Friday, April 18, 2014

Misteri Laman Web Berhantu Blind Maiden


Sumpahan dan sihir dicatatkan sebagai antara budaya pop yang paling tua seusia peradaban manusia, dan tidak diketahui bila ia sebenarnya bermula. Namun, apa yang jelas sumpahan seumpamanya menjadi terkenal dan digunakan secara meluas sejak tamadun Mesir Kuno.

Blind Maiden website
Gambar hiasan.

Seiring dengan kemajuan zaman moden hari ini, tidak mustahil untuk kita simpulkan betapa sumpahan dan paranormal umumnya juga mengambil pusingan yang sehala dengan teknologi.

Anda juga tentu pernah menonton sekurang-kurangnya salah satu dari puluhan judul-judul filem seperti The Ring, Pulse, One Missed Call atau FEAR.COM.

Jika dilihat dari judul-judul filem tadi, jelas betapa sumpahan paranormal dipengaruhi perkembangan teknologi, bermula dengan pita VHS dan telefon rumah, kemudian telefon bimbit sehinggalah internet.

Walaupun para pembikin filem seram Jepun lebih kehadapan dalam idea rekaan seumpamanya, namun satu laman web dari Sepanyol dikatakan benar-benar akan menghantui pengunjungnya dengan sumpahan yang menyeramkan.

Laman Web Berhantu

'www.blindmaiden.com' atau dirujuk sebagai Blind Maiden adalah sebuah laman web yang kononnya sangat jarang, malah tidak dapat dilayari melainkan pelawat menepati segala syarat-syarat dibawah terlebih dahulu;
  1. Pengunjung perlu duduk bersendirian, lebih tepat lagi, tiada orang lain berada di rumah.
  2. Waktu untuk melayari laman web tersebut hendaklah tepat pada jam 12 tengah malam.
  3. Pada malam yang tidak ada bulan.
  4. Semua lampu perlu dipadamkan terlebih dahulu.
  5. Tidak boleh ada sebarang barang yang berunsur keagamaan berhampiran komputer.

Menurut dakwaan sesetengah pihak, alamat sebenar laman web itu bukanlah 'www.blindmaiden.com' seperti digembar-gemburkan, sebaliknya adalah 'www.blaindmadelaine.com'. Pengunjung juga dikatakan hanya boleh dilayari pada hari khamis (malam Jumaat).

Menurut dakwaan sesetengah pihak, perkara pertama yang akan muncul adalah himpunan imej-imej yang menggangu fikiran. Imej-imej yang kononnya sangat teruk dan jarang dilihat sehinggakan amat sukar untuk dijelaskan.

Gambar-gambar tersebut berupa individu-individu yang tidak mempunyai mata. Individu yang berada dalam bilik seksaan, serta gambaran wajah lelaki dan wanita yang dipulas dalam keadaan mengerikan!

Dengan setiap wajah-wajah yang muncul tadi digambarkan seolah-olah sedang menjerit! Gambar-gambar tersebut dipaparkan dengan pantas, muncul di skrin satu persatu tanpa sebarang penjelasan.

Selepas disambut dengan imej-imej tadi beberapa ketika, akan muncul soalan di skrin komputer pengunjung yang berbunyi;

"Adakah anda berminat untuk merasai pengalaman seram yang sebenar?"

Dibawah soalan tersebut akan tertera dua butang, "Terima" atau "Tolak".

Sekiranya pengunjung mengklik butang "Terima", dipercayai nyawa mereka benar-benar sedang dipertaruhkan, klik butang "Tolak" untuk selamat. Ini kerana, ketika pengunjung menerima jemputan tadi, sumpahan telahpun diletakkan pada mereka.

Apa yang akan berlaku kemudiannya tidak dapat dielakkan. Pengunjung akan melihat gambaran satu lembaga di skrin yang akan berjalan mendekati rumah mereka sendiri.

Kemudian, pengunjung akan melihat lembaga tadi memasuki rumah mereka, berjalan menuju ke bilik pengunjung sehingga pengunjung boleh melihat belakang mereka sendiri terpamer pada skrin!

Pada ketika itu, pengunjung akan merasakan kehadiran lembaga tersebut dan akan merasakan bahu mereka ditepuk!

Perkara terakhir yang akan dilihat oleh pengunjung yang telah disumpah adalah wajah Blind Maiden, merenung mereka dengan mata yang dahsyat!

Blind Maiden dikatakan akan merobek mata pengunjung dan rakaman wajah mereka pada ketika itu akan diabadikan sebagai sebahagian daripada gambar menakutkan di laman web tersebut.

Persoalannya, adakah laman web ini benar-benar wujud atau sekadar cerita rekaan yang dibawa dari mulut ke mulut?

Legenda urban mengenai Blind Maiden mungkin kurang dikenali, namun di negara kelahirannya, Sepanyol, cerita mengenai laman web tersebut sangat terkenal, malah ada pihak mengesahkan ianya memang pernah wujud beberapa tahun lalu.

Menurut dakwaan seorang lelaki Sepanyol yang mendakwa pernah berjaya mengakses laman web itu pada suatu hari;

"Maiden Blind atau Blind Maiden atau La Doncella Ciega. Panggillah apa saja yang anda suka, legenda urban ini memang benar-benar wujud, malah saya sendiri hampir menderita akibat bermain dengan laman yang dahsyat ini.

"Ceritanya adalah mengenai satu laman web yang hanya boleh diakses ketika anda benar-benar bersendirian, semua lampu dipadamkan dan tepat tengah malam.

Selepas itu, apa saja yang anda lakukan, jangan sekali-kali berani untuk mengklik bila anda diminta untuk "Terima Cabaran". Sebab, jika anda menerimanya, anda akan mati dalam tempoh hanya beberapa minit!

"Saya tidak memperdulikan nasihat itu dan pada ketika saya mengklik butang "Terima", apa yang saya lihat di skrin benar-benar terjadi. Saya melihat satu lembaga berjalan ke arah yang kelihatan seperti rumah saya sendiri dan saya melihat dia mendekti tempat saya berada.

"Disebabkan terlalu takut, seluruh badan saya menjadi kaku. Kemudian dia menghampiri pintu dan menolak daun pintu. Apabila saya memusingkan badan, saya melihat pintu sudah terbuka, lantas saya melihat satu wajah yang tak dapat saya jelaskan melainkan yang benda itu tidak mempunyai mata!

"Dia mendekati saya sambil berbisik dalam bahasa yang saya tidak fahami. Apa yang tidak boleh saya lupakan adalah ekspresi wajahnya yang sangat ganas. Saya bangun dan lari dengan segala kudrat namun kaki saya tergelincir waktu itu menyebabkan saya terjatuh dan terhantuk pada bucu meja.

"Saya pengsan dan tidak sedarkan diri. Saya bernasib baik kerana terselamat walaupun mungkin disangkakan sudah mati ketika pengsan.

"Selepas itu saya tidak pernah lagi bermain-main dengan perkara yang berkaitan dengan paranormal apatah lagi memandang rendah keupayaannya."

Walaupun dengan adanya dakwaan seperti itu tadi, sebenarnya ada lebih banyak dakwaan berbanding fakta sebenar. Malah, sebenarnya tidaklah seseram seperti yang diuar-uarkan.

Memang diakui laman web ini pernah wujud namun, menurut dua orang programmer Uruguay dari SONRIS, tidak ada apa-apa yang paranormal pun mengenai laman web tersebut.

Setiap laman web boleh dikonfigurasikan untuk hanya boleh diakses pada waktu-waktu tertentu dengan menghubungi pembekal domain tersebut.

Atau pemilik laman web tersebut sendiri menetapkan laman web miliknya hanya boleh diakses pada waktu tengah malam melalui panel kawalan.

Visual dan audio yang digunakan dalam web tersebut adalah dalam format video flash. Malah imej dalam montaj dikatakan boleh ditemui melalui carian Google dengan hanya menaip perkataan yang ada kena mengena dengan "Paranormal".

Dan lagi, imej yang digunakan pada laman utama web tersebut sebenarnya diambil daripada filem The Grudge. Tambahan pula dengan bunyi jeritan yang muncul bersama montaj adalah efek bunyi yang cukup dikenali dikalangan pengeluar-pengeluar filem.

Akhir sekali, virus trojan boleh memberi akses kepada webcam anda sekaligus menjelaskan dakwaan sesetengah pengunjung yang melihat diri mereka sendiri pada skrin.

Tambahan lagi ramai yang mendakwa mereka mendapat amaran virus ketika cuba untuk klik pada butang "Terima".

Apa yang kami tahu, laman web ini sudah ditutup sejak beberapa tahun lepas dan kini kekal menjadi Urban Legend untuk menakut-nakutkan pengguna internet.

Pun begitu, kalau masih ada yang terakses web tersebut secara tak sengaja di suatu malam Jumaat dan kawan-kawan serumah anda balik kampung (manalah tahu kan). Jangan sekali-kali berani klik butang "Terima"!

Yelah, nanti komputer kena virus kan! Heh..

BACA INI JUGA: Misteri Lukisan Berhantu 'The Hands Resist Him'

-Sentiasapanas.com

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon