pada pemilik atau pereka bangunan atau keinginan untuk mengelakkan masalah di masa akan datang dengan kepercayaan karut pekerja atau pelanggan dengan angka 13.

Kajian yang dibuat oleh syarikat lif terkemuka menunjukkan 85% bangunan yang mempunyai lif tidak mempunyai tingkat 13. Biasanya ia dilangkau terus kepada tingkat 14 atau diletakkan sebagai tingkat 12a.

Di China sesetengah bangunan tidak mempunyai tingkat empat kerana sebutan angka 4 mempunyai sebutan yang hampir sama dengan 'Kematian'.

Di Itali pula, masyarakat di sana menganggap angka 13 sebagai angka bertuah, sementara angka malang bagi mereka adalah 17.

Antara kisah lain yang dikaitkan dengan tingkat 13 adalah sebuah kisah Urban Legend di Korea Selatan. Kisah ini sangat terkenal malah kebanyakan masyarakat Korea percayakan kisah ini merupakan peristiwa sebenar yang benar-benar pernah terjadi.

Diceritakan, seorang gadis yang namanya bermula dengan huruf A bertugas sehingga lewat malam di perpustakaan universiti untuk mnyiapkan tugasannya. Selepas kerja-kerjanya siap, dia bergegas pulang ke rumahnya di tingkat 14 sebuah apartmen tidak jauh dari universiti.

Setibanya dibangunan itu, dia berdiri di depan pintu lif selepas menekan butang 'memanggil' lif. Tidak lama menunggu, lif pun sampai, pintu lif terbuka, dia lantas masuk kemudian menekan butang tingkat 14.

Ketika pintu lif hampir tertutup rapat, seorang pemuda berlari menuju ke lif. Pemuda itu sempat menghulurkan tangannya untuk menghentikan pintu lif. Pemuda itu kemudiannya berdiri di sebelah gadis tadi.

"Tumpang tanya, kamu tinggal di tingkat 14 ke?", tanya pemuda itu sambil matanya melihat butang yang menyala.

"Ya", jawab gadis itu sambil tersenyum.

"Ohh.." kata pemuda itu sambil tersentum kepada gadis tersebut.

"Kebetulan pula, saya tinggal di tingkat 13, cuma beza satu tingkat kan.." sambung pemuda tadi kemudian menekan butang 13 pada lif.

Melalui cermin di pintu lif, si gadis melihat lantai lif yang menyusur laju menuju ke atas. Kedua-duanya diam membisu. Sesekali gadis tadi curi-curi melirik pada pemuda itu. Kemudian, secara tidak sengaja pemuda itu juga memandang si gadis, maka terpautlah dua pasang mata itu dalam satu pandangan. Pemuda itu tersenyum manis kepadanya, lantas membuatkan si gadis malu dan pipinya menjadi merah.

Ketika lif berhenti di tingkat 13, pintu lif terbuka dan pemuda itu pun melangkah keluar dari lif.

"Jumpa lagi nanti ya.." kata pemuda sambil tersenyum.

"Ok, jumpa lagi nanti", jawab gadis dengan nada yang riang.

Kemudian, ketika pintu lif mula tertutup, tiba-tiba pemuda tadi menoleh sambil mengeluarkan sebilah pisau dari jaketnya.

"Saya tunggu kamu di ingkat atas!", ancam pemuda itu sambil ketawa seperti orang yang hilang akal, kemudian mula berlari ke arah tangga.

Gadis itu mula panik dan menggigil ketakutan. Dia menekan butang lif bertalu-talu cuba untuk menghentikan lif. Namun, usahanya sia-sia.

Dalam sekelip mata lif tiba di tingkat 14, pintu terbuka, manakala pemuda tadi sudah berdiri di depan pintu lif dengan pisau di tangan sedia untuk membunuhnya.

Bagi sebilangan masyarakat Korea, kes ini bukan sekadar Urban Legend yang diada-adakan, tapi merupakan kes pembunuhan sebenar - gadis bernama dengan huruf pangkal "A" ditemui mati di dalam lif.

Bagi sesiapa pun yang tahu kisah ini pasti bersetuju bahagian paling menakutkan dalam cerita ini bukannya kematian gadis tadi tapi penderitaan ketika lif bergerak dari tingkat 13 ke tingkat 14, dan mengetahui dia akan dibunuh disana.

Bagi penduduk tempatan, mereka mendakwa kes ini sebagai sebab diwujudkan butang 'Stop' pada setiap lif selepas itu.

Cuma yang peliknya, siapa pula yang tahu butir-butir pembunuhan beserta dialog sebelum gadis itu dibunuh?

Dari CCTV kot? Hah!

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Kerusi Antik Pembawa Maut!

-Sentiasapanas.com

1 comment

  1. Berkongsilah sesuatu pekara yang baik dan memudah org yg dpt bgi manfaat kpda semua...baik yg kita kongsi baiklah jgk lah kta dpt...jika pkra yg tdk psty jgnlah kita mncritakan kpda semua owg..ia akan jd stu punca perbalahan. Bersatu lah kita demi malaysia. .

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon